Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

200 banduan manfaat skim tingkat kemahiran digital

Jan 9, 2025 | 8:18 PM
Duta Perkhidmatan bagi Projek ‘Assist Inmate Digital Experience’ (AIDE), Encik Andrew Cheang Yew Kong, membimbing seorang penghuni menggunakan perkhidmatan elektronik pemerintah.
Duta Perkhidmatan bagi Projek ‘Assist Inmate Digital Experience’ (AIDE), Encik Andrew Cheang Yew Kong, membimbing seorang penghuni menggunakan perkhidmatan elektronik pemerintah. - Foto SPS

Satu inisiatif baru yang bertujuan membantu mereka dalam penjara supaya lebih mahir dalam era digital telah memberi manfaat kepada 200 banduan setakat November 2024, umum Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada 9 Januari. 

Dipanggil Projek Assist Inmate Digital Experience (AIDE), inisiatif tersebut melengkapkan banduan dengan kemahiran digital yang penting dan membiasakan diri mereka dengan perkhidmatan elektronik pemerintah seperti portal Singpass dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). 

Ia adalah sebahagian daripada program prapelepasan komprehensif yang dilancarkan pada September 2024 di Pusat Sumber Institusi S2 penjara. 

“SPS mengiktiraf bahawa celik digital adalah penting untuk penyepaduan semula banduan ke dalam masyarakat. Adalah penting bagi mereka mengakses perkhidmatan pemerintah, mendapatkan pekerjaan dan mengurus kehidupan seharian,” jelas SPS.

Ia selaras dengan usaha SPS menuju ke arah Corrections 2030 yang bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan banduan untuk mempersiapkan mereka menjalani kehidupan dalam dunia digital. 

Corrections 2030 merupakan inisiatif SPS bagi mengukuhkan keluarga banduan, memaksimumkan peluang kerjaya bekas pesalah, serta menggerakkan rakan kongsi masyarakat untuk menyokong pemulihan dan integrasi semula golongan ini dengan lebih baik, termasuk melalui penggunaan teknologi dan data.

Menurut SPS, lebih 200 banduan telah mendapat manfaat daripada Projek AIDE, dengan percubaan pertamanya dijalankan Pusat Sumber Institusi S2 sejak September 2024.

Dalam percubaan itu, banduan dilatih menggunakan secara bebas 14 perkhidmatan elektronik pemerintah terpilih melalui akaun Singpass mereka, antaranya ialah Singpass, Agensi Penjagaan Bersepadu, Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan, HDB dan SkillsFuture.

Percubaan tersebut disokong oleh duta perkhidmatan (SA) yang bertugas di pusat sumber dua kali seminggu untuk membantu dengan perkara seperti menetapkan semula kata laluan Singpass dan membimbing banduan tentang cara menggunakan perkhidmatan elektronik pemerintah.

“Percubaan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan digital, malah memperkasa banduan dengan peralatan yang mereka perlukan untuk kembali ke pangkuan masyarakat,” jelas SPS.

Sebagai persediaan bagi percubaan itu, SPS bekerjasama dengan ServiceSG untuk melatih SA dalam pengetahuan tentang perkhidmatan rakyat, agensi pemerintah dan soalan lazim.

Projek AIDE, yang diadakan di Pusat Sumber Institusi S2, bakal diluaskan ke lebih banyak institusi, bermula dengan Institusi A4 dan B5 dalam percubaan yang diperluaskan mulai Januari.

Perluasan itu turut termasuk peningkatan dalam bilangan perkhidmatan elektronik pemerintah yang boleh diakses oleh banduan.

Senarai laman web kerajaan yang boleh diakses oleh banduan pada masa ini:

  • Singpass
  • Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC)
  • Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat
  • Pengasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA)
  • Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB)
  • Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) 
  • SkillsFuture
  • Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) 
  • Tenaga Kerja Singapura
  • MyCareersFuture
  • Tabung Simpanan Pekerja (CPF)
  • Govbenefits dan Sistem Pengurusan Kes Bersepadu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg