Pernah suatu ketika Encik Hamzah Mohd Ariff mengalami ‘gian’ selepas menyalah guna dadah di rumah, melakukan sesuatu hingga menakutkan anak-anaknya.
Enggan mendedahkan apa yang berlaku ketika itu, bekas pesalah berusia 33 tahun itu berkata ia cukup membuatnya menyesal seumur hidup.
“Anak-anak saya pernah berkata kepada saya waktu saya mengambil dadah dulu ‘ayah bukan macam manusia lagi’,” kata ayah tiga anak itu, mengimbas detik yang membuatnya menyesal hingga kini.
Encik Hamzah, seorang pekerja persekitaran, membesar dalam keluarga pincang dan kemudian ‘di jalanan’ sebelum terjebak dalam kancah dadah sejak usia belasan tahun.
Akibat ketagihannya, beliau dimasukkan ke dalam berek tahanan beberapa kali ketika menjalani Perkhidmatan Negara dan pernah menjalani hukuman di bawah Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada 2018.
Rumah tangganya turut kucar-kacir ekoran kesan ketagihan dadah.
“Hanya kenangan buruk sahaja yang saya simpan selama 11 tahun sebab dadah.
“Saya bertengkar dengan isteri, menjadi khayal dan melakukan perkara yang bukan-bukan.
“Penat saya hidup macam itu,” kata beliau.
Kini, pekerja persekitaran telah berubah.
Malah beliau juga menyumbang masanya untuk membimbing bapa lain, terutama bekas pesalah, untuk pulang ke pangkuan keluarga.
Perjalanannya bermula apabila di penjara, beliau didekati sebuah pertubuhan tidak meraih untung dipanggil New Life Stories (NLS).
Institusi Bertaraf Awam (IPC) itu ditubuhkan pada 2014 bertujuan menyekat perbuatan jenayah silang generasi, serta menjalin semula hubungan antara banduan dan anak-anak mereka.
Antara programnya melibatkan banduan membaca buku yang mana suara mereka direkodkan dalam penjara dan kemudian dimainkan kepada anak-anak mereka di rumah menerusi seorang pekerja sosial.
Pada masa yang sama, NLS menawarkan bantuan kepada anggota keluarga banduan ketika pesalah itu menjalani hukuman penjara serta mengadakan program terapi kekeluargaan bagi pesalah dan keluarga mereka selepas keluar dari penjara.
“Apabila saya menjalani program tersebut, saya mula sedar apa yang kekurangan dalam diri saya sebagai seorang ayah,” kata Encik Hamzah.
“Mereka yang bantu keluarga saya semasa saya di dalam (penjara),” kata beliau.
Beliau turut akur, hidupnya membesar dalam keluarga pincang dan tidak menerima bimbingan sepenuhnya dan seorang dengan teladan yang boleh dicontohi.
“Tapi saya tak mahu menyalahkan siapa-siapa, kita harus cari jalan sendiri,” tambahnya.
NLS pada awalnya hanya membantu banduan wanita sahaja namun meluaskan khidmatnya kepada banduan lelaki pada 2020.
Sebanyak 28 peratus banduan yang dibantu mereka adalah lelaki, dengan 7 peratus daripada mereka mempunyai rekod melakukan keganasan dalam keluarga.
Cik Saleemah Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama NLS, ketika diwawancara berkata, isu keganasan dalam keluarga dalam kalangan banduan merupakan sesuatu yang membimbangkan, malah suatu isu yang berulang turun-temurun.
Beliau menjelaskan ramai di antara mereka membesar dalam lingkungan kurang baik atau pun mereka sendiri merupakan mangsa penderaan ketika masih kecil, dengan keganasan dianggap normal sebagai satu cara menyelesaikan isu dalam rumah tangga.
“Ini diburukkan lagi apabila sudah remaja, mereka menyalahgunakan dadah, menyertai kumpulan kongsi gelap atau melakukan lain-lain jenayah hingga ditangkap dan dimasukkan ke penjara dan perkara ini berlarutan hingga usia tua,” katanya.
“Bayangkan anda hidup dalam persekitaran ini, dan kemudian membina rumah tangga; bagaimana golongan ini akan menyelesaikan masalah dalam keluarga masing-masing.
“Sudah tentu bukankah mudah untuk membantu mereka. Kami memerlukan bukan sahaja si pesalah atau banduan itu untuk sama-sama didik diri terhadap cara pembangunan keluarga yang baik, malah ibu bapa, isteri dan anak-anak mereka juga.”
Sehubungan isu ini, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga pada 26 September buat julung-julung kalinya mengeluarkan laporan Trend Keganasan Domestik yang mendedahkan kes keganasan melibatkan suami isteri dan penderaan kanak-kanak di peringkat sederhana kian meningkat.
Meskipun zaman gelapnya telah berlalu, Encik Hamzah masih menggelar dirinya sebagai seorang penagih dalam pemulihan.
Tumpuannya sekarang hanya ditumpu pada kerjanya serta membina hidup lebih baik bagi dua anak remaja lelakinya berusia 14 dan 12 tahun dan anak perempuannya berusia lapan tahun.
Tidak lama nanti, beliau, yang kini menetap di sebuah flat sewa di Aljunied, akan berpindah ke flat milik sendirinya di Punggol.
“Boleh katakan saya bangga atas pencapaian ini, tetapi perjalanan saya masih jauh.
“Saya berharap anak-anak saya dapat membina masa depan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg