Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

200 isi rumah jalani simulasi gangguan bekalan makanan, air

Feb 26, 2024 | 6:18 PM
Murid prasekolah My First Skool di Taman Jurong mengambil giliran untuk mengisi beg air daripada paip semasa simulasi gangguan bekalan kepada makanan dan air pada 26 Februari. Paip itu sebahagian daripada van agensi air negara PUB yang mempunyai tangki air untuk membekalkan air sementara.
Murid prasekolah My First Skool di Taman Jurong mengambil giliran untuk mengisi beg air daripada paip semasa simulasi gangguan bekalan kepada makanan dan air pada 26 Februari. Paip itu sebahagian daripada van agensi air negara PUB yang mempunyai tangki air untuk membekalkan air sementara. - Foto ZAOBAO

Untuk membantu rakyat Singapura memahami bagaimana akses kepada makanan segar dan minuman akan terjejas semasa krisis, satu simulasi gangguan bekalan kepada makanan dan air telah dijalankan di seluruh Singapura.

Sekitar 200 isi rumah di Blok 181 dan 182 Yung Sheng Road di Taman Jurong serta 21 pasar dan pusat makanan telah terjejas dari 9 hingga 11 pagi pada 26 Februari.

Simulasi itu, yang merupakan sebahagian daripada Exercise SG Ready, bertujuan menggalak penduduk mempertimbangkan alternatif makanan dan pengaturan sandaran. Ia juga dijalankan sebagai memperingati ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak pada 2024.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang merupakan tetamu terhormat semasa simulasi di Taman Jurong itu, mengedarkan beg air kepada warga emas dan golongan yang mempunyai masalah mobiliti di rumah mereka.

Cik Fu disertai oleh Jawatankuasa Kecemasan dan Pendekatan Masyarakat (C2E) Persatuan Rakyat (PA), serta sukarelawan daripada Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert) dan Rangkaian Penduduk.

Agensi air negara PUB juga menggunakan van yang mempunyai tangki air untuk menyediakan sumber air alternatif. Menurut kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada 26 Februari, van tersebut adalah cara utama PUB membekalkan air sementara apabila gangguan berlaku.

PUB juga boleh mengedarkan beg air kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas sekiranya gangguan air yang berpanjangan atau berleluasa berlaku.

Semasa simulasi itu, penduduk digalakkan membawa baldi atau bekas sendiri untuk mengumpul air. PUB juga menyediakan mesin yang mengisi beg air untuk memudahkan pengedaran beg air kepada isi rumah yang terjejas.

Mesin tersebut, menurut MSE, boleh menghasilkan sehingga 300 beg air yang mempunyai muatan lima liter dalam sejam.

Tambahnya, antara 21 pasar dan pusat makanan yang mengambil bahagian dalam simulasi itu ialah Pasar dan Pusat Makanan Taman Jurong. Penutupan pasar dan pusat makanan terjejas bertepatan dengan pembersihan suku tahunan.

Selain daripada memasang sepanduk untuk menyebarkan maklumat mengenai penutupan pasar dan pusat makanan, pendekatan juga telah dijalankan dengan Persatuan Penjaja terlebih dahulu untuk memaklumkan kepada penjaja dan orang awam bagi mendapatkan sokongan untuk simulasi tersebut.

Lebih daripada 150 murid prasekolah termasuk PCF Sparkletots, My First Skool dan Tadika Jurong Calvary di Taman Jurong, serta ibu bapa mereka, telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam simualsi tersebut bagi meningkatkan kesedaran dan kesediaan di kalangan generasi muda. – IZWANDI AZMAN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg