Sebuah kaunter maklumat bagi membolehkan pemandu kereta Singapura membuat pertanyaan perihal Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dibuka di Woodlands pada 19 Ogos, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Lokasi sebenar dan waktu operasi kaunter tersebut akan diumumkan apabila tarikh itu semakin dekat, kata seorang jurucakap TCSens.
TCSens adalah pengendali swasta yang dilantik oleh JPJ untuk membantu pemandu berhubung keperluan VEP, daripada cara memohon permit itu kepada panduan memaparkan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) pada kereta mereka, lapor The Straits Times.
Ia mengendalikan sebuah pusat di Danga Bay, Johor Bahru (JB).
Namun, terdapat keperluan bagi sebuah pejabat di Woodlands disebabkan lonjakan bilangan pelawat berikutan pengumuman Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, bahawa kenderaan berdaftar di luar negara yang memasuki Johor dari Singapura dikehendaki mempunyai VEP mulai 1 Oktober, atau menghadapi risiko didenda atau dihalang memasuki Malaysia.
Semasa lawatan Encik Loke ke pusat tersebut di Danga Bay pada 1 Ogos, beliau berkata kaunter baru di Woodlands itu akan dikendalikan oleh TCSens dengan kerjasama rakan kongsi di Singapura.
Pemandu boleh ke pusat di Woodlands itu untuk mendapatkan bantuan, dan hotline beroperasi 16 jam sehari turut bakal ditubuhkan.
VEP diumumkan pada 2017. Pelaksanaannya ditangguh dua kali disebabkan isu pemasangan dan pendaftaran VEP-RFID.
Encik Loke berkata lebih ramai pekerja akan ditugaskan bagi membolehkan waktu operasi TCSens dilanjutkan ke malam.
Setakat ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia menerima sekitar 58,000 permohonan menerusi portal dan kaunter fizikal.
Jumlah permohonan yang diterima dalam dua bulan lalu melebihi pendaftaran dua tahun lalu, kata Encik Loke.
Sekitar 50,000 pemilik kenderaan lain dijangka membuat permohonan mereka dalam tempoh dua bulan akan datang hingga VEP dikuat kuasa pada Oktober.
Beberapa pemilik kenderaan turut berkongsi mengenai kesukaran semasa proses permohonan VEP.
Terdapat segelintir yang menerima dan mengaktifkan tag mereka pada hari yang sama selepas membuat pendaftaran di Danga Bay.
Menurut Encik Loke, penguatkuasaan akan diketatkan mulai 1 Oktober, memandangkan lebih 80 peratus daripada 18,000 kereta yang memasuki kededua pusat pemeriksaan darat di Johor setiap hari berbuat demikian tanpa VEP.
Beliau bakal melakukan satu lagi lawatan pemeriksaan ke Johor dalam beberapa hari pertama Oktober ini.
Encik Loke turut mengingatkan pengguna supaya mengaktifkan tag VEP-RFID dalam tujuh hari selepas menerimanya.
Sekiranya terlupa, mereka boleh mengaktifkan semula tag tersebut di portal aplikasi.
Beliau menegaskan bahawa mesej itu bukan untuk menakutkan pemandu asing tetapi untuk mereka mematuhi sistem VEP, yang pemerintah sudah membelanjakan lebih daripada RM100,000, atau $29,000.
“Kami mengalu-alukan rakyat Singapura ke JB untuk berbelanja, kami mahu ekonomi JB meningkat.
“Mereka hanya perlu mematuhi undang-undang,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg