JOHOR BAHRU: Sejumlah 80,000 hingga 100,000 kenderaan asing dari Singapura dijangka mendaftar bagi Permit Masuk Kenderaan (VEP), menjelang penguatkuasaannya pada 1 Oktober.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata sejak pengumuman kerajaan Malaysia mewajibkan semua kenderaan asing dari Singapura mempunyai VEP mulai 1 Oktober 2024, pendaftaran permit itu meningkat berkali ganda.
Menurutnya kerajaan sudah mengarahkan syarikat vendor VEP supaya mengambil lebih ramai kakitangan, selain melanjutkan masa operasi harian, susulan jangkaan peningkatan mendadak permohonan VEP dalam tempoh dua bulan ini.
“Sebanyak 58,791 permohonan VEP daripada pemilik kenderaan asing Singapura diterima menerusi kaunter syarikat vendor mahupun di portal antara 28 Mei dengan 31 Julai.
“Bagaimanapun, 40 peratus daripada permohonan itu ataupun sebanyak 24,104 adalah permohonan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen diperlukan iaitu salinan sijil premium insurans, sijil pemilikan kereta dan kad pengenalan pemohon.
“Setakat ini, 19,640 permohonan VEP telah diselesaikan sepenuhnya dengan tag VEP telah diambil pemohon sama ada mereka datang sendiri ke pusat vendor atau menerusi pos.
“Sebanyak 11,435 permohonan VEP lagi sedang dalam proses untuk disiapkan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu beliau menghadiri taklimat di pusat vendor VEP di Danga Bay, Johor Bahru, sebelum meninjau cara ia dipasang pada kenderaan asing Singapura.
Bermula 1 Oktober 2024, semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP.
Encik Anthony dilaporkan berkata peraturan itu akan dikuatkuasakan di pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.
Penguatkuasaan VEP itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya termasuk kenderaan asing mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia, selain pemantauan keselamatan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Encik Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) penuh pelaksanaan VEP pada 1 Oktober, selepas penguatkuasaan hari pertama VEP melibatkan kenderaan asing Singapura di CIQ kelak.
“Dalam tempoh dua bulan berbaki sebelum 1 Oktober ini, kita mahu meningkatkan pendaftaran VEP terlebih dulu.
“SOP penguatkuasaan lain termasuk tindakan terhadap kenderaan asing Singapura yang masuk negara ini tanpa VEP, akan diumumkan 1 Oktober nanti.
“SOP dan kaedahnya sudah ada, cuma kita tunggu 1 Oktober nanti,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg