Topik diikuti
Pergi ke BHku200 penduduk Woodlands dijangka manfaat khidmat pemeriksaan kesihatan di Masjid An-Nur, Yusof Ishak
200 penduduk Woodlands dijangka manfaat khidmat pemeriksaan kesihatan di Masjid An-Nur, Yusof Ishak
Sokongan kesihatan penduduk dengan perkhidmatan seperti pengurusan ubat, bengkel kemahiran dan kaunseling gaya hidup
200 penduduk Woodlands dijangka manfaat khidmat pemeriksaan kesihatan di Masjid An-Nur, Yusof Ishak
Penduduk di Woodlands tidak lama lagi dapat memanfaatkan pemeriksaan kesihatan asas dan cara mengurus ubat penyakit kronik seperti kencing manis secara percuma di Masjid An-Nur dan Masjid Yusof Ishak mulai September 2026.
Ini menyusuli kerjasama dua masjid itu dengan penyedia penjagaan kesihatan awam NHG Health untuk menyediakan khidmat Pos Kesihatan Masyarakat (CHP) di premis dua masjid itu.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Jururawat Klinik Kanan bagi Kesihatan Masyarakat, Cik How Ai Xin, berkata daya usaha CHP di dua masjid itu dijangka memanfaatkan sekitar 200 penduduk di kawasan tersebut.
Beliau berkata: “NHG Health menjangkakan sekurang-kurangnya 200 penduduk dapat meraih manfaat daripada konsultasi (bersama pegawai kesihatan) dan bengkel kemahiran di CHP.”
Diperkenalkan pada 2018, CHP bertujuan melengkapi penjagaan doktor.
Ia menyokong penduduk untuk mencapai matlamat kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan seperti pengurusan ubat, bengkel kemahiran dan kaunseling gaya hidup.
Bengkel kemahiran itu antara lain akan meliputi aspek kesihatan dan kesejahteraan seperti nasihat pemakanan.
Usaha itu sejajar dengan pengumuman Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kesihatan (MOH) pada Mac lalu.
Beliau mengumumkan bahawa MOH ingin meningkatkan tahap kesihatan penduduk yang menetap di kawasan utara Singapura, bermula dengan Woodlands.
Ini sedang penduduk di kawasan utara – merangkumi Woodlands, Sembawang dan Yishun – berdepan dengan kelaziman menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi (hipertensi) yang lebih tinggi berbanding purata nasional, kata Encik Ong.
Jurucakap MOH berkata kelaziman penduduk utara menghidap kencing manis adalah 10.5 peratus jika dibandingkan dengan purata nasional sebanyak 8.8 peratus.
Kelaziman menghidap tekanan darah tinggi pula adalah 35.9 peratus berbanding purata nasional sebanyak 33 peratus.
Antara usaha yang akan dijalankan kementerian itu termasuk peluasan 11 CHP di Pusat Penuaan Aktif (AAC) dan penubuhan CHP di Masjid An-Nur di Admiralty Road; dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands Drive 17, tambah MOH.
Menurut laman web, Jabatan Perangkaan (Singstat) Singapura, lebih 200,000 penduduk menetap di Woodlands, dengan lebih kurang 25 peratus atau seperempat adalah penduduk Melayu.
MOH berkata: “Pelancaran khidmat CHP di kedua-dua masjid ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas bagi daerah utara untuk memperkasa penduduk (di sana) agar mereka mengambil langkah proaktif ke arah gaya hidup sihat.
“Dengan membawa petugas penjagaan kesihatan yang dipercayai ke persekitaran yang sudah terbiasa (dalam kalangan penduduk), mereka mungkin rasa lebih selesa untuk berdepan dengan topik kesihatan seperti saringan kesihatan.”
Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim, menyifatkan kerjasama antara masjid itu dengan NHG Health sebagai sangat penting.
Beliau berkata masjid menyediakan wadah terkait dengan aspek kepercayaan dan jangkauan masyarakat, manakala rakan kongsi penjagaan kesihatan menyediakan kepakaran klinikal.
Ini katanya, “mewujudkan sistem sokongan bersepadu yang kukuh untuk warga emas”.
Usaha itu sejajar dengan tanggungjawab umat Islam sebagai khalifah atau wakil di dunia, berteraskan nilai hifz al-nafs iaitu memastikan kemaslahatan diri terjaga, katanya.
Oleh demikian, beliau menambah, penjagaan kesihatan, khususnya terhadap golongan warga emas, bukan sekadar khidmat sosial semata-mata, malah, ia adalah atas dasar “belas ihsan dan amanah”.
Ini lebih-lebih lagi tatkala masjid itu dikelilingi estet perumahan matang, dengan sebahagian besar jemaah masjid tersebut merupakan warga emas yang rata-rata tinggal di estet perumahan berdekatan, tambah beliau.
Menurut Encik Juraiman, ini bukan kali pertama masjid menjalankan saringan kesihatan untuk jemaah warga emas yang dilakukan melalui program, Kelab 60 – inisiatif kelolaan masjid bagi jemaah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.
Inisiatif serupa pernah dijalankan oleh pihak masjid, tetapi ia dilakukan secara berkala dan tidak berstruktur, ujarnya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan saringan daya kelemahan ke atas 63 warga emas – anjuran masjid itu dengan NHG Health baru-baru ini – mendapati ramai daripada mereka mengalami tanda-tanda awal kemerosotan dalam aspek mobiliti, kognitif dan risiko terjatuh.
Ini di samping isu kegiatan fizikal yang berkurangan, risiko pemakanan kurang sihat dan pengasingan sosial, sekali gus menekankan kepentingan terhadap pengesanan awal dan sokongan susulan yang tekal, katanya.
“Ini memberikan kami hala tuju yang jelas, bukan sahaja untuk menjalankan program, bahkan juga menyediakan penjagaan berstruktur dan berterusan dalam masyarakat itu sendiri,” tambah Encik Juraiman.
Beliau berkata penubuhan CHP bakal berteraskan lima tonggak – mobiliti dan pencegahan daripada terjatuh; sokongan pemakanan; kesihatan kognitif; kesejahteraan mental; serta penuaan aktif dan penglibatan sosial.
Ketika dihubungi, Pengerusi Masjid Yusof Ishak, Ustaz Mohd Fairuz Shah Sudiman, berkata pihak masjid masih dalam perbincangan dan persiapan bagi CHP, dengan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Buat masa ini, terdapat dua masjid yang menyediakan khidmat CHP iaitu Masjid Al-Amin di Telok Belangah dan Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio.
*Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.
