Masjid Al-Amin berhasrat memperluaskan pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan buat warga emas di bawah inisiatif Pos Kesihatan Masyarakat (CHP) dengan memperkukuh kerjasama sedia ada bersama SingHealth.

Peluasan tersebut meliputi penilaian pada deria penglihatan, pendengaran dan pertuturan.

Antara lain, ia khusus bagi mengesan sebarang kemerosotan pada peringkat awal dalam kalangan warga emas yang menetap di kawasan Telok Blangah – tempat terletaknya masjid itu.

Demikian kata Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial masjid tersebut, Encik Muhammad Fazli Mohamad, ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata: “Kami amat teruja untuk meneruskan kerjasama ini (dengan SingHealth) kerana kami telah menjalankan program ini untuk beberapa tahun.

“Kami dapat lihat hasilnya kerana ia memanfaatkan penduduk sekitar, kebanyakan merupakan warga emas.

“Jika pihak SingHealth mempunyai apa-apa saranan atau misalnya penambahan atau pelanjutan kepada khidmat sedia ada, kami amat mengalu-alukannya.”

Buat masa ini, masjid itu menyediakan khidmat seperti pemeriksaan dan saringan kesihatan asas; pengurusan penyakit kronik serta penyelarasan penjagaan.

Menurut Encik Fazli, khidmat CHP diadakan di premis masjid sejak April 2019 dan dikelola oleh penyedia khidmat kesihatan awam, SingHealth.

Ia beroperasi setiap Jumaat dari 10 pagi hingga 3 petang.

Pengerusi, Divisyen Kesihatan Penduduk dan Penjagaan Bersepadu, Hospital Besar Singapura (SGH), Profesor Madya Low Lian Leng, berkata masjid itu telah menerima sekitar 300 penduduk sejak ia digunakan bagi CHP.

Beliau berkata jenis pemeriksaan yang ditawarkan di Masjid Al-Amin di bawah CHP “tertumpu pada pengesanan awal dan pencegahan keadaan kesihatan dalam masyarakat”.

Antara penyakit yang kerap dikenal pasti di CHP itu termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, tambah beliau.

Ini sekali gus menekankan kepentingan inisiatif kesihatan berasaskan masyarakat dalam pengesanan awal dan pengurusan penyakit kronik, ujarnya.

Secara berasingan, jurucakap SingHealth berkata sekitar 80 peratus daripada individu yang mendapatkan rawatan di CHP itu adalah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, dengan sebahagian besarnya merupakan kaum Adam.

Selain Masjid Al-Amin, sebuah lagi masjid yang mempunyai CHP semasa adalah Masjid Al-Muttaqin yang dikelola oleh NHG Health.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan (Singstat) Singapura, masjid yang terletak di Ang Mo Kio, hampir 30 peratus daripada penduduk di kawasan itu berusia 60 tahun dan ke atas.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairus Abd Manaf, berkata inisiatif CHP di masjid itu dimulakan sejak Disember 2025 dan dilakukan seiring dengan Santunan Emas – program unggul masjid itu.

Program itu menyediakan bimbingan agama, panduan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial kepada warga emas dan penjaga mereka.

Sejak itu, ia telah diperluas ke masjid lain dan ke pusat penjagaan warga emas.

Beliau akur walaupun tempoh pelaksanaan CHP di Masjid Al-Muttaqin masih agak baru, beliau memerhatikan bahawa sebilangan penduduk masih teragak-agak untuk menyertai sesi pemeriksaan percuma.

“Ada yang berpendapat mereka sudah ada pemeriksaan kesihatan yang biasa. Kenapa harus pergi check-up di CHP?

“Ini satu cabaran bagi kami... untuk tukar pemikiran ini kerana saringan atau pemeriksaan di CHP lebih bersifat pencegahan,” ujarnya.

Menurut Jururawat Klinik Kanan bagi Kesihatan Masyarakat, Cik How Ai Xin, antara isu yang kerap timbul di CHP itu termasuk penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan pengurusan berterusan dan pengubahsuaian gaya hidup.

Di samping itu, beliau berkata masalah pergerakan yang berpunca daripada sakit sendi juga kerap dikenal pasti.

Ia sering menjejas keupayaan penduduk untuk menyertai kegiatan harian dan melakukan ibadah sepenuhnya.

“Keadaan ini lazimnya dialami dalam kalangan warga emas, ia mungkin memerlukan pendidikan kesihatan dan program sokongan yang bersasar,” tambahnya.