Topik diikuti
Pergi ke BHku200 warga emas tingkat kemahiran digital di OTH, bagi cegah penipuan
Acara turut cermin peranan pelbagai pihak sumbang masa, tenaga serta kepakaran demi masyarakat
200 warga emas tingkat kemahiran digital di OTH, bagi cegah penipuan
Pesara, Cik Norlela Musa, 63 tahun, kerap melihat hebahan tentang cara mencegah penipuan di televisyen.
Beliau menyifatkan dirinya sebagai seorang yang berhati-hati, dan sering mengabaikan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan menyekat nombor tersebut.
Malah, Cik Norlela berpandangan, warga emas juga perlu memberi perhatian kepada keselamatan diri, di samping kekal aktif secara fizikal dan sosial.
Untuk menambah pengetahuan tentang cara mencegah penipuan, beliau memilih untuk mengunjungi reruai Pasukan Polis Singapura (SPF) semasa acara, Our Tampines Hub (OTH) Giveback 2026.
Cik Norlela merupakan antara 200 warga emas daripada Pusat Penuaan Aktif (AAC) di seluruh Tampines yang menyertai acara tersebut, yang bertema, ‘Kampung Days’ pada 14 November.
Selain meningkatkan kemahiran celik digital dan pencegahan penipuan, golongan warga emas yang menyertai acara tersebut turut berpeluang menyertai persembahan tarian bertenaga, permainan bingo beramai-ramai, permainan kampung tradisional yang diberi sentuhan moden dan pelbagai lagi kegiatan menarik.
Kesemua program di acara berkenaan dirancang dan dikendalikan oleh 22 pasangan sukarelawan ibu bapa dan anak daripada Kelab Kanak-Kanak OTH.
Mereka turut disokong oleh 24 penyewa dan rakan kerjasama OTH yang menyediakan jamuan ringan serta membantu dari segi perancangan kegiatan yang dijalankan di acara itu.
Acara tersebut diserikan oleh kehadiran tetamu kehormat, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa acara seperti OTH Giveback menekankan kepentingan pelbagai pihak dalam sebuah kejiranan menyumbangkan masa, tenaga serta kepakaran demi kebaikan masyarakat.
Perkara itu dapat dilihat menerusi usaha para penyewa, ibu bapa dan kanak-kanak yang berganding bahu melakukan kerja sukarelawan, serta warga emas yang berkongsi bakat mereka dengan masyarakat, kata Encik Masagos.
Sementara itu, beliau menekankan kepentingan warga emas meluangkan masa secara bermakna di samping menjaga kesihatan.
“Golongan warga emas kita memiliki pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang boleh memberikan manfaat kepada orang di sekeliling mereka, sama ada melalui pembelajaran, persembahan mahupun kerja sukarela.
“Pada masa yang sama, penduduk yang lebih muda boleh meraih manfaat apabila dapat meluangkan masa bersama golongan warga emas.
“Interaksi sedemikian membantu generasi yang berbeza untuk saling memahami dan menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Encik Masagos memuji keberanian Encik Ng Hoon Pang, 72 tahun, dari Goodlife Studio AAC yang mencuba peranan baharu sebagai pengacara acara tersebut, bersama dengan kanak-kanak berusia 12 tahun, yang dikenali sebagai Emma.
Sementara itu, warga emas yang menyertai acara OTH Giveback turut berpeluang meningkatkan kemahiran celik digital di situ.
Ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran acara kecerdasan (AI) Tampines pada Jun lalu untuk membantu penduduk menyesuaikan diri dengan AI serta penggunaan hariannya.
Di OTH Giveback, warga emas berpeluang mengukuhkan kemahiran digital menerusi Semakan Kemahiran Digital di reruai yang dikendalikan oleh Pejabat Digital Singapura, yang ditubuhkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Sementara itu, pelajar di reruai Akademi Kodecoon, memperkenalkan prototaip jurulatih keselamatan digital yang dipacu AI kepada warga emas yang hadir.