Daripada kejadian terjatuh sehinggalah kepada mengurus janji temu kesihatan yang berderet, proses penuaan secara sihat dan berdikari pastinya mendatangkan pelbagai cabaran serta risiko bagi warga emas yang hidup sebatang kara.

Sementara itu, para penjaga berdepan tekanan hebat apabila perlu mengimbangi pelbagai aspek penjagaan, selain tidak berupaya untuk sentiasa berada di sisi warga emas.

Demi meringankan beban tersebut, empat pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur di bawah bimbingan pensyarah mereka, telah membangunkan ‘Jaga’ – sebuah peranti sedia pakai dan aplikasi berteraskan kecerdasan buatan (AI).

‘Jaga’ menggunakan beberapa kemudahan bahasa dan perbualan AI, untuk menghasilkan peringatan visual dan audio yang mudah difahami menerusi pelbagai bahasa serta dialek, bagi memastikan warga emas tidak terlepas janji temu kesihatan mereka.

Malah, ia turut dilengkapi dengan giroskop bagi mengesan kejadian terjatuh secara segera, sekali gus menghantar amaran kepada penjaga bagi memastikan tindak balas kecemasan diambil dengan lebih pantas.

Peranti ‘Jaga’ menggunakan beberapa kemudahan AI untuk menghasilkan peringatan visual dan audio yang mudah difahami menerusi pelbagai bahasa serta dialek di samping kemudahan mengesan kejadian terjatuh.
Peranti ‘Jaga’ menggunakan beberapa kemudahan AI untuk menghasilkan peringatan visual dan audio yang mudah difahami menerusi pelbagai bahasa serta dialek di samping kemudahan mengesan kejadian terjatuh. - Foto ECOFUSION LAB

Huraian inovatif itu melayakkan pasukan tersebut, EcoFusion Lab, meraih tempat ketiga di dalam pertandingan Jom AI @ Tampines Hackathon.

Pertandingan itu mencabar pelajar tempatan untuk mencipta huraian dipacu AI bagi menangani pelbagai isu masyarakat.

Sebanyak 10 pasukan terbaik, termasuk EcoFusion Lab, mempamerkan hasil inovasi masing-masing di Pameran AI Tampines yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun di Our Tampines Hub (OTH).

EcoFusion Lab terdiri daripada empat pelajar daripada latar belakang akademik berbeza, iaitu Encik Hanis Jepri, 19 tahun (jurusan Teknologi Proses Kimia); Encik Seh Jia Jun, 23 tahun (jurusan Kejuruteraan Mekanikal); serta dua pelajar jurusan Pengurusan Landskap dan Reka Bentuk, Cik Cheng Pei Ying dan Encik Koh Jia Le Seth, kedua-duanya 18 tahun.

Mereka juga mewakili Kelab Duta Hijau Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.

Pensyarah jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Encik Muhd Riazul Islam Mah, berkata ‘Jaga’ diilhamkan oleh pengalaman peribadi Encik Seh selepas neneknya terjatuh di rumah ketika bersendirian beberapa bulan lalu.

Kumpulan EcoFusion Lab dari ITE Kolej Timur terdiri daripada Cik Cheng Pei Ying (dua dari kiri); Encik ⁠Koh Jia Le Seth (tiga dari kiri); Encik Seh Jia Jun (dua dari kanan) dan Encik Hanis Jepri (kanan), serta pensyarah, Encik Muhd Riazul Islam Mah (kiri), dan Encik Parthiban Rajendran (tiada dalam gambar).
Kumpulan EcoFusion Lab dari ITE Kolej Timur terdiri daripada Cik Cheng Pei Ying (dua dari kiri); Encik ⁠Koh Jia Le Seth (tiga dari kiri); Encik Seh Jia Jun (dua dari kanan) dan Encik Hanis Jepri (kanan), serta pensyarah, Encik Muhd Riazul Islam Mah (kiri), dan Encik Parthiban Rajendran (tiada dalam gambar). - Foto ECOFUSION LAB

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Muhd Riazul, berkata:

“Walaupun tidak semua pelajar mempunyai latar belakang dalam bidang AI dan elektronik, saya amat bangga kerana mereka berjaya menyesuaikan diri dengan cepat, selain saling membantu demi mencipta kemudahan ini.

“Latar belakang akademik yang berbeza juga membolehkan mereka menyumbang idea dan pandangan yang bernilai.

“Saya rasa acara hackathon AI ini berjaya meluaskan jaringan kenalan pelajar di samping mereka juga dapat meraih ilmu yang lebih luas.

“Ia sekali gus mendorong mereka meneroka kaedah lebih inovatif dalam berbakti kepada masyarakat mengikut minat masing-masing.”

‘Jaga’ juga direka supaya boleh diselaraskan dengan aplikasi kesihatan nasional, termasuk Health Buddy, pada masa depan.

“Kami berhasrat memperluaskan penggunaan teknologi mereka dalam bentuk jam tangan atau rantai leher, yang boleh dipakai oleh warga emas dengan lebih mudah,” tambah Encik Muhd Riazul, yang juga salah seorang Ketua Kelab Duta Hijau ITE Kolej Timur.

Acara Jom AI @ Tampines Hackathon – anjuran Persatuan Rakyat (PA), OTH dan firma teknologi dan AI, NCS Group – telah menghimpunkan pelajar daripada peringkat sekolah menengah, ITE, politeknik dan universiti bagi membangunkan huraian berteraskan AI untuk menangani cabaran harian yang dihadapi masyarakat.

Hackathon itu menyaksikan pelajar berinteraksi dengan lebih 150 penduduk Tampines, termasuk pemimpin masyarakat, warga emas, pelajar lain dan golongan kurang upaya, yang berkongsi cabaran seharian dalam kalangan masyarakat Tampines.

Dari 25 April hingga 30 Mei pula, lebih 40 pasukan telah bekerjasama rapat dengan mentor industri bagi mencipta huraian AI yang mengemudi pelbagai keperluan masyarakat.

Susulan siri sesi bimbingan dan penyampaian projek, 10 pasukan terbaik dipilih dan mereka dapat mempamerkan inovasi masing-masing di Pameran AI Tampines 2026.

Para pengunjung boleh menerokai pelbagai kemudahan berteraskan AI di lebih 50 reruai interaktif yang disediakan oleh rakan kongsi masyarakat, syarikat teknologi dan para pemenang Jom AI @ Tampines Hackathon.

Pameran statik dibuka sejak 16 Jun. Sementara itu, pengalaman dan reruai interaktif dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Jun di merata OTH, selepas majlis pelancaran rasmi diadakan sekitar 6 petang pada 19 Jun.

Menerusi kegiatan interaktif serta paparan teknologi secara langsung, orang ramai dapat mempelajari bagaimana AI mempertingkatkan kehidupan seharian, merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, mobiliti, penerangan, riadah dan kesejahteraan masyarakat.

Berikut adalah antara kegiatan menarik dan reruai interaktif yang boleh diterokai semua lapisan masyarakat, daripada golongan muda hingga warga emas.

BiliSG untuk mengesan penyakit kuning atau Jaundice

Aplikasi telefon pintar dipacu AI ini membolehkan saringan penyakit kuning dalam kalangan bayi dilakukan tanpa bedah. Inovasi ini sekali gus menyokong usaha pemantauan dari rumah, selain membantu mengurangkan kunjungan yang tidak perlu dibuat ke pusat kesihatan. Projek perintis itu dibangunkan menerusi kerjasama Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Hospital Universiti Nasional (NUH), Poliklinik SingHealth dan Poliklinik Universiti Nasional.
Aplikasi telefon pintar dipacu AI ini membolehkan saringan penyakit kuning dalam kalangan bayi dilakukan tanpa bedah. Inovasi ini sekali gus menyokong usaha pemantauan dari rumah, selain membantu mengurangkan kunjungan yang tidak perlu dibuat ke pusat kesihatan. Projek perintis itu dibangunkan menerusi kerjasama Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Hospital Universiti Nasional (NUH), Poliklinik SingHealth dan Poliklinik Universiti Nasional. - Foto SGH

Robot Manusia atau humanoid NCS

Para pengungjung boleh berinteraksi dengan ruang foto ‘superhero’ dipacu AI, haiwan peliharaan AI dan menyaksikan persembahan kebolehan pelbagai robot oleh syarikat tempatan, NCS Singapore.
Para pengungjung boleh berinteraksi dengan ruang foto ‘superhero’ dipacu AI, haiwan peliharaan AI dan menyaksikan persembahan kebolehan pelbagai robot oleh syarikat tempatan, NCS Singapore. - Foto KUMPULAN NCS

Pensieve-AI kesan masalah peringatan atau prademensia

Hospital Besar Singapura (SGH) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) bekerjasama untuk mencipta Pensieve-AI, yang boleh mengesan masalah peringatan atau prademensia dalam kalangan warga emas menerusi lukisan digital dalam masa kurang lima minit, dengan tahap ketepatan sehingga 93 peratus.
Hospital Besar Singapura (SGH) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) bekerjasama untuk mencipta Pensieve-AI, yang boleh mengesan masalah peringatan atau prademensia dalam kalangan warga emas menerusi lukisan digital dalam masa kurang lima minit, dengan tahap ketepatan sehingga 93 peratus. - Foto SGH

‘Butler Robot’ Aiden

Lions Befrienders (LB) bekerjasama dengan syarikat elektronik Delta untuk mencipta Aiden – atau Kecerdasan Berautonomi bagi Penghantaran dan Penglibatan – untuk mengirim makanan harian, perubatan, dan barang keperluan lain kepada warga emas di flat masing-masing.
Lions Befrienders (LB) bekerjasama dengan syarikat elektronik Delta untuk mencipta Aiden – atau Kecerdasan Berautonomi bagi Penghantaran dan Penglibatan – untuk mengirim makanan harian, perubatan, dan barang keperluan lain kepada warga emas di flat masing-masing. - Foto LIONS BEFRIENDERS

DRBA – robot bantu berdiri, bergerak dengan selamat

Daripada membantu berdiri dan berjalan dengan selamat, sehinggalah menari di kelas senaman Zumba, Sistem Bantuan Keseimbangan Robotik Dipacu Data (DRBA) ini memastikan pengguna kekal stabil tanpa bimbang risiko terjatuh.
Daripada membantu berdiri dan berjalan dengan selamat, sehinggalah menari di kelas senaman Zumba, Sistem Bantuan Keseimbangan Robotik Dipacu Data (DRBA) ini memastikan pengguna kekal stabil tanpa bimbang risiko terjatuh. - Foto LIONS BEFRIENDERS

“Walaupun tidak semua pelajar mempunyai latar belakang dalam bidang AI dan elektronik, saya amat bangga kerana mereka berjaya menyesuaikan diri dengan cepat, selain saling membantu demi mencipta kemudahan ini. Latar belakang akademik yang berbeza juga membolehkan mereka menyumbang idea dan pandangan yang bernilai. Saya rasa acara ‘hackathon’ AI ini berjaya meluaskan jaringan kenalan pelajar di samping mereka juga dapat meraih ilmu yang lebih luas. Ia sekali gus mendorong mereka meneroka kaedah lebih inovatif dalam berbakti kepada masyarakat mengikut minat masing-masing. ‘Jaga’ juga direka supaya boleh diselaraskan dengan aplikasi kesihatan nasional, termasuk Health Buddy, pada masa depan.”
Encik Muhd Riazul Islam Mah, pensyarah jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.