Warga emas yang ingin membantu rakan sebaya akan mendapat sehingga 700,000 peluang menerusi program baharu yang menggalakkan sikap saling prihatin dalam masyarakat Singapura yang semakin menua.

Program Kakis Sihat Menua atau Age Well Kakis akan memadankan sukarelawan berusia 50 tahun dan ke atas dengan kegiatan kesukarelawanan dalam penjagaan masyarakat mengikut minat, keupayaan dan kelapangan masa mereka, selain menyediakan elaun.

Program itu bertujuan mengurangkan pengasingan sosial ketika rakyat Singapura semakin panjang umur, namun jurang antara jangka hayat dengan tempoh hidup sihat masih wujud.

Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, mengumumkan inisiatif itu pada acara pembukaan Sambutan Warga Emas Kebangsaan yang diadakan di HDB Hub di Toa Payoh pada 30 Oktober.

Semasa berucap di acara itu, Encik Tan berkata: “Masyarakat prihatin bukan sekadar menjaga kebajikan warga emas, malah memastikan mereka saling mengambil berat.

“Dengan memberi mereka peluang untuk menyumbang, kita membantu mereka menjalin persahabatan, menemukan tujuan hidup dan kegembiraan, di samping mengukuhkan masyarakat.”

Pada September, Singapura secara rasmi menjadi masyarakat sangat menua, dengan lebih 21 peratus warganegara berusia 65 tahun dan ke atas.

Menerusi Kakis Sihat Menua, warga emas boleh menemani rakan menghadiri temu janji perubatan, menghantar makanan serta membantu merancang kegiatan penuaan aktif.

Program itu memperluas usaha kesukarelawanan semasa di bawah Sihat Menua SG atau Age Well SG.

Kementerian Kesihatan (MOH) menjangkakan sekitar 16,500 warga emas menyertai program itu dalam tempoh dua tahun.

Dalam menggalak warga emas untuk turut serta, Encik Tan berkata setiap peluang membolehkan sukarelawan membantu seseorang, bertanya khabar jiran, menjalin persahabatan atau menenangkan mereka yang menghadiri janji temu.

“Setiap orang mempunyai sesuatu untuk disumbangkan dan berhak mendapat peluang membawa perubahan.”

Peluang itu tersedia di Pusat Penuaan Aktif (AAC), rumah jagaan dan penyedia khidmat kesihatan mental masyarakat.

Tugas yang diberikan hendaklah ringan dan sesuai dengan kemampuan fizikal warga emas.

Tugas juga harus singkat, contohnya sejam, boleh dilakukan sambil duduk, dengan arahan jelas serta bantuan jika diperlukan.

MOH dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) akan membiayai pertubuhan untuk memadankan sukarelawan dengan tugas bersesuaian.

Dana tersebut juga akan menampung elaun bagi sukarelawan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka serta untuk menggalakkan penyertaan berterusan dalam program ini, sehingga 31 Julai 2028.

Sukarelawan akan menerima elaun sama ada dalam bentuk tunai atau bukan tunai, seperti baucar atau kupon.

Mereka yang berminat boleh melayari laman AIC, menghubungi 1800-650-6060 atau mendaftar di AAC berhampiran.

Encik Tan turut mengumumkan dua inisiatif bagi menyokong kesihatan dan pembelajaran warga emas.

Sejak Oktober, lebih 150 kursus kesihatan dan kesejahteraan ditawarkan menerusi AAC.

Kursus pemakanan, pencegahan jatuh dan penjagaan itu dibiayai sepenuhnya bagi warga Singapura dan penduduk tetap berusia 60 tahun ke atas.

Menurutnya, kursus tersebut meningkatkan pengetahuan, keyakinan dan persahabatan.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pula melancarkan jurnal The Next Page pada 30 Oktober untuk menggalakkan tabiat membaca.

“Minda memerlukan rangsangan sebagaimana tubuh memerlukan pergerakan,” katanya.

Acara dua hari di HDB Hub, Toa Payoh, menghargai sumbangan warga emas dan menggalakkan penuaan aktif, dengan persembahan kebudayaan, perbincangan perancangan legasi serta kegiatan menebus hadiah pada 31 Oktober.