Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2,000 pengecas EV kini dipasang di kondo

Jul 9, 2025 | 4:49 PM
ev, lta, charging
Jumlah pengecas kenderaan elektrik (EV) di kondominium kini meningkat sekitar 300 unit sejak kemas kini terakhir oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Mac. - Foto SP GROUP

Sebanyak 673 kondominium telah memasang 2,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) melalui pembiayaan bersama pemerintah, yang masih boleh digunakan untuk membiayai sehingga 1,500 unit lagi atau sehingga 31 Disember 2026 – bergantung kepada mana yang lebih awal.

Jumlah pengecas EV di kondominium kini meningkat sekitar 300 unit sejak kemas kini terakhir oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Mac.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 9 Julai, LTA menyatakan 1,500 pengecas EV seterusnya akan menerima pembiayaan bersama sehingga 50 peratus bagi kos pemasangan awal, dihadkan pada $3,000 bagi setiap pengecas.

Dilancarkan pada 2021, Geran Pengecas Umum EV (ECCG) merupakan antara langkah utama untuk memperluas rangkaian pengecasan di Singapura dan menggalakkan peralihan kepada EV, lapor The Straits Times (ST).

Pemerintah pada awalnya menyasarkan untuk membiayai bersama sehingga 2,000 pengecas, dihadkan pada $4,000 bagi setiap pengecas, menjelang akhir 2023. 

Tarikh itu kemudian dilanjutkan ke akhir 2025 dengan syarat yang sama, dan sekali lagi hingga akhir 2026, tetapi had pembiayaan dikurangkan kepada $3,000.

Selain geran tersebut, pemerintah turut meminda undang-undang pada 2023 yang membolehkan pemasangan pengecas EV di kondominium diluluskan jika sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk bersetuju, berbanding 90 peratus sebelum ini.

Langkah itu memudahkan kondominium memasang pengecas EV.

Usaha Singapura untuk menggalakkan penggunaan EV juga merangkumi kenderaan berat komersial.

LTA memberitahu ST pada 9 Julai bahawa antara Januari dengan Jun, pihaknya menerima 28 permohonan untuk menjual kenderaan komersial elektrik yang mempunyai berat melebihi 3,500 kilogram.

Daripada jumlah tersebut, 27 permohonan telah diluluskan, manakala satu lagi sedang diproses.

Mulai Januari 2026, pembeli kenderaan komersial elektrik bersaiz besar akan menerima insentif sebanyak $40,000 untuk membantu menampung kos awal yang lebih tinggi berbanding kenderaan diesel konvensional.

Skim insentif untuk kenderaan komersial berat elektrik itu dijalankan serentak dengan geran yang membiayai bersama sehingga separuh kos pemasangan pengecas – dengan had maksimum $30,000 setiap satu – untuk membekalkan tenaga kepada kenderaan tersebut. 

Dikenali sebagai Geran Pengecas Kenderaan Berat Elektrik, skim itu akan bermula pada 1 Januari 2026 dan berlangsung selama tiga tahun.

Setakat Jun, terdapat 14,741 titik pengecas EV yang boleh diakses oleh orang ramai di Singapura.

Ini termasuk pengecas yang dipasang di tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), bangunan komersial, serta kondominium.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg