Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggunaan kenderaan tanpa pemandu lebih luas dalam 5 tahun

Jun 17, 2025 | 5:00 AM
Pemerintah merancang mengerahkan kenderaan autonomi (AV) “secara agak meluas” dalam tempoh lima tahun mendatang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow. Gambar menunjukkan ujian khidmat bas privet tanpa pemandu di Science Park 2.
Pemerintah merancang mengerahkan kenderaan autonomi (AV) “secara agak meluas” dalam tempoh lima tahun mendatang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow. Gambar menunjukkan ujian khidmat bas privet tanpa pemandu di Science Park 2. - Foto ST

Rakyat Singapura boleh jangkakan ke pusat pengangkutan dan tempat seperti masjid dan poliklinik dalam estet kejiranan dengan menaiki bas tanpa pemandu pada masa depan.

Ini dengan pemerintah merancang mengerahkan kenderaan autonomi (AV) “secara agak meluas” dalam tempoh lima tahun mendatang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

AV akan menjadi pengubah keadaan dan menjadi pilihan pengangkutan tambahan yang memanfaatkan rangkaian pengangkutan awam Singapura, tambah beliau.

Dalam wawancara bersama media di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 11 Jun, Encik Siow berkata beliau membayangkan pengerahan AV dalam bentuk bas mini dan bas ulang-alik serta MPV atau kereta pada laluan ditetapkan, yang membawa penumpang dari rumah ke pusat pengangkutan dan rangkaian rel pada waktu sibuk.

Di luar waktu sibuk pula, AV sedemikian boleh membawa penumpang ke tempat-tempat dalam estet kejiranan, seperti masjid, kelab masyarakat, pusat penjaja atau poliklinik.

Pengerahan AV akan mengatasi masalah tenaga kerja dalam sektor pengangkutan awam.

“Apabila anda memperkenalkan khidmat bas baru, anda perlu melatih pemandu bas. Ini akan mengambil masa enam bulan hingga setahun, kerana anda perlu belajar memandu bas itu… Ia mengambil masa, tetapi AV mengatasi cabaran tenaga manusia itu.

“Kenderaannya boleh lebih kecil. Ia tidak perlu terlalu besar. Laluannya boleh diubah dengan lebih fleksibel. Malah, anda boleh lakukan jarak pendek.

“Secara keseluruhan, saya fikir ia akan menjadi pilihan tambahan penting kepada rangkaian pengangkutan awam dan teknologinya sudah sedia ada,” kata beliau, sambil merujuk kepada bandar seperti San Francisco, Amerika dan Guangzhou, China yang sudah pun menggunakan AV.

“Saya pasti dalam masa lima tahun, anda akan melihat banyak AV di Singapura,” tambah beliau, dalam wawancara panjang pertamanya dengan media dalam peranan sebagai pemangku menteri.

Singapura telah memulakan ujian AV di jalan raya awam sejak 2015, tetapi ini dilakukan di tapak terkawal seperti kampus tertutup atau perkhidmatan gelung seperti di Resorts World Sentosa.

Terkini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Januari 2025 mengumumkan ujian bas awam tanpa pemandu bagi khidmat bas nombor 400 di kawasan Marina Bay dan Shenton Way, dan 191 di one-north, dengan enam bas AV akan dikerahkan mulai pertengahan 2026 untuk tempoh tiga tahun.

Sebanyak empat syarikat – WeRide (Singapore), konsortium Handal Indah, Cycle & Carriage Automotive dan konsortium merangkumi MKX Technologies, Zhidao Network Technology (Beijing) dan anak syarikat Singapura bagi pembuat kenderaan elektrik China, BYD – telah mengemukakan bidaan untuk menyertai percubaan ujian bas awam tanpa pemandu itu.

Encik Siow berkata kehadiran AV akan mengubah dinamik landskap memandu, sekali gus memberi implikasi terhadap pasaran kenderaan privet.

“Ia mungkin mengurangkan keperluan memiliki kereta sendiri sebab bagi anda yang memandu kereta sendiri jika anda boleh tempah kereta (AV), kereta akan tiba dalam lima minit dan anda bayar berdasarkan setiap penggunaan.

“Anda boleh pergi ke tempat anda ingin pergi, anda tidak perlu letak kereta. Anda tidak perlu risau tentang sama ada kereta rosak atau tidak, berbanding sekarang di mana anda perlu memandu kereta anda sendiri dan bimbang tentang segala-galanya.

“Saya fikir dinamiknya akan berubah, dan itu akan mempunyai, saya fikir, implikasi yang menarik dalam cara kita berfikir tentang kenderaan privet, dan kemudian kesannya ke atas sistem COE (Sijil Hak Memiliki Kenderaan),” kata beliau.

Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, AV juga akan menyediakan akses kepada warga emas untuk mendapatkan khidmat kenderaan dengan bayaran berdasarkan penggunaan.

“Bayangkan jika setiap warga emas perlu memiliki kereta sendiri kerana mereka ada dua atau empat temu janji perubatan setiap minggu.

“Itu adalah kos yang sangat membebankan untuk warga emas yang telah bersara, tetapi jika anda boleh membayar untuk perjalanan apabila anda memerlukannya dan anda boleh dapatkan akses dengan mudah...saya rasa ini sesuatu yang perlu difikirkan,” kata beliau.

Ditanya apakah implikasi AV terhadap pekerjaan pemandu kenderaan sewa privet (PHV), Encik Siow berkata apabila tiba masanya di mana AV selamat dikerahkan di jalan raya, pemerintah “akan membantu pemandu PHV beralih ke pekerjaan baru dan berbeza”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg