Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tambah bilangan biasiswa buat warga Palestin

Daripada tiga kepada 10; sebahagian sumbangan S’pura kepada usaha pembangunan modal insan Penguasa Palestin sebagai persediaan capai kenegaraan pada masa hadapan
Dec 3, 2024 | 5:24 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (kiri), bertemu Perdana Menteri dan Menteri Luar Palestin, Encik Mohammad Mustafa.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (kiri), bertemu Perdana Menteri dan Menteri Luar Palestin, Encik Mohammad Mustafa. - Foto MFA

Singapura akan menambah bilangan biasiswa tahunan yang ditawarkan di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) daripada tiga kepada 10 untuk rakyat Palestin belajar di Singapura, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau mengumumkan demikian semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar Palestin, Encik Mohammad Mustafa, semasa menghadiri Persidangan Menteri untuk Meningkatkan Usaha Tindak Balas Kemanusiaan di Gaza yang diadakan di Kahirah, Mesir pada 2 Disember.

Biasiswa yang ditawarkan merangkumi lima biasiswa sarjana muda dan lima possiswazah, dan merupakan sebahagian daripada sumbangan Singapura kepada “usaha pembangunan modal insan Penguasa Palestin (PA) sebagai persediaan untuk mencapai kenegaraan pada masa hadapan”.

Dalam hantaran di Facebook pada 3 Disember, Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), berkata beliau tidak sabar mengalu-alukan lebih ramai rakyat Palestin belajar di Singapura.

“Saya sangat gembira memaklumkan kepada Encik Mustafa bahawa Singapura akan menambah bilangan biasiswa tahunan yang ditawarkan di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) kita.

“Encik Mustafa amat menghargai dan bersetuju bahawa ini akan menyumbang kepada kemajuan pembangunan modal insan PA,” kata Dr Maliki.

Dr Maliki berkata Encik Mohamed Mustafa telah meminta sokongan Singapura terhadap pembangunan modal insan semasa pertemuannya dengan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan pada Mac 2024.

Menjawab soalan Berita Harian (BH), Dr Maliki berkata pemohon yang berminat perlu terlebih dahulu memenuhi keperluan akademik untuk kursus masing-masing di universiti tempatan Singapura sebelum biasiswa diberikan.

Permohonan kumpulan pertama biasiswa mungkin akan dibuka untuk tahun akademik 2026 dan pemohon yang berjaya akan dianugerahkan biasiswa penuh, termasuk penginapan dan wang sara hidup mereka.

Pada masa kini, biasiswa possiswazah yang diberi meliputi bidang seperti perhubungan antarabangsa dan program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (Stem).

“Kami juga sedang berunding rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi Penguasa Palestin untuk memuktamadkan butiran biasiswa itu.

“Kami berharap pemegang-pemegang biasiswa ini akan kembali menyumbang kepada pemerintah dan masyarakat Palestin dalam pelbagai bidang di mana mereka dilatih.

“Kami akan berbincang dengan PA mengenai program sarjana muda tertentu yang mungkin relevan kepada rakyat Palestin untuk menyokong usaha pembinaan kapasiti mereka,” kata Dr Maliki.

Semasa di Kahirah, Dr Maliki juga bertemu Menteri Ehwal Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan lama antara Singapura dengan Mesir dan membincangkan hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara negara.

Dr Maliki turut menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan Mesir terhadap pelajar Singapura yang menuntut di Universiti Al-Azhar dan mengalu-alukan kerjasama selanjutnya di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang bakal ditubuhkan.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 3 Disember, Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Singapura pada 1966.

Singapura juga merupakan pelabur Asia ke-5 terbesar di Mesir, dengan kira-kira AS$700 juta ($941.43) pelaburan di Mesir.

Encik Abdelatty juga mengalu-alukan program latihan yang ditawarkan Singapura kepada Mesir. Menurut MFA, Program Kerjasama Singapura telah melatih sekitar 700 pegawai Mesir sehingga kini.

Semasa di sana juga, Dr Maliki sempat mengadakan pertemuan berasingan dengan rakan sejawat dari Kementerian Luar Malaysia, Jordan, Lebanon dan Bahrain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg