Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: S’pura komited terus bantu rakyat Palestin

Bantuan termasuk pakej kemanusiaan, sokongan teknikal; gesa warga sedia hadapi konflik yang lebih luas di Timur Tengah
Oct 5, 2024 | 5:30 AM
Singapura telah menghulurkan empat bantuan kemanusiaan bernilai lebih $17 juta untuk Gaza hasil sumbangan rakyat Singapura menerusi pelbagai badan-badan bukan mencari keuntungan dan kemanusiaan. Gambar diambil pada 17 Mac 2024 ketika Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (tiga dari kiri); Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (empat dari kiri); dan Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Jordan, Encik Shamsher Zaman; dan kakitangan SAF berada di Pangkalan Udara King Abdullah II di Jordan untuk menerima kedatangan bantuan kemanusiaan ketiga Singapura ke Gaza.
Singapura telah menghulurkan empat bantuan kemanusiaan bernilai lebih $17 juta untuk Gaza hasil sumbangan rakyat Singapura menerusi pelbagai badan-badan bukan mencari keuntungan dan kemanusiaan. Gambar diambil pada 17 Mac 2024 ketika Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (tiga dari kiri); Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (empat dari kiri); dan Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Jordan, Encik Shamsher Zaman; dan kakitangan SAF berada di Pangkalan Udara King Abdullah II di Jordan untuk menerima kedatangan bantuan kemanusiaan ketiga Singapura ke Gaza. - Foto ST

Singapura komited membantu rakyat Palestin, sedang rantau Timur Tengah terus menyaksikan konflik yang berpanjangan dan semakin meluas, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, sejauh ini telah menyumbang lebih $17 juta untuk membantu mereka yang terjejas dengan konflik Gaza-Israel - jumlah bantuan kemanusiaan terbesar yang dikumpulkan dalam tempoh paling singkat, kata Encik Masagos kepada Berita Harian (BH).

Walaupun konflik Gaza-Israel itu amat mendukacitakan dan menyayat hati untuk ramai orang, Encik Masagos berkata rakyat Singapura telah mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati dalam respons mereka terhadap konflik itu.

“Mereka telah bertindak terhadap krisis ini dengan empati dan belas kasihan.

“Ramai daripada mereka telah melakukan lebih daripada panggilan untuk menganjurkan acara pengumpulan dana dan menyertai usaha untuk membantu mengurangkan penderitaan di Gaza,” kata beliau.

Encik Masagos turut menekankan komitmen Singapura membantu rakyat Palestin melalui pelaksanaan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) bernilai $10 juta untuk menolong Penguasa Palestin membina keupayaan dan bersedia menjadi negara kelak.

“Sehingga awal Julai 2024, Singapura telah melatih lebih 750 pegawai dalam bidang seperti diplomasi, pengurusan air, pengurusan ekonomi dan perancangan bandar,” kata beliau.

Setahun sudah berlalu sejak konflik Gaza-Israel bermula pada 7 Oktober 2023, namun konflik itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keredaan.

Sebaliknya, konflik kini semakin meluas dan tegang, terutamanya setelah Israel melancarkan serangan udara di Beirut, Lebanon, pada 27 September lalu.

Serangan itu telah membunuh pemimpin Hezbollah Hassan Nasrallah dan timbalan operasi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Abbas Nilforoushan dari Iran.

Menyusuli itu Iran telah melepaskan lebih 200 peluru berpandu ke arah Israel, dengan kededua negara kini saling mengancam satu sama lain dengan serangan susulan.

Sementara itu, Singapura terus menyuarakan pendirian berprinsip di peringkat antarabangsa serta melalui undian di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga) berhubung konflik itu.

Ini termasuk mengundi menyokong resolusi di Unga pada 27 Oktober 2023, yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, perdamaian segera antara Israel dengan Palestin, serta menuntut perlindungan bagi orang awam dan akses bantuan ke Gaza.

Pada 12 Disember 2023, negara ini menyokong resolusi Unga yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza. Tiga hari kemudian, Singapura meluahkan kebimbangan besar terhadap krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza dan menekankan keperluan agar gencatan senjata segera dilaksanakan di sidang semula Sesi Darurat Khas Unga.

Antara lain, pada 10 Mei lalu, Singapura menyertai 142 negara lain untuk mengundi menyokong resolusi di Unga yang menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam pertubuhan dunia itu dan berkata keputusan itu dibuat selepas “pertimbangan serius dan teliti”.

Sejauh ini, Singapura telah menghulurkan empat bantuan kemanusiaan bernilai lebih $17 juta untuk Gaza hasil sumbangan rakyat Singapura menerusi pelbagai badan bukan mencari keuntungan dan kemanusiaan.

Bantuan kemanusiaan yang pertama daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Palang Merah Singapura (SRC) dihulurkan pada November 2023, manakala yang kedua pula kemudian dihantar ke Mesir bagi warga Gaza melalui pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada bulan yang sama.

Bantuan ketiga merangkumi makanan dan bekalan perubatan yang dihulurkan melalui udara dari pesawat RSAF dengan kerjasama Jordan pada Mac 2024, dan yang keempat melibatkan penghantaran sekitar 300 tan sardin dalam tin dan 1,000 tan beras putih pada Julai 2024.

Negara ini juga telah menghantar sebuah pasukan perubatan dua kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ke Mesir pada 18 Januari 2024 untuk menyokong operasi perubatan merawat mangsa peperangan di Gaza.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam satu temu bual baru-baru ini telah menyatakan Singapura “akan pertingkat kerjasama dengan rakan kongsi di Timur Tengah untuk menyampaikan lebih banyak bantuan kemanusiaan”.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, memberitahu BH bahawa Singapura sentiasa mencari peluang untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada Gaza.

Namun, beliau menambah bahawa mereka juga perlu mempertimbangkan risikonya memandangkan bahaya zon konflik.

“Kita perlu sentiasa sedar bahawa sementara kita mahu membantu, kita juga mesti bertanggungjawab atas sesiapa sahaja yang kita hantar ke sana, sama ada mereka pekerja bantuan, tentera SAF, atau pegawai rasmi.

“Kami terus berusaha mencari masa dan peluang yang sesuai - ini adalah penting.

“Namun dalam pada itu, tiada apa yang menghalang kita untuk mengumpulkan bantuan dan bersiap sedia, dan apabila tiba masanya untuk kita menghantar bantuan, kami akan melakukannya, InsyaAllah,” kata beliau.

Encik Masagos berkata laporan keganasan yang semakin meningkat di Hebron, Palestin dan Iran menandakan peningkatan yang membimbangkan di luar Gaza, dan Singapura mesti bersedia untuk konflik yang semakin meluas.

“Marilah kita terus bersatu dalam matlamat bersama kita untuk meringankan keadaan teruk bagi orang awam tidak bersalah yang terperangkap dalam konflik ini, dan dalam harapan kita untuk keamanan di rantau itu,” kata beliau.

“Saya menggalak semua orang untuk tampil memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan yang berterusan, seperti kempen pengumpulan dana terkini RLAF. Anda boleh menderma untuk tujuan itu, mengambil bahagian dalam kutipan jalanan atau bahkan menjadi sukarelawan dalam pembungkusan barangan yang diperoleh untuk Gaza,” tambah Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg