Seramai 22 pelajar menerima biasiswa SPH Media pada 24 Julai yang bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang kewartawanan dan pembangunan media.
SPH Media memberi tiga jenis biasiswa iaitu: Biasiswa Kewartawanan SPH Media, Biasiswa SPH Media-Yayasan Temasek, dan Anugerah aSPHire kepada 22 penerima.
Seramai lima pelajar menerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media, manakala tiga lagi pelajar menerima Biasiswa SPH Media-Yayasan Temasek.
Di samping itu, Anugerah aSPHire, yang sebelum ini dikenali sebagai Biasiswa SPH Media untuk Anak Pekerja yang Berkhidmat, diberikan kepada 14 pelajar.
Berucap di majlis Anugerah Biasiswa SPH Media 2024, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, mengucapkan tahniah kepada penerima biasiswa, sambil menyatakan bahawa kohort biasiswa kali ini membawa pelbagai set kemahiran, termasuk pengaturcaraan web dan analisis.
“Kemahiran sedemikian akan membolehkan bilik berita memahami keperluan pembaca dengan lebih baik dan bercerita dengan cara yang lebih menarik.
“Kemahiran yang dilalui sarjana kita di bilik berita seperti penulisan, mengutarakan soalan, dan memberi perhatian kepada butiran, akan tetap memberi mereka manfaat di luar peranan mereka sebagai wartawan,” kata beliau.
Acara di Auditorium bangunan SPH Media itu turut dihadiri Pengerusi SPH Media Trust, Encik Khaw Boon Wan.
Biasiswa Kewartawanan SPH Media, yang telah diadakan sejak 1987, memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk mendalami dunia kewartawanan melalui pengalaman praktikal di bilik berita SPH Media.
Biasiswa itu menampung yuran pengajian, elaun bulanan dan geran untuk perbelanjaan berkaitan universiti.
Biasiswa SPH Media-Yayasan Temasek, yang dilancarkan 2023, pula bertujuan memupuk bakat kewartawanan.
Biasiswa itu khas buat pelajar dalam Jabatan Komunikasi dan Media Baru; Sains Data dan Ekonomi; dan Sains Politik di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sekolah Perhubungan dan Maklumat Wee Kim Wee di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Biasiswa ini memberi pelajar latihan praktikal di bilik berita dan peluang pekerjaan selama setahun selepas tamat pengajian.
Selain itu, Anugerah aSPHire, yang diadakan sejak 1975, menghargai pencapaian akademik anak pekerja SPH Media.
Selama hampir lima dekad, SPH Media telah menyokong usaha pendidikan anak pekerja SPH untuk menghargai sumbangan mereka yang tidak ternilai.
Encik Chan turut menambah bahawa SPH Media kekal komited dalam memupuk bakat dan inovasi dalam industri media.
“Selain menawarkan biasiswa, kami juga menyediakan peluang pembelajaran dan pembangunan untuk wartawan kami supaya dapat berkembang bersama kami.
“Kami akan membantu anda bersaing, supaya anda boleh menggunakan peluang ini dan mencapai puncak lebih tinggi,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg