22 pemimpin masyarakat, industri tamat program Tunas Bersama M³

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

22 pemimpin masyarakat, industri tamat program Tunas Bersama M³

Mereka kohort kedua program selama 18 bulan yang bermula Jun 2024
Jan 20, 2026 | 10:28 PM

22 pemimpin masyarakat, industri tamat program Tunas Bersama M³

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Tunas Bersama M³, yayasan mendaki, program pemimipin
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), beramah mesra dengan dua peserta yang telah menamatkan program Tunas Bersama M³, iaitu Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid (dua dari kiri) dan Encik Firdaus Hamzah (dua dari kanan) semasa majlis penyampaian sijil di Hotel Amara pada 20 Januari. Bersama mereka ialah Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kanan); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber (kiri). - Foto BH oleh KHALID BABA

Seramai 22 pemimpin masyarakat dan industri telah berjaya menamatkan program Tunas Bersama M³, sebuah program pembangunan kepimpinan kelolaan Yayasan Mendaki.

Mereka merupakan kohort kedua program tersebut, yang merangkumi wakil Pertubuhan Melayu/Islam (MMO), Pengerusi M³@Bandar, Ketua dan Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Mendaki, anggota lembaga pentadbir masjid, serta mantan pemegang jawatan utama Kelab Mendaki (MClub).

Program tersebut, yang dahulunya menyasar pemimpin dari MMO, kini diluaskan untuk merangkumi pemimpin masyarakat sedemikian.

Ia diadakan selama 18 bulan, berlangsung dari Jun 2024.

Program Tunas Bersama M³ itu bertujuan memupuk generasi pemimpin MMO akan datang dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian untuk memimpin masyarakat Melayu/Islam dan pertubuhan mereka.

Berkongsi kepada media semasa majlis penyampaian sijil program tersebut, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata program tersebut bukan sahaja mempersiapkan peserta untuk berjaya secara peribadi.

Bahkan, ia membentuk mereka untuk menyumbang kembali secara bermakna bagi membina dan mengukuhkan masyarakat.

“Program ini juga mengukuhkan pendekatan M³, di mana pemerintah, badan-badan Melayu/Islam, dan rakan kongsi industri bekerjasama untuk menggabungkan kepakaran, memperluaskan jangkauan, dan menterjemahkan idea kepada tindakan.

“Ini agar sokongan yang diberikan kepada masyarakat lebih selaras, responsif dan berkesan,” ujar beliau yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Dr Faishal hadir sebagai tetamu terhormat di majlis tamat pengajian Tunas di Hotel Amara, yang terletak di Tanjong Pagar Road, pada 20 Januari.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber.

Menurut Mendaki dalam satu kenyataan media pada 20 Januari, pemimpin yang terlibat dalam program tersebut menjalani pelbagai sesi pementoran dan perkongsian, serta perjalanan pembelajaran.

Ini di samping menjalani modul seperti impak sosial, pengurusan projek, dan pengurusan konflik antara lain.

Mereka juga telah bekerjasama untuk menerajui 10 projek kemasyarakatan, antaranya Projek Peningkatan Kemahiran Berdasarkan Kepelbagaian untuk Asatizah (D.U.A.).

Dalam projek tersebut, peserta Tunas bekerjasama dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk membantu memperkasa asatizah dengan peningkatan kemahiran kritikal dalam kepimpinan, komunikasi, literasi digital, dan keusahawanan.

Dalam pada itu, inisiatif tersebut bertujuan memperluas peluang kerjaya asatizah di luar peranan tradisional, meningkatkan kebolehpasaran mereka, dan membolehkan mereka memenuhi keperluan masyarakat yang berkembang dengan lebih berkesan.

Antara peserta yang telah menamatkan program tersebut ialah Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Mendaki bagi Kejuruteraan, Encik Firdaus Hamzah, yang muncul sebagai valediktorian program tersebut.

Mengulas lebih lanjut tentang pengalamannya, beliau mendapati program tersebut telah memperluaskan rangkaiannya dalam membina “modal sosial” dan membangunkan keyakinannya untuk memimpin dalam pelbagai peranan.

“Selain daripada memperoleh ilmu dan kemahiran dalam pembangunan kepimpinan dan pengurusan projek, kami juga dapat berinteraksi dengan pelbagai ketua masyarakat dan berganding bahu dengan organisasi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Dalam sebarang inisiatif yang saya ceburi, sama ada dalam kerjaya atau kerja sukarelawan, saya lebih yakin untuk menangani cabaran yang kompleks sambil mengamalkan empati dan memperbaharui niat,” ujar beliau, yang juga seorang CEO firma perunding pengurusan, Circular Transition Partners.

Bagi seorang lagi peserta program itu, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid, beliau berpendapat bahawa program tersebut memperkukuh kepimpinannya dengan memberi rangka kerja yang lebih jelas untuk kekal fokus dan bertindak dengan niat yang tepat.

“Program ini turut menekankan kepentingan perancangan dan pelaksanaan yang tersusun, dengan menetapkan objektif yang jelas dan mengukur hasil, supaya usaha kita bukan sahaja berniat baik tetapi benar-benar memberi impak.

“Di samping itu, ia menggalakkan saya memimpin dengan empati dan keadilan, terutama dalam mengurus orang dan menangani pertikaian atau konflik,” kongsi beliau, Naib Presiden Pergas.

Inisiatif program Tunas Bersama M³ pertama kali diumumkan oleh Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang ketika itu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, di Majlis Perjumpaan Hari Raya secara maya pada Mei 2021, dan dimulakan pada 2022.

Menyentuh tentang hala tuju program Tunas selepas ini, Dr Faishal melakarkan komitmen berterusan Mendaki untuk meneruskan program tersebut.

“Bersandarkan maklum balas daripada kohort pertama dan kedua, Mendaki akan menilai dan memperkukuh program ini, termasuk mempertingkatkan kurikulum dan pendekatan pementoran serta memperluas peluang kolaborasi.

“Langkah ini akan memastikan program Tunas Bersama M³ kekal relevan dan responsif akan keperluan masyarakat yang kian berkembang,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg