Program mentor Mendaki akan libat pelajar seawal Menengah 1
Program mentor Mendaki akan libat pelajar seawal Menengah 1
Yayasan Mendaki akan meluaskan program pementoran bagi penerima Anugerah Mendaki yang berada di peringkat Menengah 1.
Pelajar serta ibu bapa mereka akan dibimbing menerusi seminar, bengkel dan sesi libat urus bersama Rangkaian Karyawan Mendaki.
Langkah ini bertujuan menyokong pembangunan dan masa depan penerima anugerah ini, di samping memupuk pembelajaran serta inspirasi antara generasi.
Penglibatan ibu bapa juga diharapkan dapat membantu membawa pengalaman pementoran ini ke rumah.
Ini merupakan antara penambahbaikan dalam Pelan Kerja Lima Tahun Mendaki (antara 2026 dengan 2030), berbanding sebelum ini, yang hanya menumpukan program pementoran kepada pelajar Menengah 3 hingga peringkat prasiswazah.
Ketika mengumumkan pelan kerja tersebut di ibu pejabat Wisma Mendaki di Kee Sun Avenue pada 15 Januari, Mendaki berkata pementoran merupakan aspek penting dalam membantu membina masyarakat yang berkembang maju.
Sesi taklimat tersebut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Mendaki; serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber.
Mendaki berkata:
“Mendaki sentiasa menjadi pendukung yang kuat kepada masyarakat Melayu/Islam, yang merupakan sebahagian daripada fabrik sosial Singapura... dan kami akan terus memainkan peranan tersebut dengan menggerakkan serta menyatukan masyarakat kita.
“Salah satu program yang mencerminkan komitmen ini ialah pementoran.
“Kami percaya melalui pementoran terhadap golongan belia, generasi masa depan lebih bersedia, bersemangat dan disokong untuk mencapai aspirasi mereka, walau setinggi mana pun cita-cita tersebut.”
Sesuai dengan itu, Mendaki akan mengembangkan program pementoran mereka kepada penerima seawal di Menengah 1, dengan menyediakan pendedahan kepada pelbagai laluan kerjaya, bimbingan praktikal serta wawasan dunia sebenar.
Ini di samping mengukuhkan rangkaian sokongan yang menjangkau bantuan kewangan.
Mendaki berkata apabila pelajar dipadankan dengan mentor-mentor – yang terdiri daripada karyawan berpengalaman tinggi dalam ekonomi serta sektor-sektor terbaru – badan bantu diri tersebut yakin ia dapat mempersiapkan pelajar dengan baik untuk masa depan.
Ia menambah, ibu bapa, yang merupakan aspek penting dalam pembangunan kanak-kanak, juga akan dibimbing dan dijadikan sebahagian perjalanan pementoran.
“Pada usia sekitar 13 tahun, selepas tamat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), pelajar mungkin masih belum jelas hala tuju mereka, dan kehadiran seorang mentor profesional boleh menimbulkan kebimbangan, termasuk dalam kalangan ibu bapa.
“Maka, Mendaki akan membawa ibu bapa bersama dalam perjalanan pementoran ini.
“Apabila keyakinan ibu bapa dibina, pengalaman pementoran tersebut bukan sahaja memberi kesan di luar, tetapi berterusan dalam persekitaran rumah,” kata Mendaki.
Program ini sekali gus mengisi keperluan teras ketiga Mendaki bagi pelan kerja 2030 iaitu, membangunkan masyarakat yang berkembang maju.
Setakat ini, Mendaki telah membimbing lebih 7,900 belia dari peringkat Menengah 3 hingga prasiswazah melalui pelbagai inisiatif pementoran.
Ini termasuk #amPowered, ‘Mara Mentoring’ daripada Kelab Mendaki, dan pementoran pantas.

