Sejumlah 165 kakitangan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilaporkan jatuh sakit antara 23 dengan 25 Julai di kampus Akademi Pertahanan Awam (CDA) di Jalan Bahar.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, seorang jurucakap SCDF berkata pada 26 Julai, individu terjejas menghidap radang perut dan usus (gastroenteritis) ringan dan mengalami gejala seperti sakit perut dan cirit-birit.
Mereka mendapatkan rawatan perubatan dan diberikan cuti sakit tiga hari, kata jurucakap itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi mencegah penularan gejala itu, dewan makanan dan asrama di CDA telah dibersihkan dan dibasmi kuman dengan teliti.
CDA merupakan institusi latihan profesional SCDF, menurut laman akademi itu.
Pusat Latihan Perkhidmatan Negara, yang menawarkan latihan asas kepada anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa SCDF baru, juga terletak di kampus Jalan Bahar itu.
Jurucakap itu berkata: “SCDF memandang serius kesejahteraan kakitangan kami, dan sedang bekerjasama dengan penguasa relevan untuk menyiasat kejadian itu.
“Dewan makan akan terus ditutup sedang siasatan dijalankan dan penyediaan makanan alternatif telah diaturkan.”
Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama mengesahkan pada 26 Julai siasatan terhadap 165 kes radang perut dan usus itu sedang berterusan.
Ia menambah tiada laporan daripada kes-kes tersebut diketahui menerima rawatan di hospital.
“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama,” ujar kenyataan itu.
“Sementara SFA menetapkan dan menguatkuasakan langkah kawalan, pengendali makanan perlu memainkan peranan dengan mematuhi amalan keselamatan makanan yang baik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg