Sehingga tiga sesi solat Hari Raya Aidilfitri akan ditawarkan di sembilan masjid di sini, dengan sejumlah 240,000 ruang solat disediakan.
Demikian dinyatakan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi wadah media sosialnya.
Sembilan masjid itu ialah Masjid Al-Mawaddah (Sengkang), Haji Mohd Salleh (Geylang), Khadijah (Geylang Road), Assyafaah (Sembawang), Al-Khair (Teck Whye), Ar-Raudhah (Bukit Batok), Assyakirin (Taman Jurong), Abdul Gafoor (Dunlop St) dan Angullia (Serangoon Road).
Sesi pertama diadakan pada 7.20 pagi, sementara sesi kedua dan ketiga diadakan pada 8.45 pagi dan 9.45 pagi.
Menurut Muis, sebanyak 12 masjid akan mengadakan hanya satu sesi solat pada 7.20 pagi.
Lagi 34 masjid akan menawarkan dua sesi solat dengan sesi pertama diadakan pada 7.20 pagi dan sesi kedua pada 8.45 pagi.
Mereka yang ingin menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Darul Ghufran di Tampines pada sesi pertama iaitu pada 7.20 pagi mesti membuat tempahan slot melalui pautan, book.masjids.sg
Tempahan dibuka pada Rabu, 26 Mac 2025, pada 10 pagi.
Tiada sesi atau masjid lain memerlukan tempahan slot.
Dalam pada itu, antara masjid yang menawarkan dua sesi solat Aidilfitri ialah Masjid Darul Makmur.
Namun, ini akan dilakukan di tapak sementara masjid tersebut di bekas Sekolah Menengah North View yang terletak di 530 Yishun Ring Road.
Menurut Muis, selain peluang menunaikan solat di masjid, sebanyak 40 kariah yang berkaitan masjid akan menawarkan ruang tambahan bagi penduduk yang mahu melaksanakan solat Aidilfitri lebih dekat dengan rumah mereka.
Ini termasuk di kawasan perumahan Pasir Ris, Tampines, Simei, Bedok, Woodlands, Yishun, West Coast, Choa Chu Kang, Clementi dan Jurong.
Solat Aidilfitri di kesemua 40 tempat kendalian kariah akan bermula pada 8.15 pagi.
Maklumat lanjut tentang solat Hari Raya Aidilfitri 2025 termasuk ruang solat bagi Muslimah dan khutbah boleh didapatkan di pautan, go.gov.sg/rayaprayer atau go.gov.sg/rayaprayersupp.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg