Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2,500 kura-kura dijangkiti bakteria salmonela dimatikan secara ihsan

Jul 22, 2025 | 6:58 PM
Kura-Kura Telinga Merah atau dikenali sebagai ‘Red-eared Slider’ dianggap sebagai spesies invasif.
Kura-Kura Telinga Merah atau dikenali sebagai ‘Red-eared Slider’ dianggap sebagai spesies invasif. - Foto ST

Lebih 2,500 kura-kura yang ditemui dalam beg pakaian seorang lelaki yang dalam perjalanan ke India, telah dihantar kembali ke Singapura dan dimatikan secara ihsan oleh pihak berkuasa selepas ia didapati dijangkiti bakteria salmonela.

Lelaki yang dikenali sebagai Adiakkalasamy Vadivel, 26 tahun, dipercayai terlibat dalam rangkaian penyeludupan haiwan di peringkat antarabangsa dan dalam perjalanan ke bandar Bengaluru, Karnataka, India, demikian lapor akhbar India, The Hindu pada 13 Julai.

Pegawai Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda di Bengaluru menahan lelaki tersebut dan menemui kura-kura itu dalam bagasi daftar masuknya pada 12 Julai, menurut laporan tersebut.

Ia turut melaporkan bahawa lelaki itu mengatakan dia diarahkan untuk menyerahkan kura-kura itu kepada seseorang yang menunggu di luar lapangan terbang.

Sebagai respons kepada pertanyaan, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata:

“Pihak berkuasa India telah menghantar Kura-Kura Telinga Merah atau dikenali sebagai Red-eared Slider, kembali ke Singapura dan lebih 300 daripada lebih 2,500 kura-kura yang ditemui tidak berjaya diselamatkan.”

Ia kemudian dihantar ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar NParks, dan seorang doktor veterinar menilai dan mendapati haiwan itu dijangkiti dengan salmonela patogenik, lapor The Straits Times (ST).

Dalam manusia, bakteria itu boleh menyebabkan demam, sakit perut, cirit-birit, loya dan kadangkala muntah.

Gejala biasanya ringan, tetapi pada golongan kanak-kanak dan pesakit warga emas, dehidrasi boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di laman web mereka.

NParks berkata bakteria itu menimbulkan kebimbangan kesihatan awam dan biosekuriti, oleh itu kura-kura tersebut telah “dimatikan dengan cara berperikemanusiaan dan dilupuskan bagi mencegah penyebaran penyakit”.

Kura-Kura Telinga Merah ialah kura-kura separa akuatik yang berasal dari Amerika Utara dan kini dianggap sebagai spesies invasif di pelbagai kawasan di seluruh dunia.

Di Singapura, adalah menyalahi undang-undang untuk melepaskan kura-kura jenis itu ke dalam kolam atau takungan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg