Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acres gesa pertimbang kesukaran jaga ‘terrapin’ sebagai haiwan peliharaan

Feb 27, 2025 | 2:03 PM
Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) berkata ia menangani tiga kes berkenaan kebajikan lapan kura-kura ‘terrapin’ telinga merah dalam masa satu bulan sahaja.
Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) berkata ia menangani tiga kes berkenaan kebajikan lapan kura-kura ‘terrapin’ telinga merah dalam masa satu bulan sahaja. - Foto ST

Orang ramai yang berminat memelihara kura-kura atau terrapin sebagai binatang peliharaan perlu sedar bahawa haiwan itu tidak mudah dijaga, kata kumpulan kebajikan haiwan Singapura.

Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dalam satu hantaran di Facebook pada 26 Februari berkata bahawa dalam sebulan sahaja, ia menangani tiga kes melibatkan lapan Kura-Kura Telinga Merah atau dikenali sebagai Red-eared Slider, lapor The Straits Times.

Menurut Acres, terrapin jenis itu yang bukan berasal dari negara ini ditemui dalam keadaan yang menimbulkan kebimbangan mengenai kebajikannya.

Spesies Kura-Kura Telinga Merah adalah antara haiwan peliharaan paling popular di dunia, merupakan satu spesies yang berasal dari iklim panas di tenggara Amerika Syarikat dan berhampiran Mexico.

Di Singapura, haiwan itu boleh ditemui di kolam-kolam dan takungan air, menurut maklumat yang ditemui di portal Lembaga Taman Negara (NParks).

Acres berkata ramai orang tidak menyedari betapa sukarnya menjaga terrapin, dan akibatnya, haiwan itu sering menderita dalam persekitaran yang tidak sesuai.

Di bawah model Emode, satu alat yang digunakan untuk mengklasifikasikan haiwan peliharaan mengikut kesukaran dalam menjaganya, terrapin berada dalam kategori sukar atau ekstrem, kata Acres.

Kategori lain dalam model itu adalah mudah dan sederhana.

Dalam hantarannya, Acres berkata: “Ramai orang membeli terrapin kerana ia kecil, comel dan murah, kadangkala berharga serendah $2.

“Bagaimanapun, jangka hayat haiwan itu yang panjang dan keperluannya yang kompleks menjadikan haiwan itu satu komitmen yang besar, yang ramai pemilik tidak jangkakan.”

Terrapin memerlukan perhatian khusus, ruang yang banyak dan keadaan yang sesuai untuk kekal sihat, kata Acres, sambil menambah bahawa mencipta semula habitat semula jadi haiwan itu di rumah adalah “amat mencabar”.

Pencinta haiwan boleh menggunakan model Emode untuk menilai sama ada mereka bersedia mendapatkan haiwan peliharaan, kata Acres.

Model ini mengambil kira faktor seperti biologi dan tingkah laku setiap spesies haiwan dan jangka hayatnya dan jika makhluk itu memerlukan habitat serta pemakanan khusus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg