Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

25,000 pekerja Melayu/Islam raih manfaat daripada bimbingan kerjaya M³

Mar 10, 2025 | 8:47 PM
Pencari kerja mengunjungi pameran pekerjaan dan kemahiran anjuran M³.
Pencari kerja mengunjungi pameran pekerjaan dan kemahiran anjuran M³. - Foto fail

Sekitar 25,000 pekerja Melayu/Islam, termasuk wanita yang kembali bekerja telah meraih manfaat daripada pelbagai usaha yang dianjurkan M Kuasa Tiga (M³) sepanjang tiga tahun lalu di bawah bidang tumpuan keempat M³ berkenaan pekerjaan dan kebolehpasaran.

Ini seperti pameran kerjaya, pemadanan pekerjaan, pembangunan kemahiran dan program bimbingan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) berhubung ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 10 Mac.

“Bidang Tumpuan 4 (FA4) saling melengkapi usaha nasional dalam pembelajaran sepanjang hayat dan membantu pekerja kekal berdaya saing sedang tuntutan pekerjaan meningkat.

“Melalui kerjasama dengan beberapa pertubuhan masyarakat, FA4 telah menyokong sekitar 25,000 pekerja Melayu/Islam melalui pameran kerjaya, pemadanan pekerjaan, program peningkatan kemahiran dan pementoran sepanjang tiga tahun lalu,” kata beliau.

Selain pekerja sedia ada, Encik Zaqy juga menyentuh usaha mempersiap para belia yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Ini termasuk program pementoran yang disediakan bagi mereka dalam hal tersebut.

Menurut Encik Zaqy, program pementoran bertujuan bukan hanya untuk mendorong belia kekal di dalam sekolah tetapi juga meningkatkan kesedaran mereka terhadap peluang kerjaya dan pendidikan yang tersedia.

“Pementoran boleh membantu mengubah perspektif dan memberi motivasi kepada mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak mempunyai rangkaian sokongan kukuh dan teladan kerjaya,” jelasnya.

Pada 2024, program #amPowered Mendaki memadankan hampir 1,400 pelajar kepada lebih 400 mentor.

Ini merupakan dua kali ganda bilangan pada 2022.

Selain pementoran, profesional Melayu/Islam juga telah bersatu melalui Rangkaian Profesional Mendaki untuk membantu belia membina modal sosial dan membuka laluan untuk mereka meraih faedah daripada pelaburan Singapura dalam sektor pertumbuhan.

Rangkaian Profesional itu kini meliputi 13 industri berbeza dengan keahlian yang meningkat kepada dua kali ganda kepada lebih 850 sepanjang 2024.

Daripada anggota yang ada, sekitar 60 peratus telah menyumbang secara aktif melalui program dan inisiatif asas Mendaki.

Memberi contoh, Encik Zaqy berkata pada 2024, Rangkaian Profesional bekerjasama dengan Mendaki untuk mendekati hampir 650 belia merentasi 17 perjalanan pembelajaran interaktif yang memberikan pendedahan kepada peluang dalam sektor pertumbuhan yang berbeza.

Rangkaian Profesional dalam Perbankan & Kewangan, Penerbangan dan Teknologi juga telah menganjurkan acara rangkaian bagi golongan belia mendekati profesional untuk mengetahui tentang laluan kerjaya dalam industri masing-masing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg