Projek Dian, yang menyokong keluarga Melayu yang tinggal di flat sewa, akan dijalankan di kesemua 11 bandar M Kuasa Tiga (M³) menjelang hujung 2025, mendekati tambahan 1,000 keluarga serata negara, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Dengan peluasan itu, ia akan dilaksanakan di baki lima bandar M³ – Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Pasir Ris-Punggol, Toa Payoh, dan Woodlands.
Pada masa ini, Projek Dian dilaksanakan di enam bandar iaitu Bedok, Geylang Serai, Jalan Besar, Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines.
Sejak dirintis pada 2021, projek itu telah mendekati lebih 535 keluarga di enam bandar tersebut, yang merangkumi sekitar 70 peratus keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat sewa.
Dalam kalangan keluarga tersebut, Dr Maliki berkata lebih separuh ada anak kecil yang meraih manfaat daripada sokongan tambahan yang memenuhi keperluan sosial dan pendidikan mereka.
“Projek Dian adalah satu contoh bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat berganding bahu dengan agensi pemerintah dan sukarelawan, untuk menyokong mereka yang tinggal di flat sewa di M³@Bandar.
“Seiring dengan skim nasional seperti ComLink+, Projek Dian membantu keluarga di flat sewa awam meningkatkan kestabilan dan pendapatan mereka, dan berusaha membantu mereka dalam proses membeli dan memiliki flat sendiri,” kata beliau, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan).
Selaras dengan itu, Dr Maliki berkata program Duta Projek Dian – dilancarkan pada 2022 – juga akan diperluaskan ke semua 11 bandar M³.
Sekitar 100 sukarelawan akan dilatih pada 2025, untuk menambahkan jumlah 200 sukarelawan yang ada setakat ini.
Duta Projek Dian akan dipadankan dengan keluarga yang mempunyai anak kecil berusia tiga hingga enam tahun, untuk memberi bantuan seawal mungkin, agar anak-anak ini lebih bersedia memasuki sekolah rendah.
“Keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak ini apabila Duta Projek Dian membaca dan bercerita kepada mereka,” kata Dr Maliki.
Beliau berharap lebih ramai lagi akan tampil untuk menyokong usaha murni itu, dan membantu keluarga yang tinggal di flat sewa keluar dari lingkaran yang mereka hadapi sekarang.
Sementara itu, Dr Maliki turut memberi perkembangan terkini tentang usaha M³ dalam menggerakkan sumber masyarakat dan sukarelawan.
Pada 2024, kesemua 11 bandar M³ telah menganjurkan 160 kegiatan kemasyarakatan yang disokong oleh 900 sukarelawan, dan mendekati lebih 65,000 penduduk.
Ini peningkatan lebih seganda daripada jumlah inisiatif yang diadakan dan penduduk yang didekati tiga tahun lalu.
Selain Projek Dian, antara inisiatif dan program M³ lain termasuk program persiapan perkahwinan Bersamamu dan Cinta Abadi, program sokongan untuk banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka dipanggil Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), dan program celik angka KelasMateMatika (KMM).
Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) dalam satu kenyataan berkata peningkatan itu adalah hasil “dedikasi sukarelawan kita, yang termasuk karyawan daripada kededua sektor awam dan privet, yang membawa pelbagai kemahiran dan rangkaian untuk mempertingkat sokongan masyarakat bagi penduduk di seluruh M³@Bandar”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg