Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kian ramai Melayu sertai program kesihatan, laku kegiatan jasmani

Mar 10, 2025 | 5:44 PM
Lebih ramai orang Melayu kini mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan sihat, dengan penyertaan program kesihatan masyarakat seperti Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) dan Saham Kesihatan, telah meningkat. Gambar menunjukkan peserta bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, bersenam di Pesta Keluarga Saham Kesihatan M Kuasa Tiga (M³) pada 2023.
Lebih ramai orang Melayu kini mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan sihat, dengan penyertaan program kesihatan masyarakat seperti Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) dan Saham Kesihatan, telah meningkat. Gambar menunjukkan peserta bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, bersenam di Pesta Keluarga Saham Kesihatan M Kuasa Tiga (M³) pada 2023. - Foto fail

Lebih ramai orang Melayu kini menyertai program kesihatan masyarakat, dengan hampir 70,000 individu mengambil bahagian dalam kegiatan ‘Jaga Kesihatan, Jaga Ummah’ (JKJU) pada 2024 – berbanding lebih 40,000 pada 2023.

JKJU menawarkan program seperti senaman, ceramah kesihatan dan pengagihan barangan dapur lebih sihat.

Sementara itu, hasil peluasan inisiatif ‘Saham Kesihatan’ ke semua 11 bandar M Kuasa Tiga (M³), jumlah pesertanya meningkat kepada lebih 800 orang pada 2024, daripada sekitar 500 pada 2023, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau berkata sejak bidang tumpuan kelima-lima M³ mengenai kesihatan ditubuhkan dua tahun lalu (2023), rangkaian tersebut telah bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan rakan-rakan masyarakat untuk menganjurkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesihatan masyarakat Melayu/Islam.

Ini termasuk dalam bidang penuaan sihat dan kesejahteraan mental.

“Untuk menjadi warga negara aktif dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara, setiap individu harus kekal cergas dan sihat.

“Dengan ini, kami perlu meningkatkan keprihatinan tentang kesihatan dan menyediakan persekitaran yang menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam,” kata beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) berhubung ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 10 Mac.

Dr Maliki berkata beberapa trend kesihatan positif turut dilihat dalam masyarakat sejak kebelakangan ini.

Contohnya, orang Melayu yang melakukan kegiatan jasmani yang mencukupi meningkat daripada 76 peratus pada 2021 kepada 80 peratus pada 2023.

Kegiatan jasmani itu merujuk kepada sekurang-kurangnya 150 minit kegiatan jasmani berintensiti sederhana setiap minggu, termasuk rutin harian seperti melakukan kerja rumah dan menaiki tangga berbanding menggunakan lif.

Lebih ramai orang Melayu juga mengambil bahagian dalam program nasional SG Yang Lebih Sihat, atau Healthier SG.

Pendaftaran orang Melayu meningkat kepada 45 peratus pada Februari 2025 daripada 30 peratus pada Mei 2024.

Namun, Dr Maliki berkata masih banyak boleh diusahakan, seperti meningkatkan peratusan mereka yang mendaftar dalam program Healthier SG.

Dengan kadar kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol masih kekal lebih tinggi dalam masyarakat Melayu/Islam berbanding purata nasional, beliau berkata usaha perlu dilipat ganda untuk mencegah penyakit kronik.

Kadar penyertaan masyarakat Melayu/Islam dalam pemeriksaan penyakit kronik juga masih rendah.

Hanya 53 peratus orang Melayu berusia 40 hingga 74 tahun menjalani pemeriksaan penyakit kronik pada 2023 – lebih rendah berbanding purata nasional 63 peratus.

“Pemeriksaan kesihatan dapat membantu dalam pengesanan dan intervensi awal, dan boleh mencegah atau melambatkan timbulnya komplikasi sesetengah penyakit.

“Pakar perubatan sering mengingatkan bahawa semakin lama kita tunggu untuk menangani masalah, semakin kompleks dan lebih mahal lagi rawatannya kelak,” kata beliau.

“Saya harap masyarakat Melayu/Islam akan terus mendakap amanah menjaga kesihatan, demi keluarga, demi masyarakat dan demi negara, untuk menjadi warganegara aktif dan terus bersemangat menyumbang kepada pembangunan Singapura,” tambah Dr Maliki.

“Saya harap masyarakat Melayu/Islam akan terus mendakap amanah menjaga kesihatan, demi keluarga, demi masyarakat dan demi negara, untuk menjadi warganegara aktif dan terus bersemangat menyumbang kepada pembangunan Singapura.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg