Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantu pemanggil kesan tanda tipu dalam talian, selamatkan diri

Oct 14, 2025 | 11:21 AM
Kepuasan kerana dapat membantu seseorang mengelak daripada menjadi mangsa penipuan menjadikan kerjaya beliau bermakna dan berbaloi, menurut Cik Alyshah Fandy, yang kelihatan bersama seorang rakan setugasnya sebagai pegawai bantuan talian ScamShield.
Kepuasan kerana dapat membantu seseorang mengelak daripada menjadi mangsa penipuan menjadikan kerjaya beliau bermakna dan berbaloi, menurut Cik Alyshah Fandy, yang kelihatan bersama seorang rakan setugasnya sebagai pegawai bantuan talian ScamShield. - Foto JOSEPH NAIR

Keraguan setakat sedetik dan nombor sekadar empat angka sudah cukup untuk menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa penipuan.

Wanita berusia 50-an tahun itu sahaja memindahkan kira-kira $900 melalui PayNow ke sebuah akaun bank DBS bagi bayaran insurans yang disangkanya sah.

Beliau menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa dirinya menjadi wakil NTUC Income. Pemanggil itu berkata “pelan insurans percubaan” beliau telah tamat tempoh dan beliau kini perlu membayar premium bulanan.

“Pegawai” tersebut kemudian membimbingnya langkah demi langkah cara untuk membuat bayaran.

Namun, wanita itu berasa sangsi sedetik. Sebelum menekan butang “hantar”, atau “send”, pada skrin PayNow, beliau menamatkan panggilan tersebut dan segera mendail 1799, iaitu talian bantuan 24 jam ScamShield.

Apabila seorang pegawai bantuan talian ScamShield, Cik Alyshah Fandy, menjawab panggilan itu, beliau segera menyedari kegelisahan wanita tersebut.

Cik Alyshah, 23 tahun, bertugas sebagai pegawai bantuan talian ScamShield sejak talian itu dilancarkan pada September 2024.

Diuruskan oleh Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) dan dibantu oleh lebih 10 pegawai bertugas, talian bantuan ScamShield membantu orang awam mengesahkan sama ada situasi yang mereka hadapi berpotensi menjadi penipuan, atau scam.

Ia sebahagian daripada ScamShield Suite, yang turut merangkumi laman web (scamshield.gov.sg), aplikasi mudah alih dan saluran amaran melalui WhatsApp.

Dengan tenang, Cik Alyshah membimbing wanita itu mengimbas semula insiden tersebut – siapa menelefonnya, apa yang dikatakannya dan arahan yang diberinya.

Ketika wanita tersebut menceritakan butiran itu, sesuatu mula jelas dalam fikirannya.

“Dia sedar, ketika itu juga, bahawa ia sebenarnya adalah satu penipuan,” kata Cik Alyshah kepada The Straits Times.

Kepuasan kerana dapat membantu seseorang mengelak daripada menjadi mangsa penipuan menjadikan kerjayanya bermakna dan berbaloi, ujar Cik Alyshah. Ini meskipun beliau perlu bekerja dalam syif selama 12 jam.

Dalam era taktik penipuan semakin licik, pegawai bantuan talian ScamShield seperti Cik Alyshah membantu warga Singapura berhenti sejenak, berfikir dan menilai dengan bijak sebelum terlambat.

Sumber yang diyakini

Talian bantuan ScamShield menyediakan saluran mudah dan dipercayai bagi orang ramai “berhenti dan memeriksa” apabila berasa ragu sama ada sesuatu situasi itu merupakan penipuan, kata Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis (SACP) Devrajan Bala, Pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan Polis Singapura merangkap Pengarah Eksekutif NCPC.

Beliau berkata talian itu memberi peluang kepada pemanggil untuk “berfikir semula”, membantu mereka bertenang, menilai dengan jelas dan “mengenal pasti situasi sebenar yang mereka hadapi”.

Setiap hari, talian bantuan ScamShield menerima antara 500 hingga 700 panggilan. Sejak dilancarkan pada September 2024, pegawai mereka telah mengendalikan lebih 128,000 panggilan dan sembang dalam talian melalui laman web ScamShield.

Kira-kira 80 peratus panggilan yang diterima adalah daripada individu yang ingin memeriksa sama ada mereka sedang berdepan dengan situasi penipuan.

Baki panggilan pula datang daripada mereka yang ingin mendapatkan nasihat dan panduan tentang cara melindungi diri daripada menjadi mangsa.

Cik Alyshah teringat tentang seorang warga emas lelaki berusia 70-an yang sering menerima panggilan penipuan hampir setiap hari.

“Saya membimbing beliau cara untuk menyekat nombor tidak dikenali di telefon dan melaporkan nombor mencurigakan melalui aplikasi ScamShield,” ujarnya.

Selain mengesahkan sama ada sesuatu situasi itu adalah penipuan, pegawai ScamShield boleh menghubungkan pemanggil terus kepada bank sekiranya akaun mereka disyaki telah digodam atau disalah guna.

Melindungi insan tersayang

Bagi Cik Alyshah, kes paling menyedihkan ialah penipuan cinta dan pelaburan.

“Ia menyayat hati,” katanya, “kerana saya sering bercakap bersama ahli keluarga mangsa yang terdesak apabila mangsa enggan mempercayai bahawa mereka telah ditipu.”

“Ada mangsa penipuan cinta terlalu terikat secara emosi, manakala ada juga yang telah melabur begitu banyak wang dalam skim pelaburan palsu hingga sukar menerima hakikat mereka telah tertipu,” tambahnya.

Dalam banyak kes, Cik Alyshah dan rakan setugasnya akan cuba bercakap secara langsung dengan mangsa untuk memberi penjelasan. Namun, “kadang-kadang mangsa enggan bercakap dengan kami”, katanya.

Apa boleh dilakukan oleh ahli keluarga?

“Hubungi Pusat Khidmat Keluarga (Family Service Centre) terdekat untuk mendapatkan kaunseling percuma, atau buat laporan polis sekiranya wang telah hilang,” nasihatnya.

Sejak menjadi pegawai bantuan talian ScamShield, Cik Alyshah kini menjadi benteng pertama keluarganya daripada penipuan.

Beliau memastikan ibu bapa dan neneknya memasang aplikasi ScamShield pada telefon mereka.

“Setiap kali saya nampak laporan penipuan dalam berita, saya akan kongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarga saya supaya mereka sentiasa peka mengenai jenis-jenis penipuan terkini,” katanya.

Imbas kod QR untuk maklumat lanjut tentang We Can ACT Against Scams Roadshow, yang akan berlangsung pada 8 dan 9 November.
Imbas kod QR untuk maklumat lanjut tentang We Can ACT Against Scams Roadshow, yang akan berlangsung pada 8 dan 9 November. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA (SPF) 
Orang ramai dinasihatkan agar terus berhati-hati dan gunakan aplikasi ScamShield untuk menyekat penipuan.
Orang ramai dinasihatkan agar terus berhati-hati dan gunakan aplikasi ScamShield untuk menyekat penipuan. - Adaptasi Grafik BERITA MINGGU
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg