3 akan didakwa palsukan keputusan pemilihan atlet Sukan SEA 2023

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 akan didakwa palsukan keputusan pemilihan atlet Sukan SEA 2023

Mar 11, 2026 | 7:43 PM

3 akan didakwa palsukan keputusan pemilihan atlet Sukan SEA 2023

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
renang sirip, sukan sea 2023, pemalsuan
Acara renang sirip di Pusat Akuatik Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja, semasa Sukan SEA 2023. - Foto ANDY CHUA/SNOC

Tiga bekas jurulatih Persekutuan Sukan Selam Singapura (SUF) akan didakwa pada 12 Mac berhubung pemalsuan keputusan dalam pemilihan atlet renang sirip atau ‘finswimming’ untuk Sukan SEA 2023.

Polis berkata pada 11 Mac siasatan mereka mendapati ketiga-tiga lelaki itu didakwa memalsukan keputusan perlumbaan atlet SUF daripada satu acara renang sirip di luar negara.

Renang sirip ialah sukan air yang melibatkan peserta berenang di permukaan atau di dalam air menggunakan sirip khas seperti ‘monofin’ (satu sirip) atau ‘bi-fin’ (dua sirip).

Tiga lelaki berusia 33, 35 dan 56 tahun itu dijadualkan didakwa di mahkamah kerana disyaki terlibat dalam bersubahat untuk melakukan pemalsuan bagi tujuan menipu.

Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Polis menerima laporan daripada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada 18 Mac 2025 mengenai penyerahan keputusan yang disyaki telah dipalsukan oleh persekutuan tersebut.

Majlis itu menyelia pemilihan atlet untuk mewakili Singapura dalam acara sukan pelbagai peringkat utama, termasuk Olimpik, manakala SUF mengawasi semua sukan, aktiviti dan pertandingan bawah air di sini.

Ini termasuk renang sirip, hoki bawah air, selam bebas, selam skuba dan snorkel atau selam permukaan.

Polis berkata ketiga-tiga lelaki itu didakwa berpakat menyerahkan dokumen yang mengandungi keputusan yang dipalsukan kepada SNOC bagi merayu agar atlet tersebut dimasukkan dalam Sukan SEA yang diadakan setiap dua tahun. 

Enam atlet SUF akhirnya dipilih bagi menyertai edisi Sukan SEA di Kemboja itu.

“Enam atlet ini tidak akan dipilih sekiranya bukan kerana keputusan yang dipalsukan,” kata polis.

Dalam kenyataan bersama pada 11 Mac, SNOC dan agensi sukan nasional, Majlis Sukan Singapura (SportSG), berkata mereka tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang menjejas kejujuran dan ketulusan proses pemilihan bagi temasya sukan utama.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan masyarakat sukan supaya mengekalkan standard profesionalisme dan kejujuran, serta ketulusan yang tertinggi dalam tingkah laku mereka,” kata mereka.

Kedua-dua badan itu sebelum ini mengumumkan dalam satu lagi kenyataan bersama pada Mac 2025 bahawa SUF telah menyerahkan keputusan yang dipalsukan bagi acara berganti-ganti selam permukaan wanita 4x200 meter untuk Sukan SEA 2023.

Satu jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan kedua-dua badan itu pada 1 Julai 2024 untuk menyiasat dakwaan bahawa SUF menyerahkan keputusan yang dipalsukan bagi pasukan selam berganti-ganti tersebut.

Pada 2023, Singapura menghantar 11 atlet renang sirip ke Sukan SEA di Kemboja.

Ini termasuk pasukan selam berganti-ganti itu.

Mereka menduduki tempat terakhir daripada empat pasukan, dalam peringkat final berganti-ganti selam permukaan wanita 4x200 meter.

Menurut kriteria pemilihan SNOC, atlet yang mencapai atau melepasi prestasi pemenang tempat ketiga dalam acara yang sama di Sukan SEA 2021 akan dipertimbangkan untuk Sukan SEA 2023.

Bagi sukan berpasukan, mereka perlu berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Sukan SEA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg