Jurulatih BG Tampines Rovers Noh Rahman tinggalkan kelab

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih BG Tampines Rovers Noh Rahman tinggalkan kelab

Siapa pengganti Noh Rahman?
Feb 14, 2026 | 5:37 PM

Jurulatih BG Tampines Rovers Noh Rahman tinggalkan kelab

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
BG Tampines Rovers mengumumkan perpisahan kelab dengan ketua jurulatih, Noh Rahman, menerusi media sosial pada 14 Februari.
BG Tampines Rovers mengumumkan perpisahan kelab dengan ketua jurulatih, Noh Rahman, menerusi media sosial pada 14 Februari. - Foto FAIL

BG Tampines Rovers dan ketua jurulatih, Noh Rahman, mengambil haluan masing-masing selepas beberapa keputusan mengecewakan dalam perlawanan peringkat serantau.

Kelab yang juga dikenali sebagai The Stags itu mengumumkan perkara tersebut menerusi media sosial pada 14 Februari, menjelang perlawanan mereka dalam Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Albirex Niigata.

Penolong jurulatih, Robert Eziakor, akan mengambil alih peranan tersebut buat sementara waktu, bagi memberi kelab ruang untuk mencari ketua jurulatih baru.

Dalam kenyataannya, Tampines mengucapkan terima kasih kepada Noh atas “profesionalisme, dedikasi dan sumbangan berharga” beliau kepada kelab.

Pengerusi kelab, Shungo Sakamoto, berkata:

“Selepas beberapa perbincangan terbuka dan profesional mengenai hala tuju pasukan bagi baki musim semasa dan musim mendatang, kedua-dua pihak sama-sama bersetuju bahawa ini merupakan masa sesuai untuk mengorak langkah baru, membolehkan kedua-dua pihak membuat perancangan lebih berkesan bagi tempoh akan datang.

“Keputusan ini dibuat dengan penuh pertimbangan dan berpandangan jauh, atas asas saling menghormati, yang memastikan kestabilan bagi kelab serta memberi fleksibiliti bagi peluang akan datang buat Noh Rahman.”

Noh memberitahu The Straits Times (ST):

“Saya dan kelab telah mengadakan perbincangan yang sangat terbuka, dan kami sama-sama bersetuju bahawa ini merupakan masa sesuai untuk mengorak langkah baru.”

Noh, yang sebelum ini merupakan penolong jurulatih dan ketua pembangunan belia Tampines, dilantik pada September 2025 untuk menggantikan Akbar Nawas.

Di bawah bimbingan Noh, The Stags kini berada di tangga kedua dalam SPL yang melibatkan lapan pasukan, dengan enam kemenangan dan dua seri.

Jurulatih berusia 45 tahun itu juga membawa kelab tersebut ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), dengan lima kemenangan dan satu seri dalam peringkat kumpulan.

Namun, The Stags berdepan keputusan buruk selepas itu, apabila mereka menamatkan peringkat kumpulan Kejohanan Kelab Asean (ACC) di tempat kelima daripada enam pasukan, selepas dibelasah 6-1 oleh Cong An Ha Noi dari Vietnam.

Mereka kemudian tewas 4-0 kepada pasukan sama dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir ACL2.

Di bawah kendalian Noh, The Stags turut tewas kepada Sailors dalam Piala Singapura selepas kesilapan pertukaran pemain memaksa mereka menyerahkan kemenangan dalam perlawanan akhir.

Tampines gagal mengekalkan sekurang-kurangnya empat pemain Singapura di padang dan telah melanggar peraturan pertandingan – yang mana Noh menerima tanggungjawab atas kesilapan tersebut.

Kelab itu juga melalui beberapa perubahan pada permulaan musim ini, dengan Desmond Ong meletak jawatan sebagai pengerusi pada Mei 2025, digantikan oleh Sakamoto.

Tampines kemudian membawa masuk penyerang dari Jepun yang pernah memenangi Piala Asia, Tadanari Lee, sebagai naib pengerusi dan pengarah sukan pada Disember.

Noh berkata:

“Bersama kakitangan dan pemain lain, kami boleh berasa bangga dengan pencapaian kami, terutamanya dalam Liga Juara-Juara (AFC).

“Saya boleh katakan dengan yakin bahawa kami meninggalkan kelab dalam keadaan baik, di mana kami masih bersaing sengit dalam liga dan saya berharap kelab ini dapat menamatkan musim ini dengan cemerlang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg