Jawatankuasa Semakan Tenaga Kerja Perakaunan (AWRC) membentangkan laporan yang memperincikan tiga cadangan untuk menjadikan sektor perakaunan Singapura lebih menarik sedang cabaran pengambilan pekerja berterusan.
Dalam laporannya, AWRC mengenal pasti gaji permulaan yang lebih rendah dan masa kerja yang panjang sebagai antara cabaran utama yang dihadapi oleh karyawan muda sektor itu.
Faktor sedemikian menyebabkan kemerosotan daya tarikan keseluruhan sektor perakaunan, berbanding sektor lain seperti perbankan, teknologi dan perundingan, menurut laporan yang dilancarkan pada 10 Mei.
Justeru, cadangan yang dikemukakan itu bertujuan memastikan kerjaya yang lebih menarik, mewujudkan laluan berkualiti, selain mengukuhkan keupayaan karyawan akauntan di sini agar mereka dapat bersedia menempuhi cabaran masa hadapan.
Keadaan ini “tidak unik” hanya kepada Singapura, dengan banyak negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat juga menghadapi kekurangan akauntan, kata Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah pada pelancaran laporan itu.
Ini terjadi meskipun permintaan untuk perakaunan dan perkhidmatan berkaitan terus berkembang.
Dalam menangani hal ini, AWRC dengan itu mengesyorkan agar majikan mengkaji semula struktur pampasan mereka dengan menyediakan gaji yang lebih tinggi pada permulaan kerjaya seorang akauntan, termasuk gaji permulaan mereka.
Beberapa firma perakaunan utama komited untuk menaikkan gaji permulaan mereka, dengan butiran lanjut akan dikongsi dalam masa terdekat.
Cabaran lain yang diketengahkan AWRC dalam laporannya ialah laluan terhad bagi pemegang diploma dan lepasan bukan akauntan untuk menjadi akauntan bertauliah di Singapura.
Ini kerana seseorang perlu mempunyai Kelayakan Akauntan Bertauliah Singapura (SCAQ) untuk diiktiraf sebagai akauntan bertauliah.
Bagi menanganinya, mereka mengusulkan agar memendekkan laluan graduan politeknik berlatar belakang perakaunan bagi mendapatkan kelayakan yang diperlukan selain mewujudkan laluan baru bagi graduan bukan perakaunan memasuki sektor itu.
Graduan politeknik yang telah menamatkan modul percukaian semasa pengajian mereka kini akan dikecualikan daripada modul dalam program asas SCAQ.
Ini akan mengurangkan beban peperiksaan mereka, membolehkan mereka menjadi akauntan bertauliah sekitar enam bulan lebih awal.
Politeknik Ngee Ann (NP) juga akan memperkenalkan program platform pelancaran kerjaya menjelang hujung tahun ini untuk melengkapkan graduan bukan perakaunan dengan kemahiran perakaunan penting.
Program ini, yang akan mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan, termasuk latihan dalam bilik darjah dan semasa bekerja di firma perakaunan, selain bimbingan kerjaya dan elaun latihan untuk peserta.
Cadangan ketiga laporan itu adalah untuk memperkukuhkan lagi keupayaan karyawan dalam sektor ini dengan meningkatkan nilai mereka sebagai akauntan bertauliah Singapura.
Cik Indranee melahirkan keyakinan tentang masa depan karyawan perakaunan, sambil berkata:
“Peranan akauntan berkembang pesat – daripada secara tradisinya dilihat sebagai penyokong perniagaan, kini menjadi pemboleh perniagaan dan dalam beberapa kes malah peneraju bersama perniagaan.
“Saya teruja dengan masa depan karyawan perakaunan. Dengan cadangan ini, saya yakin perakaunan akan terus menjadi kerjaya pilihan,” katanya.
Laporan itu boleh didapati menerusi laman go.gov.sg/awrc-report.
AWRC telah ditubuhkan pada Oktober 2022 oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kawal Selia Perakaunan dan Korporat (Acra) untuk menangani cabaran tenaga kerja sektor perakaunan.
Sejak itu, ia telah melibatkan lebih daripada 300 pihak berkepentingan daripada sektor ini merentasi 50 kumpulan fokus dan sesi penglibatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg