Tiga orang dibawa ke hospital selepas sebuah bas mini jatuh ke dalam longkang besar dekat Balai Rakyat Senja-Cashew di Bukit Panjang pada petang 19 Ogos.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan tentang kemalangan yang berlaku dekat simpang Bukit Panjang Road dan Bukit Panjang Ring Road itu sekitar 1.10 petang, lapor The Straits Times (ST).
Kemalangan itu melibatkan sebuah bas dan sebuah van, kata polis.
Tiga orang diselamatkan selepas pegawai SCDF menggunakan tangga untuk memasuki Longkang Besar Pang Sua itu.
Pemandu bas mini, seorang lelaki berusia 68 tahun, dan dua penumpang, wanita berusia 14 dan 53 tahun, dibawa ke hospital dalam keadaan sedar, kata polis.
Dua orang dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dan seorang lagi dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
Gambar yang dimuat naik ke Facebook menunjukkan bas mini tersebut, dengan bampar yang rosak, berada di tengah-tengah longkang itu. Beberapa pekerja dilihat berhampiran kenderaan tersebut.
Bas mini itu kelihatan milik Sekolah Masyarakat Antarabangsa, sebuah sekolah antarabangsa di Jubilee Road, dekat West Coast Road.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg