Air coklat yang berlumpur dilihat terkumpul di longkang besar sementara di Tengah Garden Avenue.
Ini disebabkan kelodak yang terhasil akibat hujan lebat semasa monsun baru-baru ini, kata agensi air negara PUB pada 31 Mac.
Kelodak tersebut kemudian mengalir ke Longkang Besar Jurong dan mungkin juga ke Tasik Jurong, yang merupakan salah satu daripada 17 takungan air di Singapura.
PUB menyatakan ia telah meminta kontraktor yang bertanggungjawab atas pelepasan kelodak tidak dirawat itu agar memperbaiki keadaan.
Apabila dilepaskan ke saluran awam, air menjadi berlumpur dan ini meningkatkan risiko banjir kilat semasa hujan lebat, kerana ia mengurangkan kelancaran aliran air, kata PUB semasa menjawab pertanyaan akhbar, The Straits Times (ST).
Kontraktor dikehendaki untuk membendung dan merawat air yang mengandungi kelodak, sebelum ia dilepaskan ke saluran awam, selaras dengan kod amalan PUB berhubung saliran air pada permukaan.
PUB telah dimaklumkan mengenai air yang mengandungi kelodak di Tengah oleh seorang anggota Persatuan Alam Semula Jadi (NSS) pada 21 Mac.
Ini berlaku susulan hujan lebat yang melanda Singapura semasa tempoh monsun dari 19 hingga 21 Mac.
“Kami akan mengambil tindakan penguatkuasaan jika mana-mana kontraktor didapati tidak mematuhi keperluan langkah kawalan tanah,” kata Pengarah Jabatan Tadahan dan Laluan Air PUB, Encik Maurice Neo.
Di bawah Akta Kumbahan dan Penyaliran (SDA), pesalah yang gagal mematuhi peraturan mungkin dikenakan denda dan perintah pemberhentian kerja.
Mereka juga boleh didakwa dan didenda sehingga $50,000 dan bagi pesalah berulang, sehingga $100,000.
Selain perlu membendung dan merawat air yang mengandungi kelodak sebelum pelepasan, kontraktor di tapak pembinaan seluas 0.2 hektar atau lebih, mesti memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pelepasan air yang dirawat ke saluran awam.
Paparan visual dari kamera itu dianalisis secara langsung dan jika pelepasan mengandungi kelodak dikesan, amaran automatik akan dihantar kepada pengurus projek, pegawai langkah kawalan tanah dan pihak berkaitan yang lain.
“Terdapat keperluan untuk memastikan pemantauan yang ketat dan khusus terhadap langkah kawalan hakisan tapak pembinaan, sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan dan pemantauan alam sekitar dan kegagalan untuk mematuhi aturan perlu dikenakan penalti,” tambah anggota majlis NSS, Encik Tony O’Dempsey.
Orang awam boleh melaporkan penemuan pelepasan yang mengandungi kelodak di longkang besar kepada pusat panggilan 24 jam PUB (1800-2255-782), berserta butiran tempat, foto dan video.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg