Topik diikuti
Pergi ke BHku3 kes remaja jadi radikal sendiri, rancang lakukan serangan di S’pura
3 kes remaja jadi radikal sendiri, rancang lakukan serangan di S’pura
3 kes remaja jadi radikal sendiri, rancang lakukan serangan di S’pura
Tiga remaja lelaki warga Singapura telah dikenakan Perintah Tahanan (DO) secara berasingan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menjadi radikal sendiri secara dalam talian akibat terdedah kepada ideologi ekstremis ganas, dan telah membuat persiapan untuk melaksanakan serangan di dalam negara.
Kes Pertama
Seorang pelajar menengah empat berusia 15 tahun yang menjadi radikal sendiri susulan kejadian serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Dia telah menyertai beberapa kumpulan dalam talian untuk mempelajari lebih tentang Islam, di mana minatnya terhadap sejarah kekhalifahan Islam meningkat.
Dia menemui kandungan ekstremis ganas yang menggalakkan sokongan terhadap kumpulan pengganas seperti ISIS.
Pada pertengahan 2025, remaja itu terdorong untuk menubuhkan khalifah Islam yang dipanggil ‘Khalifah Malaya’ di rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Dia juga mencipta bendera untuk mewakili khalifahnya, dan mendapatkan bantuan ibunya untuk mencetak bendera tersebut melalui peruncit e-dagang.
Pada akhir 2025, remaja itu secara terbuka menyatakan ikrar kepada ISIS melalui media sosial, dan menganggap dirinya sebagai anggota ISIS.
Baginya, negara sekular seperti Singapura yang menggelar ISIS sebagai pertubuhan pengganasan dianggap musuh.
Justeru, remaja itu terpanggil untuk melancarkan serangan di Singapura bagi meneruskan perjuangan ISIS dengan menggunakan bom ‘periuk tekanan’ yang dipelajarinya melalui video.
Dia juga cuba mendapatkan maklumat tentang pembelian kalium nitrat (potassium nitrate) selepas mengetahui bahan tersebut digunakan sebagai salah satu bahan dalam pembuatan roket ‘Qassam’ oleh Hamas yang digunakan semasa serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Kes Kedua
Tan Jun Jie, seorang mualaf yang mengamalkan ajaran Islam sejak 2022, telah terdedah kepada ajaran ekstremis oleh pendakwah luar negara dan kepercayaan agama secara dalam talian.
Menganggap dirinya sebagai anggota ISIS dan melakukan bai’ah (ikrar taat setia) dalam hatinya pada Januari 2026, remaja berusia 19 tahun tersebut percaya membunuh ‘orang kafir’ itu dibenarkan dalam agama.
Dia berpandangan ‘orang kafir’ bukan sahaja merujuk kepada individu bukan Islam.
Malah, ia merangkumi penganut Islam Syiah, umat Islam lain yang menurutnya mempunyai kefahaman tentang Islam berbeza, serta individu yang berkhidmat dengan pemerintah yang dianggapnya tidak berlandaskan Islam (pemerintah sekular).
Dia telah merancang dua serangan di Singapura.
Rancangan pertama melibatkan sasaran terhadap anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang bertugas di pintu masuk Pangkalan Udara Sembawang kerana dia menganggap mereka sebagai pejuang musuh yang berkhidmat untuk ‘pemerintah kafir’ Singapura.
Rancangan kedua pula disasarkan terhadap pelajar lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira (LGBTQ) di institusi pengajiannya kerana menganggap tingkah laku mereka bertentangan dengan ajaran Islam.
Dia mengutamakan rancangan untuk menyerang anggota SAF kerana percaya tindakan tersebut akan memberikannya ganjaran besar daripada Tuhan serta meningkatkan peluangnya untuk mati sebagai seorang syahid.
Tan telah membuat kajian dalam Internet mengenai kemahiran menggunakan pisau dan mengenal pasti sebilah pisau dengan bilah sepanjang 10 sentimeter bagi digunakan dalam serangan tersebut.
Selain itu, Tan mengaku telah melancarkan serangan penafian perkhidmatan (DDoS) pada pertengahan 2025 terhadap laman sesawang beberapa pertubuhan Islam tempatan dan luar negara.
Dia telah menggunakan perisian hasad (malware) yang dimuat turun dari Internet untuk melaksanakan serangan tersebut.
Memandangkan beliau menganggap pertubuhan itu sebagai telah menyimpang daripada ajaran Islam, dia bertujuan menjadikan laman sesawang mereka tidak dapat diakses bagi melindungi umat Islam daripada apa yang dipercayainya sebagai ajaran yang menyesatkan.
Kes Ketiga
Seorang remaja yang mula menjadi radikal sendiri pada 2024 ketika baru berusia 12 tahun akibat Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).
Dia terdedah kepada insiden sebenar tembakan di sekolah yang dihasilkan semula dalam permainan video penembak orang pertama (FPS), Roblox.
Dia mengetahui beberapa pelaku tembakan besar-besaran itu pernah menjadi mangsa buli, dan tindakan keganasan yang mereka lakukan merupakan bentuk balas dendam.
Pelajar 14 tahun itu turut mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa buli.
Pada akhir 2025, dia merancang serangan terhadap guru dan rakan sekolah yang bukan beragama Islam semasa cuti sekolah pada Jun 2026 dek rasa tidak puas hati akibat dibuli serta tekanan akademik daripada gurunya.
Dia memilih untuk menggunakan pisau daripada rumahnya sebagai senjata yang boleh digunakan selepas berulang kali menonton video pelaksanaan hukuman mati dan tutorial tikaman oleh ISIS.
Selain ISIS, dia turut terdedah kepada bahan ekstremis sayap kanan, termasuk naratif anti-Semitik serta neo-Nazi dan telah menyediakan satu manifesto setebal 21 halaman mengenai rancangan serangannya pada Januari 2026.
Dia juga menganut fahaman akselerasionis (accelerationist) kumpulan neo-Nazi Atomwaffen Division — fahaman bahawa sistem dunia telah rosak dan perlu dimusnahkan terlebih dahulu sebelum ia dapat dibina semula demi kebaikan masyarakat.