Pihak berkuasa telah menumpaskan rancangan seorang pelajar menengah dua berusia 14 tahun untuk menggunakan pisau dan menikam guru serta rakan sekolah bukan Muslim di sekolahnya.

Pelajar itu, yang tidak dinamakan kerana berusia bawah 18 tahun, ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Mei 2026, hanya beberapa minggu sebelum tarikh yang ditetapkannya untuk melakukan serangan pada cuti sekolah Jun.

Dalam kenyataannya pada 27 Julai, ISD berkata dua lagi remaja, berusia 15 dan 19 tahun, turut dikenakan Arahan Penahanan (OD) di bawah ISA pada April dan Jun, dalam kes-kes berasingan.

Pelajar berusia 14 tahun itu ialah yang termuda ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebelum ini, tiga remaja berusia 14 tahun dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah ISA pada Jun 2024, September 2025 dan November 2025.

ISD berkata pelajar tersebut menjadi radikal sendiri di dalam talian dan menyokong kumpulan militan ISIS. Dia juga menyokong fahaman pelampau sayap kanan, termasuk perbuatan menembak dan membunuh orang beramai-ramai.

Menurut ISD, pelajar berusia 14 tahun itu merupakan individu dan belia ketiga yang ditangani di bawah ISA kerana menjadi radikal sendiri akibat Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).

CoVE, yang sebelum ini digelar ISD sebagai ekstremisme ‘salad bar’, atau fahaman ekstrem bercampur aduk, merujuk kepada satu bentuk ekstremisme ganas yang mana individu berpegang pada pelbagai ideologi ekstremis, yang kadangkala bercanggah, dan bukannya berpegang pada pandangan dunia yang bersangkut paut atau bersatu.

Ini menghasilkan sistem kepercayaan komposit yang diperibadikan, digunakan oleh individu tersebut untuk mewajarkan keganasan.

Menurut ISD, pelajar itu berhasrat menikam rakan sekolah dan guru-guru kerana berasa menjadi mangsa pembulian dan mendakwa diberi tekanan akademik oleh guru-gurunya. Dia telah menyiapkan manifesto setebal 21 muka surat yang mengemukakan rancangannya itu, termasuk pilihan pisau sebagai senjata.

Dia berhasrat untuk menggunakan pisau dapur dan pisau pena dari rumah dan memilih untuk melaksanakan serangan itu pada musim cuti sekolah apabila jumlah guru di sekolah berkurangan.

Namun, rancangannya itu terbongkar apabila seorang yang tidak dinamakan dari sekolah itu melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Bercakap kepada media pada 27 Julai, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata ISD telah bertindak “tepat pada masanya”.

“Dalam tempoh tiga bulan lalu, ISD telah menahan tiga remaja lelaki di bawah ISA. Seorang daripada mereka akan melaksanakannya (melakukan serangan) semasa cuti sekolah Jun sekiranya ISD tidak menahannya tepat pada masanya,” kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Kanan.

“Jadi, ia memang tepat pada masanya. Dia sememangnya berhasrat untuk melaksanakannya.

“ISD dan MHA perlu bertindak dengan tepat setiap kali. Sebaliknya, individu yang merancang serangan hanya perlu berjaya sekali sahaja.”

Dua lagi remaja yang ditahan di bawah ISA ialah Tan Jun Jie, 19 tahun seorang mualaf yang menuntut di institut pengajian tinggi dan seorang pelajar menengah empat berusia 15 tahun.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee berkata pencegahan, pendidikan dan perancangan kontingensi adalah penting dalam menangani cabaran menjadi radikal sendiri dalam kalangan remaja.

Tan merancang menyerang dengan pisau askar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pangkalan Udara Sembawang dan pelajar lesbian, gay, biseksual, transjantina dan ‘queer’ (LGBTQ) di institut pengajian tinggi yang dihadirinya.

Dia juga cuba menjejas akses ke beberapa laman web milik pertubuhan Islam yang dianggapnya sesat. Ini termasuk laman web Persatuan Muhammadiyah (Singapura) dan Persatuan Muslim Jaafari Singapura serta satu pertubuhan Ahmadiyya asing.

Menurut ISD, Jun Jie Tan merupakan individu pertama yang menjadi radikal sendiri dan ditangani di bawah ISA kerana cuba melancarkan serangan siber bagi meneruskan fahaman radikalnya.

Pelajar berusia 15 tahun itu pula, menganggap dirinya pejuang ISIS dan antara lain berhasrat melakukan serangan di Singapura menggunakan bom periuk api. Dia telah belajar cara-cara membuat bom sedemikian dengan menonton video di dalam talian mengenai pengeboman di Maraton Boston pada 2013.

“Dia masih belum menetapkan garis masa, lokasi atau sasaran khusus bagi serangannya, namun membayangkan serangan itu akan dilakukan di kawasan bandar sehingga mengorbankan ramai orang awam,” kata ISD.

Jabatan tersebut turut berkata keluarga dan rakan-rakannya mengetahui fahaman ekstremis yang dianutinya, namun tiada seorang pun melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menyentuh tentang kes radikalisasi tiga remaja itu, ISD berkata ia membuktikan betapa parah ancaman radikalisasi dalam kalangan belia di Singapura.

“Belia-belia berkenaan mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakukan keganasan dan masing-masing berada pada tahap perancangan atau persiapan serangan yang berbeza ketika diberkas,” kata jabatan tersebut.