3 lelaki didakwa atas kesalahan rasuah, pemalsuan berkaitan jualan khidmat perisian
3 lelaki didakwa atas kesalahan rasuah, pemalsuan berkaitan jualan khidmat perisian
Tiga lelaki didakwa di mahkamah pada 18 Mac atas tuduhan kesalahan rasuah dan pemalsuan berkaitan penjualan perkhidmatan perisian hak milik.
Mereka ialah pengurus jualan yang bekerja dengan firma perisian Zoho Corporation, Ng Tung Ping, 43 tahun; bekas pengarah firma perkhidmatan dan perundingan IT Zoaster, Dominic Phan Loong Siang, 45 tahun; serta pengarah Zoaster, Reeve Lui Oi Yin Alix, 35 tahun. Ketiga-tiga mereka menggalas jawatan tersebut ketika melakukan kesalahan berkenaan.
Setiap lelaki berdepan enam tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah, serta empat tuduhan pemalsuan setiap orang.
Antara Oktober 2022 dengan April 2023, Phan dan Lui didakwa bersekongkol dalam enam kejadian berasingan untuk memberi Ng rasuah sebanyak $53,500.
Rasuah itu diberi sebagai dorongan bagi memajukan kepentingan perniagaan Zoaster dengan Zoho, yang melibatkan jualan perkhidmatan perisian hak milik.
Dari Februari hingga April 2023, Ng, Phan dan Lui dituduh bersekongkol dalam mengeluarkan empat invois palsu bagi menyokong tuntutan bahawa mereka telah melaksanakan kerja untuk syarikat gaya hidup, Loverrella.
Ini meskipun mereka tidak menjalankan sebarang kerja sedemikian.
Menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Ng merupakan pengarah dan pemegang saham Loverrella, dan invois palsu tersebut dikeluarkan bagi menyembunyikan rasuah yang Phan dan Lui beri kepada Ng.
Pada 18 Mac, Ng menyatakan dia akan membuat akuan tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Phan dan Lui pula tidak menyatakan sama ada mereka akan membuat akuan bersalah atau tidak.
Kes mereka akan dibicarakan semula di mahkamah pada 14 April.
CPIB berkata Singapura mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap rasuah.
“Pertubuhan sangat dinasihatkan supaya mewujudkan prosedur kewangan yang kukuh, terutamanya dalam bidang seperti perolehan, bagi mengelak daripada menjadi mangsa perbuatan rasuah oleh pekerja mereka yang tidak jujur,” tambah agensi itu.
Mereka yang disabit kesalahan rasuah boleh dipenjarakan sehingga lima tahun, didenda sehingga $100,000, atau kedua-duanya sekali.
Jika didapati bersalah atas kesalahan pemalsuan, pesalah boleh dipenjarakan sehingga empat tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

