Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 lelaki ditahan ISD, jadi radikal sendiri dipengaruhi konflik Timur Tengah

Ketiga-tiga kes tidak berkait satu sama lain, bertindak sendirian dan mahu sertai pengganasan di luar negara
Jan 9, 2025 | 6:50 PM
Seorang mekanik berusia 21 tahun merupakan antara tiga warga Singapura yang meradikalisasi diri yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2024.
Seorang mekanik berusia 21 tahun merupakan antara tiga warga Singapura yang meradikalisasi diri yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2024. - Foto fail

Seorang mekanik berusia 21 tahun merupakan antara tiga warga Singapura yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2024 kerana menjadi radikal sendiri.

Muhammad Indra Aqmal Effendy, 21 tahun; Mohamad Latiff Rahim, 41 tahun; dan Nurisham Yusoff, 44 tahun, yang menjadi radikal melalui dalam talian, secara berasingan, telah membuat persiapan untuk melibatkan diri dalam keganasan bersenjata di luar negara.

Walaupun kes mereka tidak berkaitan, radikalisme mereka sama ada didorong atau diburukkan oleh konflik Israel-Hamas yang berterusan, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan pada 9 Januari.

ISD berkata ketiga-tiga lelaki itu bertindak sendirian, dan tidak ada tanda bahawa mereka telah meradikalisasi atau merekrut orang lain di Singapura.

Anggota keluarga mereka di Singapura juga tidak menyedari rancangan pengganasan mereka.

ISD berkata: “Tiga kes ini menunjukkan bagaimana konflik di luar negara boleh memberi kesan kepada keselamatan Singapura.

“Sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, ISD telah menahan sekurang-kurangnya lima rakyat Singapura di bawah ISA yang radikalisasinya sama ada didorong atau diburukkan konflik itu.”

Indra dan Nurisham merancang untuk berjuang demi Hamas dan sayap tenteranya, Briged Al-Qassam (AQB), di Gaza, manakala Latiff merancang untuk berperang bersama tentera Iran dan kumpulan militan yang disokong Iran seperti Hezbollah di Timur Tengah, untuk menentang Israel.

Susulan serangan Hamas pada 7 Oktober, Indra, seorang mekanik lif, melihat kandungan dalam talian yang menunjukkan orang awam Palestin yang dibunuh oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Dalam persiapannya untuk ke Gaza, Indra telah membuat kajian dalam talian untuk laluan perjalanan yang sesuai dan mengenal pasti hubungan asing dalam talian yang berpangkalan di wilayah Palestin yang boleh membantunya.

Indra berlatih mengisi semula ‘peluru’ dan melepaskan tembakan menggunakan pistol mainannya setiap hari untuk memperbaiki otot ingatannya dalam mengendalikan senjata dan telah membuat carian dalam talian bagi lapangan menembak di Batam – untuk berlatih menggunakan senjata hidup.

Latiff pula bertugas sebagai pengarah sebuah syarikat pemasaran digital dan berpangkalan di Bangkok apabila dia ditahan.

Dia melihat kandungan dalam talian mengenai ramalan akhir zaman pada 2010, dan yakin ia akan berlaku dalam hayatnya.

Dia juga percaya ia adalah kewajipannya untuk memerangi “musuh” Islam pada akhir zaman.

Untuk mempersiapkan dirinya bagi pertempuran, Latiff telah melawat lapangan menembak di Bangkok pada 2022.

Serangan 7 Oktober telah meyakinkannya bahawa akhir zaman akan tiba dan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei akan mengeluarkan seruan agar umat Islam terlibat dalam jihad bersenjata.

Meskipun Latiff tidak mempunyai sebarang rancangan khusus untuk melakukan serangan di Singapura, dia mengakui sanggup berbuat demikian jika diarahkan.

Dia ditangkap ketika kembali ke Singapura pada Oktober 2024.

Lelaki ketiga yang ditahan, Nurisham, seorang pengawal keselamatan, telah didedahkan kepada pendakwah asing yang radikal dan menyokong dasar segregasi ketika menuntut ilmu agama di media sosial pada 2020.

Dia percaya mati syahid adalah cara paling mudah baginya untuk menebus dosa untuk masuk ke syurga pada akhir zaman yang akan datang.

Nurisham menemui bahan pelampau dalam talian yang dikaitkan dengan konflik Israel-Hamas, dan yakin ia adalah kewajipan agamanya untuk menyertai perang di Gaza.

Dalam pada itu, dia mencari jalan untuk memasuki Gaza dan menyiarkan secara meluas di media sosial tentang konflik itu, dan berharap ada pihak yang dapat membantunya ke zon konflik.

Nurisham juga percaya latihan ketenteraan yang dilaluinya semasa berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) boleh menjadi berguna dan bercadang untuk ke lapangan menembak di Batam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg