Tiga lelaki warga Singapura berusia antara 36 dengan 42 tahun ditangkap Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 14 Ogos dalam operasi antidadah yang berasingan.
Pihak berkuasa turut merampas dadah yang dianggar bernilai lebih $128,000 dalam operasi tersebut.
Rampasan itu termasuk sekitar 1,050 gram ‘Ice’, 100 tablet Erimin-5, 9 gram ‘Ecstasy’ – yang berpotensi memenuhi ketagihan 600 penyalah guna dadah selama seminggu – dan pelbagai peralatan dadah, kata CNB dalam satu kenyataan pada 15 Ogos.
Siasatan terhadap kegiatan dadah tiga individu yang ditangkap itu sedang dijalankan.
Dalam satu operasi pada waktu pagi, CNB menangkap seorang lelaki berusia 42 tahun di unit kediamannya di kawasan Tampines Street 86 kerana disyaki terlibat dalam kesalahan dadah.
Pegawai CNB menemui pelbagai peralatan dadah di bawah meja kopi di ruang tamu unit tersebut.
Anak lelaki itu, seorang budak perempuan berusia 10 tahun, berada di ruang tamu ketika pegawai melakukan serbuan.
Dalam operasi berasingan pada hari yang sama, seorang lelaki berusia 41 tahun ditangkap di sebuah unit kediaman di kawasan Jalan Kayu kerana disyaki terlibat dalam kesalahan pengedaran dadah.
Pegawai menemui sekitar 158 gram ‘Ice’ dan 9 gram ‘Ecstasy’ ketika melakukan pencarian di unit tersebut.
Pada sekitar masa yang sama, seorang lelaki berusia 36 tahun ditangkap di satu lagi unit kediaman di kawasan Bukit Batok West Avenue 9, juga kerana disyaki terlibat dalam kesalahan pengedaran dadah.
Pegawai CNB menemui dan merampas sekitar 892 gram ‘Ice’ dan 100 tablet Erimin-5 di unit tersebut, di mana isteri dan empat anak mereka yang berusia antara satu dengan lapan tahun juga berada.
Timbalan Pengarah (Operasi) Divisyen Perisikan, Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Chang Gim Fook, berkata CNB akan meneruskan “tempo operasi” mereka untuk menumpaskan pesalah dadah.
“Kami memandang serius terhadap sebarang keadaan di mana individu, terutama kanak-kanak, didedahkan kepada dadah dan persekitaran yang tidak selamat.
“CNB tidak akan teragak-agak bertindak pantas untuk menghapuskan kegiatan dadah haram dan memastikan masyarakat kita selamat,” kata beliau.
Individu yang didapati bersalah mengedar lebih 250 gram methamphetamine atau ‘Ice’ boleh menghadapi hukuman mati mandatori.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg