Seramai 79 individu ditahan dalam satu serbuan dadah selama lima hari, dengan hampir 3.5 kilogram (kg) heroin dirampas bersama pelbagai jenis dadah lain.
Dalam satu kenyataan pada 11 Ogos, Biro Narkotik Pusat (CNB) memaklumkan bahawa serbuan tersebut dijalankan dari 4 hingga 8 Ogos, meliputi kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Batok, Jurong, Pasir Ris, Tampines dan Yishun.
Antara dadah yang dirampas ialah 3,457 gram (g) heroin, 909g dadah methamphetamine, 3g kanabis, lima biji pil ecstasy, lima biji pil erimin-5 dan sebotol GHB (gamma-hydroxybutyrate).
Sesiapa yang disabit kesalahan mengedar lebih daripada 15g diamorfin, atau heroin tulen, atau 250g methamphetamine boleh dikenakan hukuman mati.
Nilai rampasan itu dianggarkan melebihi $470,000, dan menurut CNB, heroin, methamphetamine dan kanabis yang dirampas itu mampu menampung ketagihan 2,160 penagih untuk tempoh seminggu.
Antara 79 individu yang ditahan, lima dipercayai pengedar dadah termasuk empat warga Malaysia yang diberkas dalam serbuan yang mana sebahagian besar rampasan heroin dan methamphetamine dilakukan.
Menurut CNB, seorang lelaki Malaysia berusia 25 tahun ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada petang 5 Ogos kerana cuba menyeludup dadah ke Singapura menggunakan kereta.
Kira-kira 2,033g heroin dan 731g methamphetamine ditemui dalam bungkusan biskut di bahagian belakang kereta tersebut. Kereta yang berdaftar di Malaysia itu telah diarahkan untuk melalui pemeriksaan lanjut di situ.
Dalam kejadian berasingan, pegawai CNB menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 53 tahun, seorang lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun dan seorang wanita warga Malaysia berusia 43 tahun di kawasan berhampiran Jurong West dan Henderson Road awal pagi 6 Ogos, susulan maklumat yang diterima.
Lelaki warga Malaysia itu ditemui memiliki 60g methamphetamine dan beberapa kad kunci hotel berhampiran Geylang, kata CNB.
CNB kemudian menyerbu bilik-bilik hotel tersebut dan menemui kira-kira 1,421g heroin, 62g methamphetamine dan pelbagai peralatan untuk penggunaan dadah.
Pada petang 6 Ogos, CNB menahan seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun di kawasan Tampines kerana disyaki terlibat dalam kesalahan dadah, dalam operasi susulan.
Siasatan masih dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg