Seorang bekas pengurus kanan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tiga pengarah syarikat menghadapi tuduhan atas beberapa kesalahan berkaitan projek pendigitalan Masjid Sultan.
Mereka berdepan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA).
Mohamad Daud A Rahim, 60 tahun, pengarah Qirom Consulting didakwa menghasut Mohd Nasir Mohd Sairi dan Mohd Nasral Awang untuk menyediakan sebut harga palsu yang kemudiannya diserahkan kepada Masjid Sultan sebagai sebut harga untuk projek pendigitalan masjid itu.
Mereka melakukan pemalsuan itu antara Ogos dengan Oktober 2022.
Ketika itu, Nasral, 44 tahun, merupakan pengarah Onaga Sys, manakala Nasir, 59 tahun, merupakan pengarah Fatiin Multimedia.
Dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyatakan:
“Sebut harga palsu ini didakwa bertujuan menipu Masjid Sultan agar mempercayai bahawa Fatiin Multimedia dan Onaga Sys bersedia melaksanakan projek digitalisasi untuk masjid tersebut pada harga yang dinyatakan.
“Daud didakwa berniat memperdaya Masjid Sultan agar mempercayai bahawa Qirom Consulting, (yang) turut menyerahkan sebut harga untuk projek digitalisasi itu, telah mengemukakan sebut harga yang kompetitif.”
Pada 31 Disember, Daud dikenakan dua pertuduhan menghasut pihak lain untuk memalsukan akaun, dan dua pertuduhan memberi sebut harga palsu kepada pengurus Masjid Sultan – yang merupakan satu kesalahan di bawah PCA, lapor The Straits Times (ST).
Menurut dokumen mahkamah, Daud dikatakan menghasut Nasir sekitar Ogos dan September 2022 untuk memalsukan sebut harga berjumlah $24,900 dan turut menghasut Nasral supaya menyediakan sebut harga palsu berjumlah $56,000 pada Oktober 2022.
Daud kemudian menyerahkan kedua-dua sebut harga palsu itu kepada pengurus masjid, pada waktu berasingan.
Nasir dan Nasral masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan sengaja membantu Daud memalsukan akaun.
CPIB tidak memperincikan jika syarikat Daud berjaya mendapatkan projek itu.
Pada 31 Disember, Mohd Zairil Ismail, 53 tahun, didakwa telah memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan memiliki semburan lada atau pepper spray.
Pada waktu kejadian, Zairil merupakan pengurus kanan di Perkhidmatan Bersama Masjid-Madrasah-Wakaf (MMWSS) – sebuah jawatankuasa di bawah Muis.
Dia didakwa membohongi seorang timbalan pengarah Muis pada 16 Jun 2023, dengan menafikan mempunyai sebarang kepentingan peribadi atau kewangan dalam Qirom Consulting.
CPIB dan dokumen mahkamah tidak mendedahkan butiran mengenai kaitannya dengan Qirom Consulting.
Nasral merupakan warga Malaysia yang juga Penduduk Tetap (PR) Singapura, sementara tiga lelaki lain adalah warga tempatan.
Kes yang melibatkan Nasral, Nasir, dan Zairil ditangguhkan ke 28 Januari 2025, manakala kes Daud akan didengar lagi di mahkamah pada 11 Februari 2025.
Bagi setiap pertuduhan memalsukan akaun, pesalah boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan didenda.
Bagi setiap pertuduhan di bawah PCA, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga $100,000.
Manakala, memiliki semburan lada boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda hingga $5,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg