Usahawan yang didakwa terlibat dalam salah satu skandal korporat terbesar di Singapura akan ditahan reman selama seminggu lagi bagi siasatan lanjut oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Ng Teck Lee, 58 tahun, dan isterinya, Thor Chwee Hwa, 55 tahun, akan kembali ke mahkamah pada 18 Disember. Mereka berdua kini ditahan di Penjara Changi.
Pasangan suami isteri ini melarikan diri dari Singapura pada 2005 selepas pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap dakwaan penipuan dan pecah amanah yang melibatkan Ng di syarikat kitar semula Citiraya Industries, dengan dia memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif ketika itu.
Pada 11 Disember, pasangan tersebut muncul di mahkamah melalui pautan video, lapor The Straits Times (ST).
Pendakwa raya berkata pasangan itu perlu terus ditahan reman kerana badan pengawasan anti-rasuah Singapura sedang meneruskan siasatan terhadap lebih 150 kesalahan berbeza yang dikaitkan dengan Ng.
CPIB juga sedang menyiasat kemungkinan kesalahan lanjut di bawah Akta Pencegahan Rasuah, Penyalahgunaan Dadah dan Jenayah Berat Lain (Penyitaan Manfaat) (CDSA) terhadap Thor, berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Ng.
Ng kini berdepan dengan satu dakwaan pecah amanah jenayah (CBT) dan satu dakwaan di bawah Akta Pencegahan Rasuah atas dakwaan memberi rasuah sebanyak $20,000 kepada seorang pekerja Advanced Micro Devices (AMD) untuk memastikan cip yang dihantar kepada Citiraya tidak hancur sepenuhnya.
Thor didakwa dengan satu tuduhan menguruskan hasil daripada kegiatan jenayah.
Kedua-duanya diwakili oleh Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang dari Andre Jumabhoy LLC.
Pada sebutan 11 Disember, mahkamah menolak permohonan peguam untuk bercakap dengan pasangan itu. Pendakwa raya berkata siasatan masih dijalankan dan berada di peringkat awal.
Ng dan Thor akan kembali ke mahkamah pada 18 Disember.
Pada Januari 2005, pasangan itu melarikan diri dari Singapura ketika pihak berkuasa menyiasat aktiviti mereka.
Selepas hampir 19 tahun melarikan diri, jutawan itu dan isterinya ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) di Johor Bahru pada 3 Disember 2024.
Pasangan itu diserahkan kepada CPIB pada hari yang sama.
Tuduhan CBT terhadap Ng melibatkan dakwaan beliau menyalahgunakan lebih 6,700kg sisa elektronik dengan mengarahkan pekerja membungkus dan mengeksportnya, dan bukan menghancurkan elektonik tersebut untuk logam berharga.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan nilainya, dan sisa tersebut didakwa berasal dari lima syarikat – Texas Instruments, Infineon Technologies Asia Pacific, ChipPac Malaysia, Singapore Technologies Microelectronics and RF Micro Devices (Beijing) Co.
ST difahamkan bahawa mereka mengelak daripada pihak berkuasa dengan menggunakan identiti palsu semasa melarikan diri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg