Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 maut dalam kebakaran flat di Hougang, penduduk tingkat 1 hingga 7 diarah keluar

Jan 9, 2025 | 8:07 PM
Anggota bomba terpaksa memecah masuk ke unit yang terjejas, namun menghadapi kesukaran kerana terlalu banyak barang di dalamnya.
Anggota bomba terpaksa memecah masuk ke unit yang terjejas, namun menghadapi kesukaran kerana terlalu banyak barang di dalamnya. - Foto ST

Tiga orang disahkan meninggal dunia di lokasi satu kebakaran di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Hougang pada 9 Januari.

Sementara itu, sekitar 30 penduduk dari tujuh tingkat pertama telah dipindahkan.

Dua mangsa ditemui dalam sebuah bilik tidur semasa operasi memadamkan api, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam kemas kini lewat malam 9 Januari, SCDF berkata mangsa ketiga ditemui dalam sebuah bilik tidur.

SCDF sebelum ini berkata mereka memadamkan api di sebuah unit di tingkat tiga Blok 971, Hougang Street 91, lapor The Straits Times (ST).

Anggota bomba terpaksa memecah masuk ke unit terjejas, tetapi menghadapi kesukaran memasukinya akibat terlalu banyak barang di dalam, tambah SCDF.

SCDF diberitahu mengenai kebakaran itu pada 12.40 tengah hari dan dengan bantuan polis, penduduk dari tingkat satu hingga tujuh diarah keluar sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang penduduk dari blok berdekatan melaporkan terdengar dua bunyi letupan kuat selepas tengah hari dan melihat asap dari tingkapnya.

Encik Clarence Lee, penjaja berusia 24 tahun yang tinggal di blok bertentangan, memberitahu ST beliau terhidu bau benda terbakar sekitar 1 petang dan asap putih mula menghalang pandangannya dari tingkap.

Seorang penduduk yang tinggal di tingkat dua blok yang terjejas dan hanya mahu dikenali sebagai Cik Said berkata penghuni unit terlibat adalah seorang lelaki berusia 60-an yang sering dilihat berjalan bersama anjingnya di sekitar kawasan perumahan.

Apabila suri rumah berusia 50 tahun itu menyedari kebakaran berlaku, beliau segera membawa ibunya keluar dari flat mereka.

“Kami sudah keluar dari rumah selama sekitar lima jam, tetapi polis belum membenarkan kami kembali ke rumah,” kata Cik Said.

Dalam satu hantaran Facebook pada 5.17 petang, Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Ng Ling Ling, berkata pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti identiti mangsa yang meninggal dunia.

Beliau menambah sesiapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi sukarelawan akar umbi di pusat rangkaian penduduk di Blok 976, Hougang Street 91. Pusat tersebut dibuka sehingga 10 malam.

Majlis Perbandaran Ang Mo Kio berkata ia telah membantu penduduk membersihkan serpihan dan jelaga pada dinding yang disebabkan oleh kebakaran itu.

“Masalah penimbunan barang dalam unit adalah di bawah HDB, jadi kami akan bekerjasama dengan HDB untuk membantu penduduk membuang barang apabila perlu,” katanya.

ST telah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg