Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki alu-alu kedatangan penduduk Marine Parade, sedih tak dapat khidmat lagi bagi kawasan Changi, Loyang

Tanam tekad terus khidmat pada penduduk meski sempadan kawasan undi diubah
Mar 12, 2025 | 8:48 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (tengah), berkata beliau tetap komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada penduduknya sebagai Anggota Parlimen (AP) mereka sehingga Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang meskipun terdapat perubahan ketara kepada sempadan pilihan raya kawasan Siglap di GRC East Coast.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (tengah), berkata beliau tetap komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada penduduknya sebagai Anggota Parlimen (AP) mereka sehingga Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang meskipun terdapat perubahan ketara kepada sempadan pilihan raya kawasan Siglap di GRC East Coast. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun terdapat perubahan ketara kepada sempadan pilihan raya kawasan Siglap di GRC East Coast, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata beliau tetap komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada penduduknya sebagai Anggota Parlimen (AP) mereka sehingga Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.

Ini juga merupakan jaminannya bagi penduduk yang tinggal di kawasan perumahan Loyang, Flora, Ubin dan Changi Village, yang tidak lagi menjadi sebahagian daripada kawasan undinya, berdasarkan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) terkini yang dikeluarkan pada 11 Mac.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Dr Maliki berkata adalah menjadi satu penghormatan baginya berkhidmat kepada golongan penduduk itu sejak 14 tahun lalu dan beliau tetap komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada mereka sehingga GE2025.

“Saya memberi jaminan kepada semua penduduk saya di estet-estet ini bahawa sehingga akhir penggal pilihan raya ini, saya tetap komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada mereka sebagai Anggota Parlimen mereka.

“Walaupun saya sedih kerana tidak dapat terus berkhidmat kepada mereka selepas GE2025, saya akur perubahan sempadan adalah perlu kerana terdapat perubahan kepada jumlah penduduk.

“Tidak kira sempadan pilihan raya, dedikasi saya kepada mereka dan masyarakat tetap teguh!” kata Dr Maliki, yang telah mula berkhidmat di GRC East Coast sejak 2011 selepas berkhidmat sebagai AP GRC Sembawang selama 10 tahun.

Menurut laporan EBRC, jawatankuasa itu telah mencadangkan, antara lain, beberapa estet perumahan dalam kawasan undi Dr Maliki dikeluarkan dari GRC East Coast untuk bergabung dengan GRC Pasir Ris-Changi yang baru.

GRC Pasir Ris-Changi baru itu akan terdiri daripada 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari GRC East Coast.

Pada masa yang sama, laporan itu, yang telah diterima oleh pemerintah, turut mencadangkan agar GRC East Coast mengambil beberapa bahagian GRC Marine Parade semasa, yang terdiri daripada 40,675 pengundi dari estet perumahan awam Chai Chee dan estet perumahan privet Siglap.

Mengulas tentang pengumuman ini, Dr Maliki berkata: “Saya mengalu-alukan kehadiran penduduk dari GRC Marine Parade ini ke keluarga East Coast kami, dan berharap untuk bertemu dan berkhidmat kepada mereka.”

Dengan penambahan 40,675 pengundi dari GRC Marine Parade, GRC East Coast akan mempunyai 150,691 pengundi – meningkat daripada 120,239 pengundi berbanding GE2020.

Ini akan menjadikannya GRC lima anggota yang keempat terbesar bagi GE2025, di belakang Ang Mo Kio, West Coast-Jurong West dan Nee Soon. Ia juga merupakan perubahan besar jika dibandingkan dengan statusnya semasa GE2020 sebagai GRC lima anggota yang terkecil.

Semasa GE2020, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC East Coast memperoleh 53.39 peratus undi, mengatasi Parti Pekerja (WP), menjadikannya GRC kedua terendah yang dimenangi oleh parti pemerintah.

Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), berkata walaupun terdapat perubahan kepada sempadan pilihan raya, penduduknya tetap menjadi keutamaannya.

“Selama bertahun-tahun, saya sangat berterima kasih atas persahabatan yang telah kami bina dan kepercayaan yang diberikan penduduk kepada saya.

“Keterlibatan kami dengan penduduk GRC East Coast kekal, dan saya dan pasukan saya akan terus bekerja keras untuk menangani keperluan mereka dan menyokong masyarakat di sini,” tambahnya.

Sehingga 1 Februari, jumlah pengundi yang layak untuk mengundi di GE2025 ialah 2,753,226, meningkat 101,791 berbanding 2,651,435 semasa GE2020.

EBRC dalam laporannya menyatakan bahawa pertumbuhan dalam bilangan pengundi yang layak tidak diagihkan secara sama rata merentas pelbagai Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Selain Dr Maliki, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad juga bakal melihat beberapa perubahan kepada GRCnya di Tampines, yang telah diterajui oleh PAP sejak 1988.

Antaranya, tiga daerah mengundi, yang terdiri daripada 3,834 pengundi di bahagian timur Bedok Reservoir dalam GRC Aljunied, akan dipindahkan ke kawasan undi Tampines West di GRC Tampines.

Kawasan di Bedok Reservoir itu, yang telah diterajui oleh WP sejak 2011, kini diterajui oleh AP Encik Gerald Giam.

Perubahan yang dicadangkan oleh EBRC itu juga membawa kepada perubahan kepada amalan lama berkaitan kawasan undi pihak pembangkang, yang biasanya tidak akan diubah.

GRC Sengkang dan SMC Hougang, yang dipimpin oleh WP, adalah antara sembilan kawasan undi yang tidak akan melihat perubahan kepada sempadan mereka.

Secara berasingan, EBRC juga mencadangkan untuk mengeluarkan beberapa daerah mengundi daripada GRC Tampines untuk membentuk SMC Tampines Changkat yang baru.

AP GRC Tampines, Encik Desmond Choo, yang menerajui kawasan itu, berkata pasukan PAP Tampines Changkat akan kekal fokus untuk berkhidmat kepada penduduknya tidak kira perubahan kepada sempadan. 

Encik Masagos, yang kini berada di luar negara untuk tugasan, tidak dapat memberikan komen ketika dihubungi BH untuk mengulas mengenai perubahan kepada kawasan undinya.

Secara berasingan, sempadan GRC Marine Parade juga akan berubah dengan ketara pada GE2025, dengan kawasan undi lima anggota itu bakal menyerap SMC MacPherson, dan dinamakan semula sebagai GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Selain menyerahkan daerah mengundi dari estet perumahan awam Chai Chee dan estet perumahan privet Siglap kepada GRC East Coast, GRC Marine Parade-Braddell Heights baru itu akan menyerap beberapa daerah mengundi dari SMC Mountbatten dan SMC Potong Pasir.

EBRC berkata penamaan semula GRC itu bertujuan untuk “lebih mencerminkan identiti kawasan geografi dalam kawasan pilihan undi”.

Ketika dihubungi BH, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang menyelia kawasan Geylang Serai di GRC Marine Parade sekarang, berkata bahawa “tidak banyak perubahan” yang berlaku pada kawasan undinya.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga AP GRC Jurong, juga akan melihat beberapa perubahan ketara kepada GRCnya.

Berikutan pengeluaran laporan EBRC, GRC Jurong akan diagihkan semula kepada dua GRC baru – GRC Jurong East-Bukit Batok dan GRC West Coast-Jurong West – serta SMC Jurong Central yang baru dan GRC Holland-Bukit Timah.

GRC Jurong East-Bukit Batok baru itu akan mempunyai 142,510 pengundi, menggabungkan 62,424 daripada GRC Jurong semasa, dan daerah mengundi dari SMC Bukit Batok, SMC Yuhua dan SMC Hong Kah North.

Pemeriksaan BH menunjukkan bahawa kawasan undi Cik Rahayu, iaitu Bukit Batok East, sebahagian besarnya tidak terjejas oleh perubahan sempadan pilihan raya. Beliau tidak dapat mengulas apabila BH bertanyakan bagaimana perubahan itu akan memberi kesan kepadanya.

Beberapa perubahan juga telah dibuat kepada sempadan pilihan raya GRC Chua Chu Kang yang akan mengambil masuk estet perumahan yang akan datang, iaitu Rail Green I dan II, serta Plantation Edge I dan II di Tengah.

Estet perumahan Tengah akan digabungkan ke dalam GRC Chua Chu Kang, manakala estet Bukit Gombak dan Hillview dalam GRC Chua Chu Kang akan dikeluarkan untuk membentuk SMC Bukit Gombak yang baru.

Semakan BH menunjukkan bahawa kawasan undi Keat Hong, yang kini diterajui oleh AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim sebahagian besarnya tidak terjejas.

Kawasan undi lain yang diterajui oleh AP Melayu lain juga tidak terjejas. Menurut laporan EBRC, sembilan kawasan pilihan raya tidak akan mempunyai perubahan pada sempadan mereka.

Ini termasuk GRC Sengkang, GRC Bishan-Toa Payoh, GRC Jalan Besar, GRC Marsiling-Yew Tee dan GRC Nee Soon, serta SMC Bukit Panjang, Marymount, Pioneer dan Sengkang.

Ini bermakna perubahan sempadan baru-baru ini tidak akan menjejaskan kawasan undi yang diterajui oleh AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Ia juga tidak akan menjejas kawasan undi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang merupakan AP GRC Marsiling-Yew Tee, dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga AP GRC Nee Soon.

Semakan oleh BH juga menunjukkan bahawa kawasan yang dipegang oleh AP GRC Pasir Ris Punggol, Encik Sharael Taha; AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin; AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; dan AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, sebahagian besarnya tidak terjejas.

Ini meskipun GRC mereka akan mengalami beberapa perubahan ketara pada pada GE2025.

Ini termasuk pengeluaran kawasan undi Jalan Kayu dan Sembawang West daripada GRC Ang Mo Kio dan GRC Sembawang untuk membentuk dua SMC baru, perubahan kecil kepada GRC Aljunied, serta perubahan kepada GRC Pasir Ris-Punggol untuk membentuk GRC Pasir Ris-Changi yang baru.

Beberapa penganalisis yang bercakap dengan BH berkata perubahan kepada sempadan pilihan raya tidak akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada AP Melayu yang dipilih daripada kedua-dua PAP dan WP.

“Perubahan yang dilakukan kepada sempadan pilihan raya boleh dijangka dan AP yang menyandang kawasan-kawasan ini turut terjejas dalam pelbagai peringkat.

“Mereka perlu menerimanya dengan baik dan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan itu menjelang GE2025,” kata Profesor Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan.

Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, berkata perubahan sempadan itu tidak memberi kesan khusus kepada AP Melayu.

“Kita mungkin akan melihat lebih ramai calon Melayu yang akan diketengahkan bagi GE2025 berbanding GE2020 berikutan perubahan sempadan yang meluas dan pertambahan bilangan kerusi pilihan raya.

“Kita juga mungkin melihat sedikit pembaharuan kepada AP Melayu sekarang, yang akan digantikan dengan wajah baru,” kata Dr Mustafa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg