Peralihan pada sempadan kawasan undi adalah dijangkakan memandangkan terdapat perubahan pada landskap penduduk serta perkembangan baru seperti di estet perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO) yang baru dibangunkan.
Namun, beberapa perubahan ini, yang diumumkan oleh Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac, mungkin membawa kepada persaingan yang lebih “menarik” di beberapa kawasan, dan berkemungkinan juga membawa kepada pertarungan tiga atau empat penjuru, kata pengamat yang dihubungi Berita Harian (BH).
Laporan EBRC pada 11 Mac yang telah diterima pemerintah itu bermakna sebanyak 22 daripada 31 kawasan pilihan raya semasa akan menyaksikan sempadan kawasan undi mereka berubah dalam pilihan raya akan datang.
Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Teo Kay Key, berkata perubahan pada sempadan kawasan undi nampaknya dibuat berdasarkan tiga aspek utama.
Pertama, memastikan bahawa dengan perubahan demografi penduduk di sekitar negara, nisbah pengundi-Anggota Parlimen (AP) kekal sesuai.
Kedua, mengambil kira peralihan demografi masa depan yang sudah dijangkakan, misalnya dengan adanya estet BTO baru yang bakal dibina.
Ketiga, menamakan semula kawasan pilihan raya supaya ia lebih mencerminkan identiti geografi kawasan tersebut.
Zamil Penyelidik Kanan IPS, Dr Gillian Koh berkata perubahan demografi penduduk yang disebabkan adanya estet-estet baru adalah “alasan yang adil untuk mengalihkan sempadan”.
“Memang terdapat perubahan penduduk yang besar kerana estet-estet baru yang telah dibangunkan atau sedang dalam proses pembangunan di seluruh Singapura.
“Jadi, di mana kepadatan (penduduk) telah meningkat, sudah dijangkakan bahawa sempadan akan berubah terutamanya jika purata bilangan pengundi bagi setiap AP mesti dikekalkan.
“Atas sebab ini, sudah dijangkakan bahawa akan berlaku beberapa perubahan untuk mengambil kira perkembangan baru di kawasan Tengah, Bidadari, Punggol dan Sengkang. Ini boleh dianggap sebagai alasan yang adil untuk mengalihkan sempadan,” ujar Dr Koh.
Peralihan sempadan kawasan undi bukan perkara baru. Ia pernah dilakukan banyak kali sebelum ini, bahkan pada Pilihan Raya 2020 (GE2020) juga.
Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) – Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata: “Ini satu perkara biasa, jadi saya tidak lihat bahawa ia adalah satu percubaan untuk kepentingan politik mana-mana parti.”
“Saya fikir kita perlu melihat secara sensible kerana persempadanan semula ini, kalau kita kaji dari sudut perspektif EBRC, mungkin ada perumahan baru dan yang akan dibina.
“Ini adalah usaha yang berterusan. Kita tidak harus melihatnya dari sudut politik, tetapi kita perlu melihatnya secara rasional – Singapura adalah sebuah negara kecil dan tentu sekali akan ada banyak perubahan yang berlaku,” tambahnya.
Bagi penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, pula, meskipun perubahan sudah dijangkakan, skala perubahan yang diumumkan EBRC kali ini agak mengejutkan, katanya.
“Saya tidak menjangkakan semakan sempadan yang begitu meluas, saya fikir kebanyakan tempat akan kekal seperti sediakala kecuali mungkin tempat-tempat di mana terdapat estet-estet baru – itulah yang akan disemak semula.
“Tetapi kita melihat semakan di seluruh Singapura... Jadi saya rasa di situlah kejutannya dengan skala perubahan,” kata beliau.
Pengamat politik yang dihubungi BH rata-rata menyatakan perubahan yang diumumkan EBRC itu tidak semestinya menguntungkan mana-mana parti – sama ada pemerintah atau sebaliknya.
Perubahan itu juga tidak bererti ia merugikan mana-mana pihak.
Kata Dr Norshahril: “Kalau kita mengandaikan bahawa ia menguntungkan mana-mana parti, itu juga tidak benar. Sepanjang sedekad lalu, kita telah lihat beberapa kawasan undi telah bertukar tangan.
“Kalau kita lihat, persempadanan ini juga telah merugikan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Sebagai contoh, sebelum ini GRC Sengkang itu tidak wujud. Malah satu kawasan undi SMC, Punggol East, sering kali bertukar tangan antara Parti Pekerja (WP) dengan PAP.”
GRC Sengkang dibentuk pada GE2020 dan dimenangi WP.
Profesor Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan mengatakan: “Perubahan sempadan pilihan raya tidak menguntungkan dan tidak merugikan semua parti politik.”
Namun, beliau berpendapat kesannya ke atas PAP adalah kurang berbanding parti lain kerana “mereka diwakili di seluruh negara melalui banyak cawangan parti mereka”.
“Apa pun, perlu diingat bahawa perubahan sempadan pilihan raya adalah bertujuan untuk bersifat apolitikal (tidak berunsur politik) kerana pertimbangan politik tidak boleh dan tidak seharusnya dibolehkan untuk diambil kira oleh EBRC,” tegas Dr Tan.
Dr Mustafa pula merasakan bahawa meskipun keputusan EBRC adalah berdasarkan data, dari sudut pandangan luar, pasti ada yang akan melihatnya dari perspektif politik.
“Jika anda lihat (perubahan) pada West Coast... seseorang mungkin boleh menganggapnya sebagai memperkukuh kedudukan parti pemerintah dan menjadikannya lebih sukar bagi PSP (Parti Kemajuan Singapura) mengurangkan lagi jurang dalam pilihan raya akan datang.
“West Coast bukan kawasan yang dipegang pembangkang, cuma PSP telah mendapat keputusan yang baik di sana pada pilihan raya sebelum ini, jadi mereka mungkin akan lebih bersifat kritikal terhadap perubahan ini.
“Tapi saya rasa kita masih boleh menjangkakan persaingan yang sengit di GRC West Coast-Jurong West yang baru ini,” ujar Dr Mustafa.
Dr Teo juga menjangkakan persaingan sengit di sana.
“Kita mungkin akan melihat agak banyak kegiatan di kawasan ini, terutamanya di West Coast, memandangkan kebanyakan kawasan pilihan raya asal dari 2020 telah diubah atau tidak wujud lagi.
“Oleh itu, strategi pilihan raya parti pembangkang yang berminat dalam kawasan-kawasan ini (kawasan dengan persaingan sengit) perlu mengambil kira perubahan ini, lebih-lebih lagi dengan beberapa kawasan yang mereka tandingi kini telah digabungkan atau dibahagikan.
“Kita mungkin melihat banyak rundingan sebelum pilihan raya, dan juga pertandingan tiga atau empat penjuru,” kata Dr Teo.
Menurut Dr Koh, meskipun perubahan yang diumumkan boleh menjejas PAP, “yang penting adalah bagaimana pembangkang mengetengahkan diri mereka”.
“Akan sentiasa ada sedikit risiko terutamanya jika pembangkang menunjukkan diri mereka sebagai tidak terjejas oleh perkara ini, dan tetap turun ke padang dengan calon pilihan mereka untuk menyampaikan mesej dasar dan komitmen mereka untuk mewakili rakyat,” kata beliau.
“Secara keseluruhannya, perubahan ini bermakna WP, Parti Demokratik Singapura (SDP) dan PSP tidak boleh bertanding (dengan strategi serupa) seperti mana mereka telah lakukan pada GE2020 bagi mendapatkan SMC Bukit Batok, GRC East Coast dan West Coast.
“Dalam semakan sempadan, PAP akan dapat menggabungkan beberapa wadnya (kawasan undi) yang lebih kuat. Pembangkang boleh melihat ini sebagai mencacatkan rancangan mereka... atau menganggapnya sebagai peluang untuk meluaskan jangkauan mereka,” tambah Dr Koh.
Dr Koh turut menegaskan peri pentingnya pengundi faham sebab di sebalik perubahan sempadan kawasan undi.
Ini kerana pasti akan ada segolongan pengundi yang akan tertanya-tanya sama ada keputusan EBRC itu adil kepada semua parti.
“Oleh itu, perbincangan mengenai semakan semula sempadan yang besar-besaran ini, rasional dan implikasinya adalah amat penting.
“Adalah baik untuk menjadi kritikal tetapi sangat penting untuk memahami siapa yang membentuk EBRC, apakah motivasi mereka, terma rujukan yang diberikan kepada mereka.
“Ahli-ahli EBRC, boleh dikatakan, diwajibkan untuk berkecuali dari segi politik dalam keputusan mereka, dan memberi respons secara objektif kepada terma rujukan yang diberikan kepada mereka,” ujar Dr Koh.
“
“Perubahan sempadan pilihan raya tidak menguntungkan dan tidak merugikan semua parti politik. Apa pun, perlu diingat bahawa perubahan sempadan pilihan raya adalah bertujuan untuk bersifat apolitik kerana pertimbangan politik tidak boleh dan tidak seharusnya dibolehkan untuk diambil kira oleh EBRC.”“
“Secara keseluruhannya, perubahan ini bermakna WP, SDP dan PSP tidak boleh bertanding (dengan strategi serupa) seperti mana mereka telah lakukan pada GE2020 bagi mendapatkan SMC Bukit Batok, GRC East Coast dan West Coast.”“
“Kalau kita mengandaikan bahawa ia menguntungkan mana-mana parti, itu juga tidak benar. Sepanjang sedekad lalu, kita telah lihat berapa kawasan undi telah bertukar tangan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg