Bertahun lamanya, Cik Kamsiah Nadimin, 77 tahun, Cik Raima Amat, 68 tahun, dan Cik Rosnia Sinewan, 68 tahun, menghadiri kelas fardu haji bersama di Masjid Al-Istiqamah di Serangoon.
Bukan apa, ketiga-tiga sahabat itu “memang suka belajar tentang haji” dan “nak timba ilmu baru”.
Siapa sangka, daripada belajar agama bersama, mereka bertiga telah sama-sama dijemput menjadi tetamu Allah pada 2024.
Tiga sekawan itu bakal berangkat ke Tanah Suci pada 10 Jun untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ditemui Berita Harian pada 19 Mei, mereka berkata mereka telah membuat pendaftaran haji secara berasingan dan tidak sangka mendapat surat tawaran menunaikan haji pada tahun yang sama.
“Kita tak tahu pun, tak sangka, tapi dah jodoh kata orang,” ujar Cik Raima, lalu tertawa kecil.
“Rosnia dapat tahu dahulu (beliau terpilih). Pada waktu itu saya rasa macam saya tak akan dapat sebab saya dah pernah pergi (haji), tapi alhamdulillah, dia pun selalu doakan saya,” kata Cik Kamsiah yang telah ke Saudi untuk menunaikan haji buat kali pertama pada 2009.
Ini merupakan kali kedua beliau bakal menunai ibadah tersebut.
Cik Raima dan Cik Rosnia merupakan bakal anggota jemaah haji kali pertama.
Ditanya apakah yang paling mereka nanti-nantikan sepanjang menunaikan haji, Cik Raima menjawab:
“Sebenarnya memang dah tak sabar, dah lama tunggu bukan? Walaupun kita dah pernah pergi umrah, dah pernah nampak Kaabah, tapi rasanya masih belum puas, nak tengok lagi.
“Kita pergi sana dah tak ada apa-apa nak dirisaukan, rasanya macam dah tak ingat apa-apa perkara lagi, hanya fikir nak beribadah sahaja.”
Beliau menambah bahawa antara persiapan yang telah dilakukannya sebelum berangkat termasuk memastikan tubuh badannya sihat secara fizikal.
“Saya mesti buat senaman sebab kaki dah tak kuat. Lepas subuh saya keluar, jalan kaki, lepas itu dalam 8 pagi saya balik rumah, saya sambung lagi sikit senaman sendiri, misalnya buat Zumba,” kongsi Cik Raima yang merupakan suri rumah.
Beliau juga kadangkala akan berjalan-jalan dengan Cik Kamsiah yang tinggal di blok berdekatan.
Ketiga-tiga wanita tersebut merupakan antara 40 bakal anggota jemaah haji dan keluarga mereka yang menghadiri acara Perpisahan Haji (Hajj Farewell) bagi jemaah yang tinggal di Kluster Marine Parade.
Acara tersebut diadakan di Masjid Khalid dan dianjurkan M³@Geylang Serai bersama Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kluster Marine Parade.
Ia dihadiri penasihat Kluster Marine Parade termasuk Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Mereka memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada bakal anggota jemaah.
“Saya ingin menasihatkan semua agar menjaga kesihatan diri dan juga rakan-rakan kerana... penyakit Covid-19 masih ada. Kebersihan diri mesti jaga, minum air sebanyak mungkin,” kata Encik Fahmi.
Encik Tong pula berharap agar ibadah haji bakal jemaah akan dipenuhi dengan “kesedaran dan pembangunan rohani”.
“Perkongsian tentang makna haji, tempat-tempat bermakna yang perlu dikunjungi serta tatacara melaksanakan ibadah tersebut telah memperdalam pemahaman masyarakat bukan Islam seperti kami,” katanya.
Semasa acara itu, pegawai dakwah Masjid Khalid, Ustaz Fattah Rahman, telah berkongsi sedikit sebanyak tentang haji termasuk wukuf di Arafah, tawaf dan sai.
Wakil Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan SG Lebih Sihat juga telah berkongsi nasihat kesihatan kepada bakal jemaah.
Selain itu, bakal jemaah turut dihadiahkan beg berisi sejadah mini, kipas angin kecil dan minyak wangi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg