Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tak pernah lelah menanti, anggota jemaah haji tertua akhirnya dapat tunai haji

Jun 11, 2024 | 5:30 AM
Cik Sapiah Mamat (tengah) adalah anggota jemaah haji yang tertua pada 2024. Beliau bakal menunaikan ibadah haji bersama anaknya, Cik Noraini Saliamin (kiri) dan menantunya, Encik Johari Saripan (kanan).
Cik Sapiah Mamat (tengah) adalah anggota jemaah haji yang tertua pada 2024. Beliau bakal menunaikan ibadah haji bersama anaknya, Cik Noraini Saliamin (kiri) dan menantunya, Encik Johari Saripan (kanan). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Penantiannya itu terlalu lama.

Selepas 11 tahun lamanya menanti, impiannya untuk menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyataan.

Walaupun beliau menerima Surat Hasrat (LOI) untuk musim Haji 2023, Cik Sapiah Mamat tidak mendapat tempat kerana terdapat bilangan pemohon ramai yang telah mendaftar sebelumnya.

Ternyata rezekinya itu datang bergolek pada 2024.

Dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran, Cik Sapiah menerima peluang ini dan memilih pakej hajinya daripada Jalaluddin Travel and Services Pte Ltd.

Pada usia 88 tahun, Cik Sapiah adalah anggota jemaah tertua yang bakal mengerjakan ibadah haji bersama dengan anak perempuannya, Cik Noraini Saliamin, 64 tahun, seorang suri rumah dan menantunya, Encik Johari Saripan, 65 tahun yang bertugas di makmal di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Akibat keadaan kesihatannya, Cik Sapiah akan berkerusi roda untuk ibadah haji kelak.

Bertemu dengan Berita Harian (BH), Cik Sapiah berkongsi:

“Mengerjakan ibadah haji ibarat kesempatan sekali seumur hidup. Hati saya gembira dapat pergi haji. Bertahun-tahun, siang malam saya berdoa agar dapat pergi haji.”

Beliau berharap agar kekal sihat dan selamat sepanjang di sana.

“Bertahun-tahun dia bersungguh-sungguh tunggu. Lama dia tunggu sehingga ada kawan-kawan lamanya sudah pun meninggal dunia,” jelas Encik Johari sambil menyatakan semangat ibu mentuanya itu sangat kuat.

Cik Sapiah telah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji pada 29 April 2013.

Cik Noraini, ibu kepada tiga orang anak, pula menjelaskan: “Sudah 10 tahun dia (Cik Sapiah) mempunyai darah tinggi dan sakit jantung. Dia masih boleh berjalan dengan sendiri tanpa tongkat. Tapi kita bimbang jadi kita mahu dia berkerusi roda.”

Usia Cik Sapiah yang sudah lanjut itu ternyata tidak menggoyah semangatnya yang begitu kental untuk mengharapkan peluang ini dan menunaikan ibadah haji.

Dengan bulan haji bakal menjelang tidak lama lagi, beliau bersama anak dan anak mertuanya itu turut berkongsi bahawa program seperti “kelas senaman dan berjalan dengan pantas” adalah sebahagian daripada persiapan mereka dalam membantu mereka meningkatkan kecergasan mental dan fizikal untuk ibadah haji kelak.

Mereka tiga beranak adalah antara 900 jemaah haji Singapura yang akan mendapat perkhidmatan perubatan yang menyeluruh melalui model hibrid baru di mana 10 karyawan perubatan yang dilantik sebagai pegawai kebajikan akan bertugas dengan ejen pelancongan haji dalam memastikan keperluan perubatan jemaah haji Singapura dapat dikendalikan dengan sebaiknya.

Pegawai-pegawai tersebut akan mengiringi jemaah sepanjang perjalanan haji mereka.

Cik Noraini memuji usaha dalam melaksanakan model baru ini manakala Encik Johari pula berpendapat bahawa dengan perkhidmatan sebegitu, “kita (jemaah haji) akan terjaga dan terjamin”.

“Semoga selamat pergi dan selamat sampai. Dan semoga kita mendapat haji yang mabrur,” ujar Cik Noraini sambil tersenyum. Mereka tiga beranak telah berangkat pada 9 Jun.

Kumpulan jemaah pertama dari Singapura telah berangkat pada 3 Jun lalu manakala kumpulan terakhir pula telah berlepas pada 10 Jun.

“Mengerjakan ibadah haji ibarat kesempatan sekali seumur hidup. Hati saya gembira dapat pergi haji. Bertahun-tahun, siang malam saya berdoa agar dapat pergi haji.”
Cik Sapiah Mamat, 88 tahun, anggota jemaah haji tertua Singapura pada 2024.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg