Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Keluarga bakal jemaah haji boleh bergantung pada pemimpin akar umbi Nee Soon

May 19, 2024 | 5:49 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berucap di hadapan 45 bakal anggota jemaah haji dan keluarga mereka di Majlis Meraikan Jemaah Haji yang diadakan di Kelab Masyarakat Nee Soon Central pada 19 Mei.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berucap di hadapan 45 bakal anggota jemaah haji dan keluarga mereka di Majlis Meraikan Jemaah Haji yang diadakan di Kelab Masyarakat Nee Soon Central pada 19 Mei. - Foto GRC NEE SOON

Penduduk Nee Soon yang akan menunaikan ibadah haji pada 2024 boleh bergantung kepada pemimpin akar umbi untuk memberi sokongan kepada keluarga mereka di sini semasa mereka berada di Arab Saudi, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal berkata jemaah tidak perlu bimbang kerana ada rangkaian sokongan yang dibentuk oleh jiran dan penduduk lain yang boleh ‘menjenguk-jenguk’ keluarga mereka semasa mereka tiada.

Dr Faishal berkata demikian kepada 45 bakal jemaah haji dan keluarga mereka di Majlis Meraikan Jemaah Haji di Nee Soon pada 19 Mei.

Majlis itu, yang diadakan di Kelab Masyarakat Nee Soon Central, antara lain bertujuan untuk menghimpunkan penduduk Melayu/Islam di kawasan itu supaya dapat menunjukkan sokongan mereka kepada jemaah haji sebelum mereka berangkat ke Saudi untuk memulakan perjalanan rohani, kata Dr Faishal.

Turut menyokong majlis itu adalah Masjid Darul Makmur.

Rombongan pertama jemaah haji dari Singapura dijadual berangkat ke Saudi pada 3 Jun.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Dr Faishal berkata beliau berharap semua anggota jemaah haji, terutama warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit kronik agar menjaga kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya sebelum berangkat ke Saudi.

Ini kerana Saudi sedang dilanda cuaca ekstrem, dengan suhu diramal mencecah antara 48 dengan 50 darjah Celsius semasa musim haji, tambah beliau.

“Makan dengan baik, ambil suplemen jika boleh dan kerap bersenam untuk menyiapkan badan menunaikan haji,” nasihat Dr Faishal, yang menambah beliau tahu ramai anggota jemaah telah membuat persiapan untuk menunaikan haji sejak berbulan-bulan, baik dari segi rohani atau fizikal.

Beliau berkata: “Saya berharap mereka selamat sepanjang perjalanan dan semoga mereka mencapai pembaharuan dan penyucian rohani daripada pengalaman ini.”

Pertubuhan akar umbi GRC Nee Soon telah menganjurkan Majlis Meraikan Jemaah Haji untuk sembilan tahun sejak 2015.

Bagi kawasan Nee Soon, seramai 81 penduduk bakal mengerjakan ibadah haji pada 2024.

Selain di Nee Soon, satu lagi acara bagi bakal jemaah haji turut diadakan di Masjid Khalid pada 19 Mei.

Acara tersebut, yang dianjurkan oleh M3@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marine Parade adalah sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat, kata penganjur.

Pada 18 Mei, 900 bakal anggota jemaah haji setempat telah berhimpun untuk menghadiri sesi taklimat prahaji yang disampaikan oleh ketua rombongan haji 2024, iaitu Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman.

Dalam ucapannya, Dr Maliki, antara lain, mengingatkan jemaah supaya menjaga kesihatan mereka dan membuat persiapan secukupnya sebelum ke Saudi.

Beliau turut menambah bahawa sokongan perubatan bagi jemaah Singapura di Saudi adalah mencukupi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg