Penumpang MRT diharap dapat bersabar dengan perubahan perkhidmatan di beberapa bahagian Laluan Timur-Barat (EWL) apabila pengubahsuaian besar-besaran di tiga stesen EWL – Tanah Merah, Expo dan Lapangan Terbang Changi – bermula pada suku ketiga 2025.
Stesen-stesen itu akan diubah menjadi stesen Laluan Thomson-East Coast (TEL) sebagai sebahagian usaha mewujudkan sambungan MRT langsung dari Lapangan Terbang Changi ke pusat bandar Singapura.
Butiran lanjut mengenai perkara ini telah dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 25 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Menurut LTA, perubahan perkhidmatan di EWL diperlukan untuk memberi ruang bagi waktu khusus, apabila kereta api tidak beroperasi, lantas dapat dibaiki dan diselenggarakan untuk kegunaan selanjutnya.
Maklumat lanjut akan diumumkan selepas perancangan selesai.
Pilihan perjalanan alternatif, seperti perkhidmatan bas ulang-alik, akan disediakan untuk mengurangkan kesan terhadap penumpang, tambah LTA.
Apabila diubah suai, jajaran antara stesen Tanah Merah dengan Lapangan Terbang Changi akan menjadi sebahagian lanjutan TEL yang baru, melalui Terminal 5 (T5) dan bersambung dengan stesen TEL Sungei Bedok, yang dijangka dibuka pada separuh kedua 2026.
Lanjutan TEL sepanjang 14 kilometer intu dijangka siap pada pertengahan 2030-an, kata LTA.
Ini adalah tempoh yang sama apabila T5 dijangka dibuka.
Pada ketika ini, penumpang yang menggunakan MRT antara pusat bandar dengan lapangan terbang perlu menukar kereta api di stesen Tanah Merah, kerana stesen Expo dan Lapangan Terbang Changi berada pada cabang EWL berasingan, yang beroperasi sebagai perkhidmatan ulang-alik tren.
Kerja ubah suai stesen Tanah Merah menjadi stesen pertukaran antara EWL dengan TEL, sudah bermula sejak 2016.
Apabila lanjutan TEL siap, LTA berkata penumpang dari stesen Lapangan Terbang Changi dan T5 akan mendapat akses mudah ke rangkaian TEL.
Sebagai contoh, perjalanan dari Lapangan Terbang Changi ke Gardens by the Bay akan mengambil masa 40 minit, berbanding sejam sekarang.
LTA berkata pengubahsuaian di stesen Tanah Merah, Expo dan Lapangan Terbang Changi akan melibatkan penggantian sistem utama seperti isyarat, komunikasi dan bekalan kuasa.
Ketiga-tiga stesen serta terowong dan laluan atas yang menghubungkannya akan diubah suai untuk menampung sistem baru.
Perubahan itu perlu kerana EWL dan TEL menggunakan sistem berlainan, seperti perbezaan dalam bilangan gerabak dan pintu, yang memerlukan penyesuaian pada pintu skrin platform.
LTA berkata waktu kejuruteraan tambahan diperlukan untuk menyambung landasan MRT sedia ada ke landasan baru stesen Changi T5, yang akan menjadi stesen pertukaran TEL dan Laluan Rentas Pulau (CRL).
LTA telah menganugerahkan kontrak bernilai $94.3 juta kepada Chiu Teng Construction untuk pengubahsuaian stesen.
Lanjutan TEL akan memanjangkan laluan MRT dari 43 kilometer kepada 57 kilometer dan menghubungkan penumpang ke Sistem Transit Laju (RTS), antara Woodlands North dengan Johor Bahru, yang dijangka mula beroperasi pada akhir 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg