Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 wanita didakwa anjur perarakan tanpa permit di luar Istana

Jun 27, 2024 | 4:04 PM
Tiga tertuduh, (dari kiri) Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi dan Mossammad Sobikun Nahar, tiba di Mahkamah  pada 27 Jun untuk menjawab tuduhan mengadakan bantahan di hadapan Istana bagi menyokong perjuangan Palestin.
Tiga tertuduh, (dari kiri) Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi dan Mossammad Sobikun Nahar, tiba di Mahkamah pada 27 Jun untuk menjawab tuduhan mengadakan bantahan di hadapan Istana bagi menyokong perjuangan Palestin. - Foto ST

Tiga wanita yang didakwa terlibat menganjurkan perarakan tanpa permit di sepanjang perimeter Istana yang merupakan kawasan larangan, didakwa di mahkamah pada 27 Jun.

Mossammad Sobikun Nahar, 25 tahun, Siti Amirah Mohamed Asrori, 29 tahun, dan Annamalai Kokila Parvathi, 35 tahun, dikatakan menganjurkan perarakan itu untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin, termasuk merayu melalui talian, mengajak orang awam turut serta, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Annamalai didakwa atas satu tuduhan bersubahat menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan, manakala Mossammad dan Amirah masing-masing didakwa atas satu tuduhan menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan.

Ia adalah kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Dokumen mahkamah menunjukkan Mossammad dan Amirah dikatakan menganjurkan perarakan di sepanjang perimeter Istana pada 2 Februari 2024, antara 2 petang dengan 3 petang, untuk menghebahkan perkara itu.

Annamalai didakwa bersubahat dengan Mossammad, Amirah dan beberapa individu lain, termasuk Cik Alysha Mohamed Rahmat Shah dan Cik Anystashe Mohamed Rahmat Shah, untuk menganjurkan perarakan itu.

Polis dalam satu kenyataan pada 27 Jun berkata sekumpulan kira-kira 70 orang berkumpul di luar sebuah pusat beli-belah di Orchard Road, sebelum berjalan secara berkumpulan ke Istana sambil memegang payung terbuka yang dilukis dengan grafik tembikai.

Kumpulan itu tidak mempunyai permit untuk menjalankan perarakan, kata polis, sambil menambah bahawa siasatan terhadap orang lain yang mungkin terlibat dalam acara yang sama, sedang berjalan.

Pihak pendakwaan pada 27 Jun memohon penangguhan dalam kes Amirah, dengan menyatakan bahawa dia mempunyai perkara lain yang belum selesai dengan polis. Butiran tidak diberikan di mahkamah.

Dalam kenyataan mereka, polis berkata Annamalai sebelum ini telah diberikan amaran keras pada 5 Disember 2017, dan amaran bersyarat 24 bulan pada 30 November 2021, kerana penglibatannya dalam perhimpunan awam lain tanpa permit.

Ketiga-tiga wanita itu masing-masing ditawarkan jaminan sebanyak $5,000.

Polis berkata orang ramai tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti yang akan merosakkan keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian sosial di Singapura.

“Kami faham bahawa sesetengah orang mungkin mempunyai sentimen yang kuat tentang konflik Israel-Hamas, tetapi mereka tidak sepatutnya melanggar undang-undang untuk menyatakan pandangan mereka, atau mencontohi penunjuk perasaan di negara lain,” tambah polis.

“Mereka sebaliknya boleh mengambil bahagian dalam banyak forum dan dialog serta kutipan derma, yang telah dianjurkan dengan sewajarnya mengenai isu itu.”

Jika didapati bersalah, setiap wanita boleh dikenakan denda sehingga $10,000, atau penjara selama tempoh sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg