Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

AS tambah tekanan agar Israel lindungi orang awam Palestin

Rakyat Palestin bimbang serangan berterusan Israel paksa mereka masuk ke Mesir
Dec 03, 2023 | 01:16 PM



GAZA/KAHIRAH: Israel kini berdepan desakan lebih teguh daripada Amerika Syarikat agar ia tidak menganiaya orang awam Palestin sedang tenteranya terus memburu anggota kumpulan Hamas di Gaza.


Ini selepas konflik yang tercetus semula berlarutan ke hari ketiga pada Ahad – setelah gencatan senjata tujuh hari antara Israel dan Hamas, yang memerintah Jaluran Gaza.

Sedang tentera Israel membedil teruk Gaza, Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, berkata terlalu banyak nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah terbunuh di Gaza, sementara Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, pula berkata Israel mempunyai tanggungjawab moral untuk melindungi orang awam.

Kata-kata pegawai kanan Amerika itu, yang diluahkan pada Sabtu, menegaskan lagi tekanan oleh Washington ke atas Israel supaya bersikap lebih berwaspada sedang ia mengalihkan tumpuan serangan ke kawasan selatan Jaluran Gaza.

Dengan perbalahan berlarutan ke hari ketiga, penduduk di sana berkata mereka bimbang bedilan meriam dan serangan udara hanya membuka tirai bagi operasi darat yang akan terus memerangkap mereka di kawasan yang kian mengecil.

Mereka juga bimbang dipaksa menyeberang ke Mesir, menurut laporan wartawan Reuters di sana.


Kementerian Kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berakhir pada 1 Disember, dan lebih 15,000 telah terkorban sejak konflik itu bermula. 

Israel telah berikrar akan menghapuskan Hamas menyusuli serangannya ke atas Israel pada 7 Oktober, yang dilaporkan membunuh 1,200 orang dan lebih 200 dijadikan tebusan.

Hamas pernah berkata ia ingin menghapuskan Israel, dan seorang pegawai Hamas berkata kumpulan itu akan mengulangi serangan 7 Oktober jika ia berupaya melakukannya.

Bercakap di Dubai, Cik Harris berkata Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya tetapi undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan harus dihormati dan “terlalu banyak warga Palestin yang tidak bersalah telah dibunuh”.

“Sejujurnya, skala penderitaan orang awam dan imej dan video yang ditunjukkan dari Gaza amat dahsyat dan mengejutkan,” kata beliau kepada wartawan.

Encik Austin pula menyampaikan hujah paling keras mengenai peri perlu Israel melindungi orang awam di Gaza. Beliau berkata Israel mempunyai tanggungjawab moral dan keperluan strategik.

“Jika anda memaksa mereka berlari ke arah musuh, anda menggantikan kemenangan taktikal dengan kekalahan strategik,” ujar beliau semasa bercakap di forum pertahanan di Simi Valley, California.

Encik Austin, yang turut berikrar Amerika sentiasa menyokong Israel sebagai “rakan paling rapat di dunia”, berkata beliau juga memberi tekanan ke atas pegawai Israel untuk memperluas laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza secara lebih besar.

Dalam satu sidang media di Tel Aviv pada 2 Disember, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel sedang meneruskan usaha bersama Amerika dan pertubuhan antarabangsa untuk menyelaras dan menetapkan “kawasan selamat” bagi orang awam di Gaza.

“Ini penting kerana kami tidak mempunyai keinginan mencederakan penduduk,” kata beliau.

“Kami mempunyai keinginan kuat menghapuskan Hamas.”

Suara dari Amerika kini kian lantang menggesa Israel terus mengecilkan zon perbalahan dalam sebarang operasi ketenteraan di selatan Gaza dan memastikan ada zon selamat bagi orang awam.

Pada Ahad, tentera Israel berkata ia telah membunuh Wessam Farhat, komander batalion Hamas yang menghantar pejuangnya menyerang dua kibbutzim atau kawasan petempatan, berhampiran Jaluran Gaza pada 7 Oktober.


Ia juga menyifatkan Wessam sebagai antara dalang serangan itu.

Dalam pada itu, Israel terus membedil selatan Gaza, termasuk Khan Younis dan Rafah, tempat ratusan ribu pelarian dari utara Gaza sedang berlindung.

Agensi berita Palestin menukil sumber tempatan berkata pesawat Israel membedil dua rumah di kem pelarian Nuseirat, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang. 

Pegawai kesihatan Gaza berkata tiga lagi warga Palestin terbunuh ekoran serangan udara Israel ke atas sebuah rumah.

Hamas berkata ia telah menembak gugusan roket ke arah Tel Aviv. Tiada laporan mengenai sebarang kerosakan, tetapi paramedik berkata seorang lelaki di sebuah pusat Israel diberi rawatan kerana mengalami kecederaan akibat terkena serpihan bom.

Agensi berita Reuters berkata ia tidak dapat mengesahkan laporan itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >