Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 warga asing diberkas kerja secara haram sebagai penghantar barangan

Aug 18, 2025 | 6:40 PM
Dr Koh Poh Koon, warga asing, pekerja platform
Tiga warga asing yang bertugas sebagai pekerja platform secara haram di Singapura diberkas dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara, yang dijalankan Kementerian Tenaga Manusia (MOM). - Foto FACEBOOK KOH POH KOON

Tiga warga asing yang bertugas sebagai pekerja platform atau pengiriman secara haram di Singapura ditangkap dan kini di bawah siasatan pihak berkuasa.

Mereka diberkas dalam satu operasi penguatkuasaan pekerja platform haram di seluruh negara yang dijalankan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dengan seramai 375 pekerja diperiksa.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, memberi kemas kini tentang operasi tersebut melalui hantaran di Facebook pada 18 Ogos.

“Kami turut menyiasat warga tempatan yang bersubahat membantu warga asing menjalankan tugas secara haram,” jelasnya.

“Warga asing yang bekerja di Singapura tanpa pas kerja sah boleh didenda tidak melebihi $20,000, dipenjara hingga dua tahun, atau kededuanya sekali.

“Warga tempatan yang didapati bersubahat membantu warga asing menggunakan akaun peribadi mereka juga boleh dikenakan denda yang sama.”

Operasi itu dikendalikan berdasarkan aduan dan maklum balas mengenai tempat kegiatan haram itu berlaku.

Ini berdasarkan maklum balas, hasil interaksi tetap Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) dengan pekerja platform tersebut, tambah Dr Koh.

Menurutnya, operasi sebegitu penting bagi menyekat kerja pengiriman haram, sedang Kumpulan Tiga Pihak Pekerja Platform membangun usulannya.

Kumpulan yang dilancarkan pada Julai 2025 itu merupakan usaha pemerintah dalam menangani isu warga asing yang menjalankan pekerjaan platform secara haram dan menjejas pendapatan pekerja platform.

Kumpulan tersebut merangkumi MOM, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta gabungan beberapa pertubuhan.

Ia dikendalikan oleh Dr Koh; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; dan Pengarah Urusan Operasi, Kumpulan Grab, Encik Yee Wee Tang.

Kumpulan tersebut bertujuan memberi pekerja platform peluang menyuarakan masalah yang dihadapi serta mendapat sokongan pihak pemerintah secara tekal.

Semasa sidang Parlimen pada Februari 2025, MOM memaklumkan ia telah menerima dan menyiasat sekitar 90 aduan berkaitan pekerja penghantaran warga asing yang disyaki bekerja secara haram dari Januari hingga Disember 2024. 

Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 30 pekerja warga asing, manakala kes selebihnya tidak disokong dengan bukti kukuh.

Pada September 2023, MOM mendakwa empat pekerja asing kerana bertugas sebagai pekerja platform tanpa pas kerja rasmi.

Dua warga Singapura dan seorang penduduk tetap (PR) turut didakwa kerana memberikan akses kepada akaun peribadi di wadah penghantaran makanan – seperti foodpanda, Deliveroo, MilkRun dan LiveExpress – walaupun sedar empat pekerja asing itu tidak mempunyai pas kerja yang sah.

Dalam hantaran di Facebook itu, Dr Koh turut menekankan:

“Kami akan terus bekerjasama dengan NDCA dalam operasi penguatkuasaan untuk melindungi kebimbangan pekerja penghantaran.”

Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini pada 14 Julai, susulan mesyuarat pertama kumpulan kerja tiga pihak itu, Dr Koh menyatakan bahawa mereka menumpukan kepada dua keprihatinan utama.

Selain menangani kebimbangan persaingan adil dalam sektor platform, termasuk kegiatan haram oleh pekerja asing, kumpulan itu juga akan bekerjasama dengan pengendali platform untuk mewujudkan prinsip adil dan selamat bagi skim pembayaran serta insentif.

Dr Koh menyatakan bahawa wakil daripada kumpulan kerja itu bersetuju dengan kedua-dua bidang tumpuan tersebut dan menjangkakan cadangan mereka akan dikemukakan menjelang akhir 2025.

Penubuhan kumpulan kerja itu diumumkan buat kali pertama pada 4 Julai oleh MOM dan MOT bagi menangani isu warga asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram, serta cabaran lain yang dihadapi oleh pekerja platform di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg