Tiga pelancong Singapura cedera di Taiwan apabila teksi yang mereka naiki dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan yang memasuki lorong mereka.

Kemalangan itu berlaku pada 7 November sekitar 2 petang di Hualien, di pantai timur Taiwan, kira-kira 160 kilometer di selatan Taipei, lapor portal berita Taiwan, ETtoday.

Sebuah kereta terbabas melepasi garisan kembar kuning di tengah jalan dan masuk ke lorong bertentangan, lalu berlanggar dengan teksi yang membawa tiga warga Singapura itu.

ETtoday melaporkan bahawa kereta tersebut dipandu oleh seorang anggota tentera udara yang hanya dikenal pasti dengan nama keluarga Zhuang.

Beliau dalam perjalanan ke Yilan bersama isteri dan anaknya.

Yilan terletak di timur laut Taiwan, kira-kira 50 kilometer di selatan Taipei. 

Nahas itu berlaku di selekoh berhampiran penanda 7 kilometer County Road 193 di Hualien, lapor portal berita tersebut.

Tujuh orang cedera, tambah ETtoday.

Keluarga tiga beranak itu, ketiga-tiga warga Singapura dan pemandu teksi dibawa ke hospital.

Mereka mengalami beberapa kecederaan ringan, termasuk luka dan lebam, namun keadaan mereka tidak mengancam nyawa.

Menurut ETtoday, kesan kuat akibat pelanggaran itu menyebabkan kereta yang dipandu Zhuang terbalik, manakala kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk. 

Isteri Zhuang, yang mendukung anak mereka yang sedang tidur di tempat duduk penumpang hadapan, terpelanting keluar dari kenderaan selepas cermin depan pecah akibat kesan rempuhan.

ETtoday menambah bahawa siasatan awal polis Taiwan mengesahkan kedua-dua pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Zhuang turut disahkan bebas daripada pengaruh dadah hasil ujian air liur.

Ini menolak kemungkinan beliau memandu dalam keadaan mabuk dan penggunaan dadah, kata portal berita itu.

Polis tempatan masih menyiasat punca sebenar nahas tersebut.

Menurut Liberty Times, sebuah lagi portal berita Taiwan, pihak berkuasa mengesyaki Zhuang mungkin terlelap semasa memandu kerana keletihan.

Portal itu turut melaporkan bahawa ketiga-tiga warga Singapura itu penumpang kapal persiaran Celebrity Millennium, yang berlabuh di Pelabuhan Hualien pada 7 pagi hari itu.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) telah dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.