Lebih 300 orang berhimpun di Biara Kong Meng San Phor Kark See (KMSPKS) untuk mencukur rambut sebagai tanda perpaduan bersama kanak-kanak serta keluarga yang terjejas akibat barah kanak-kanak.

Acara yang diadakan pada 19 April itu merupakan sebahagian daripada kempen ‘Hair for Hope’ anjuran Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF), yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana bagi menyokong pesakit muda dan keluarga mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif CCF, Encik Koh Shukai, turut menyertai acara itu dengan mencukur rambut buat kali pertama.

Lebih menarik lagi, rambutnya dicukur Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh (Bishan East-Sin Ming), Cik Elysa Chen.

“Kita sering mengatakan bahawa membesarkan seorang anak memerlukan sokongan seluruh masyarakat. Ini lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang berdepan dengan barah.

“Tema ‘Ini Perjalanan Bersama Kita’ mencerminkan komitmen memastikan tiada kanak-kanak yang menghadapi barah seorang diri.

“Dengan mencukur rambut sebagai tanda perpaduan, kita berdiri bersama kanak-kanak berani ini, agar mereka disokong masyarakat kukuh yang merangkumi keluarga, sekolah, tempat kerja dan pertubuhan pada setiap peringkat perjalanan mereka,” kata Cik Chen.